17 Dec 2009

Syarahan Agung Sasterawan Negara & Seniman Negara

Berikut skrip asal bagi liputan yang disiarkan menerusi segmen ‘Peristiwa” di TV1 pada 17 Disember 2009:

.

“Syarahan Agung Sasterawan Negara dan Seniman Negara” yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada Rabu (16 Disember 2009) ternyata membuka ruang kepada pencinta bahasa, sastera dan seni untuk membicarakan pelbagai topik yang dekat di hati.

.

Acara ini dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

.

Tokoh-tokoh yang menyampaikan kertas kerja terdiri daripada Sasterawan Negara Profesor Dr Muhammad Haji Salleh dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

.

Turut berkongsi pandangan ialah Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal, Datuk Dr Ahmad Khan Nawab Khan dan Senator Tan Sri Datuk Dr Haji Jins Shamsudin.

.

Orang ramai yang hadir mendengar syarahan agung ini termasuk Sasterawan Negara Datuk Dr A. Samad Said, penggiat seni, pencinta bahasa, aktivis sastera, wakil persatuan penulis, pelajar IPTA dan pengkaji sastera.

.

Antara topik yang dibincangkan adalah betapa perlunya Bahasa Malaysia dilihat dan diterima sebagai bahasa bagi seluru rakyat Malaysia; dan bukannya dilihat sebagai bahasa bagi kaum Melayu sahaja.

.

Aspek memasyarakatkan bahasa, sastera, seni dan budaya turut dibincangkan secara telus dan terbuka oleh para Sasterawan Negara dan Seniman Negara.

.

Tema program, iaitu ”Reformasi Bahasa, Sastera dan Budaya dari Kaca Mata Sasterawan Negara dan Seniman Negara” membuka ruang seluas-luasnya kepada tokoh-tokoh yang disegani ini untuk meluahkan pandangan sebagai sasterawan dan seniman yang berpengalaman.

.

Sesungguhnya kita berbangga memiliki kelompok sasterawan dan seniman yang turut menyumbang kepada pembangunan tamadun dan peradaban Bangsa Malaysia.