19 May 2020

4 Petua Penulisan Elmore Leonard


Elmore Leonard (1925 – 2013) bukanlah nama yang selalu diperkatakan golongan penulis dan pembaca di Malaysia. Namun, kita mungkin pernah menonton filem-filem yang dibuat berdasarkan karya-karya beliau.

Leonard bermula dengan penulisan cerita koboi (western) sebelum mengkhusus dalam genre fiksi kriminal (crime fiction) dan cerita debaran (thriller). Antara novel terkenal beliau adalah Glitz (1985), Get Shorty (1990), Maximum Bob (1991), dan Rum Punch (1992).


Keunikan Leonard terletak pada kemampuan beliau menjadi penulis yang popular dan disegani para penulis seangkatan dan penulis terkemudian, khususnya di Amerika Syarikat.

Pada tahun 1992, sumbangan beliau dalam bidang penulisan menerima pengiktirafan menerusi Grand Master Award for Lifetime Achievement daripada Mystery Writers of America.


Dalam sebuah artikel di New York Times (16 Julai 2001), Leonard berkongsi beberapa panduan (tips) yang boleh dimanfaatkan bagi menghasilkan cerpen bermutu.

1 — Jangan Mulakan Cerita dengan Gambaran Alam dan Cuaca

Kalau sekadar mahu melukiskan alam sekitar, cuaca, dan suasana yang tidak ada kaitan secara langsung dengan watak dan isu, maka Leonard menasihatkan supaya gambaran itu dibuang — atau lebih baik jika tidak ditulis langsung.

Namun begitu, sekiranya gambaran alam dan cuaca ada kaitan dengan cerita — atau mengundang reaksi watak — maka boleh dimasukkan. Semasa mengendalikan bengkel penulisan, saya sering menggunakan contoh mudah ini:

Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pohon kelapa melambai-lambai. Ombak berlari-lari menyapa pantai.


Bandingkan pula apabila gambaran alam dikaitkan dengan watak dan cerita:

Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa masih gagal meredakan penyesalan dalam jiwa. Pohon kelapa melambai-lambai bagaikan mengajak aku melawat semula ke masa silam. Ombak yang berlari-lari menyapa pantai mengingatkan kepada pengalaman menyusur Pantai Morib bersama-sama bekas isteriku, lima bulan lalu.

2 — Jangan Memberi Terlalu Banyak Gambaran Fizikal Watak

Bagi menegaskan hal ini, Leonard mengambil contoh karya penulis kesukaannya, Ernest Hemingway. Dalam cerpen “Hills Like White Elephants” (Ogos 1927), Hemingway memberi gambaran fizikal yang amat minimum tentang kedua-dua watak. Namun begitu, cerpen itu amat berjaya. Anda boleh membacanya dalam buku Men Without Women (1927).


Memanglah ada penulis — termasuk ramai penulis mapan di Malaysia — gemar memberi gambaran fizikal yang terperinci tentang watak-watak dalam novel dan cerpen. Kononnya supaya pembaca boleh “membayangkan” watak-watak itu di depan mata.

Dalam karya saya, hanya gambaran fizikal yang minimum disajikan. Perkara yang perlu sahaja diberitahu kepada pembaca. Hal ini dilakukan dengan penuh sedar supaya pembaca boleh “membayangkan” watak-watak itu di depan mata menggunakan imaginasi, pemahaman, dan pengalaman masing-masing.

3 — Jangan Terlalu Banyak Menggambarkan Tempat dan Benda

Leonard sebagai penulis veteran yang berpengalaman dan tersohor menasihatkan para penulis muda supaya jangan terlalu ghairah menulis gambaran latar tempat dan barangan (benda) yang terdapat dalam cerpen.

Biar saya beri satu contoh mudah. Katakan watak A menyerbu masuk ke bilik tidur B dan mengacukan pistol ke dada watak B. Dalam situasi ini, tidak perlulah penulis menggambarkan keadaan bilik tidur itu: katil, almari pakaian, tingkap, langsir, dan sebagainya.


Tidak perlulah menulis secara terperinci tentang alat-alat solek yang tersusun di meja solek. Malah, tidak perlu juga menceritakan spesifikasi atau butiran terperinci model pistol yang sedang diacu itu.

Pembaca mahu tahu apa yang berlaku selepas watak A menyerbu masuk ke bilik tidur B dan mengacukan pistol ke dada watak B. Siapa kisah tentang katil, almari pakaian, meja solek, tingkap, langsir, dan model pistol!

Biarlah pembaca membayangkan semua itu berdasarkan imaginasi, pemahaman, dan pengalaman masing-masing — sambil membaca dengan penuh minat apa yang berlaku selepas pistol diacu ke dada watak B.

4 — Jangan Masukkan Apa-apa yang Pembaca Akan Langkau

Menurut Leonard, beliau menyedari — lalu mula mengamalkan — peraturan ini sejak tahun 1983.

Seorang penulis tentulah perlu banyak membaca. Semasa membaca sebuah cerpen, mungkin ada bahagian tertentu yang anda langkau (skip). Mungkin salah satu daripadanya adalah perenggan awal yang menggambarkan alam sekitar, cuaca, dan suasana — sebagaimana sudah dibincangkan tadi. (Teknik penulisan itu juga gagal memiliki cangkuk naratif.)


Apa lagi yang biasanya anda langkau (skip) semasa membaca sebuah cerpen? Saya sependapat dengan Leonard kerana kami akan tinggalkan (skip) perenggan yang terlalu panjang (mungkin hampir separuh halaman).

Saya sentiasa mengingatkan peserta bengkel penulisan supaya tidak menulis perenggan lebih panjang daripada lima baris. Bukan lima ayat, tetapi lima baris pada manuskrip bertaip.


Jika perenggan itu panjang, maka fikirkan cara untuk menjadikannya dua, tiga, atau empat perenggan.

“Pada masa sama,” menurut Leonard, “penulis boleh memanfaatkan dialog kerana pembaca jarang meninggalkan (skip) dialog dalam cerita.”

Kecuali jika dialog itu merupakan monolog separuh halaman! Atau jika dialog itu sekadar perbualan kosong yang tidak menggerakkan cerita.


Catatan ini disediakan oleh Uthaya Sankar SB pada 19 Mei 2020 berdasarkan pandangan Elmore Leonard yang dikongsi di pelbagai media antarabangsa.