21 Jul 2009

Program Jualan Buku Bersama Penulis

Kalau di negara luar, golongan penulis sering mengadakan sesi bertemu peminat dan menandatangani buku yang dihasilkan.

Kini, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) membuka peluang untuk peminat sastera tempatan menemui pengarang dan penulis terkenal Malaysia dalam “Program Jualan Buku Bersama Penulis” di PNM, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Acara ini akan berlangsung pada 25 dan 26 Julai 2009 (Sabtu dan Ahad), dari pukul 10:00 pagi hingga 5:00 petang di Ruang Pameran, Aras Satu, PNM.

Timbalan Pengarah Kanan, Pusat Bibliografi Negara, Maizan Ismail berkata, “Program Jualan Buku Bersama Penulis” diadakan buat julung kali sebagai susulan daripada “Sesi Dialog Ketua Pengarah PNM Bersama Penulis” pada 12 Mac lalu.

Program ini juga dilihat sebagai peluang untuk peminat membeli buku daripada para penulis sendiri dan seterusnya mendapatkan tandatangan mereka.

Antara penulis yang dijadual mengambil bahagian ialah Abu Hassan Morad, Aminah Mokhtar, Dr Lim Swee Tin, Uthaya Sankar SB, Lim Teck Guan dan Shamsudin Abd Kadir.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Norhidayah Haron melalui talian 019-3778719 atau 03-26874292.