Tuesday, 13 August 2019

Kaum India dan Sastera Kebangsaan — Bahagian 12

(Bersambung daripada Bahagian Sebelas) Ada beberapa lagi penulis kaum India yang muncul dalam peta penulisan Bahasa Malaysia, tetapi kemudian hilang — sama ada tidak dapat dikesan, atau sudah tidak lagi menghasilkan karya.

Kathirasan Doraisamy lahir di Batu Caves, Selangor pada tahun 1963. Beliau belajar di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya sebelum menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Mahadi, Klang dan Sekolah Menengah Lok Yuk, Kota Kinabalu.

Beliau mula menulis pada tahun 1988, semasa berada di tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda. Cerpen tunggal tulisannya yang berjudul “Kampung di Bandar” menang hadiah dalam Sayembara Cerpen Inter Varsiti 1987 dan termuat dalam antologi Monolog Sasterawan (1991).

Novel tunggal pula berjudul Pelita Syawal (1992) dan ditulis menggunakan nama pena Kathir. Sewaktu dihubungi baru-baru ini, beliau memaklumkan bahawa beliau sudah tidak lagi menulis karya kreatif.

Omana Nair lahir pada tahun 1963 di Pulau Pinang serta mendapat pendidikan rendah dan menengah di Tapah, Perak. Beliau pernah bekerja sebagai wartawan di Bernama sebelum meneruskan pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya.

Seterusnya, Omana Nair mendapat ijazah sarjana dalam bidang komunikasi korporat dan bekerja di Manila, Filipina. Cerpen tunggal berjudul “Harap Anda Tidak Membaca Ini” menang saguhati dalam Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1989) dan termuat dalam antologi Menara 2 (1989).

[Antologi Karya — Busana Bahasa]

Parveen Kaur Gill Pritam Singh pula menulis cerpen tunggal berjudul “Titik Nyawa” sebagai tugasan mata pelajaran minor semasa mengikuti pengajian sarjana muda Bahasa Inggeris di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. Cerpen itu tersiar di akhbar Mingguan Malaysia pada 7 Mei 2000.

Beliau pernah menjadi wartawan di akhbar The Malay Mail dan The Star. Parveen Kaur Gill juga pernah menjadi eksekutif pembangunan perniagaan, tutor dan pensyarah Bahasa Inggeris. Sejak Mac 2018, beliau bertugas sebagai pensyarah di Pusat Bahasa, Universiti UCSI, Kuala Lumpur dan sudah tidak lagi menulis karya kreatif.

Rajendran Rengasamy lahir di Tanjung Rambutan, Perak pada tahun 1965. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Rendah Methodist, Tanjung Rambutan; Sekolah Aminuddin Baki, Chemor, dan Sekolah Raja Chulan sebelum mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

Cerpen “Cabaran Hidup” menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1988) dan termuat dalam antologi Menara (1988). Cerpen “Suatu Pengorbanan” menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1990) dan termuat dalam antologi Menara 3 (1990). Cerpen “Rintihan Insan” pula termuat dalam antologi Tanpa Mengira Warna (1993).

Seorang lagi penulis kaum India yang sudah “hilang” ialah V. Suresh Kumar S.V. Vijayathevan. Beliau lahir pada tahun 1965 di Melaka, serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Siang Lin, Sekolah Menengah Katholik dan Sekolah Tinggi Melaka.

Cerpen berjudul “Air Ditetak Tidak Akan Putus” menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Bank-DBP (1988) dan termuat dalam antologi Menara (1988), manakala cerpen “Bintang di Langit Boleh Dikira, Arang di Muka Tidak Disedari?” menang saguhati Hadiah Cerpen Malayan Bank-DBP (1990) dan termuat dalam antologi Menara 3 (1990).

[Karya Klasik India — Ramayana dan Mahabharata]

Thilagavathi Arumugam lahir di Kuala Lumpur pada tahun 1974. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di tempat kelahiran sebelum berpindah ke Kluang, Johor pada tahun 1988, lalu meneruskan pelajaran di Sekolah Sultan Abdul Jalil, Kluang.

Beliau pernah menang dalam pertandingan deklamasi sajak peringkat sekolah pada tahun 1988 dan 1991. Cerpen berjudul “Kurniaan” menang saguhati Hadiah Cerpen Maybank-DBP (1992) dan termuat dalam antologi Menara 5 (1993). Beliau sudah tidak lagi menulis karya kreatif. (BersambungBahagian Tiga Belas)

[Makalah ini disiarkan di Eksentrika pada 6 Ogos 2019. © Uthaya Sankar SB 2019. Lihat juga — Biodata Sasterawan Kavyan. Layari Blog Kavyan untuk maklumat pelbagai program bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya melibatkan masyarakat pelbagai kaum. Hubungi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952 jika ada sebarang pertanyaan.]