Friday, 8 June 2018

Vikramaditya — Bahagian 2

[Bahagian 1] Kisah Vikramaditan Kadhaigal atau Vedhala Kadhaigal terdapat dalam pelbagai versi dan pelbagai bahasa di India. Memandangkan ia sebuah cerita berbingkai, maka terpulang kepada pencerita untuk menokok-tambah kisah-kisah yang mahu disajikan; khususnya kepada pendengar kanak-kanak.

Identiti watak Vikramaditya sukar disahkan secara tepat. Raja itu sudah menjadi legenda dalam kalangan penduduk negara India. Maka, kisah mengenai pengembaraannya juga pasti telah diubahsuai untuk menampilkan keperwiraannya.

Dalam cerita Sanskrit berjudul Baital Pachisi yang dikarang oleh Somadeva pada kurum ke-11, Vikramaditya adalah seorang raja di Ujjain, Madhya Pradesh. Baginda seorang pemerintah yang berkaliber, berani, berintegriti, dan berjiwa rakyat.

Pada suatu hari, seorang lelaki alim datang menghadap Vikramaditya. Buah tangan yang dibawa adalah sebiji buah mangga. Buah berkenaan diambil dan disimpan di dalam sebuah peti.

Keesokannya, lelaki alim itu datang sekali lagi, dan membawa sebiji lagi buah mangga. Buah tangan itu juga diterima oleh Vikramaditya dengan hati yang gembira, lalu disimpan di dalam peti yang sama.

Lelaki alim itu sering melakukan pertapaan dan melakukan upacara pemujaan seperti yang lazim dilakukan penganut Hindu pada zaman dahulu. Penampilan dirinya tidaklah terlalu kemas. Akan tetapi, Vikramaditya tetap menerima kunjungan lelaki alim itu yang membawa buah mangga sebagai hadiah.


Perbuatan itu berterusan selama beberapa hari. Vikramaditya tetap tidak menjamah buah mangga yang dihadiahkan oleh lelaki alim itu. Pada masa sama, lelaki alim itu tidak pula mengemukakan sebarang permintaan sebagai balasan.

Walau bagaimanapun, pada suatu hari, lelaki alim berkenaan datang menghadap tanpa apa-apa buah tangan. Vikramaditya terasa sedikit hairan dengan perubahan yang berlaku pada hari berkenaan.

“Selama beberapa hari, saya telah datang dan menghadiahkan buah mangga. Apa yang tuanku lakukan dengan buah berkenaan?” tanya lelaki alim itu.

“Beta menyimpannya di dalam sebuah peti khas,” Vikramaditya berterus-terang.

Lelaki alim yang berambut panjang dan wajah dipenuhi jambang itu tidak menunjukkan sebarang reaksi.

“Bawalah saya melihat peti itu,” pintanya.

Tanpa berfikir panjang, Vikramaditya membawa lelaki alim itu ke bilik khas di mana buah mangga disimpan di dalam peti. Raja itu tidak berfikir sama ada sejumlah buah mangga yang disimpan sejak beberapa hari lalu masih berada dalam keadaan elok.

Sebaik sahaja peti berkenaan dibuka, Vikramaditya terkejut besar. Kesemua buah mangga di dalam peti itu sudah bertukar menjadi batu permata, intan, manikam, emas, berlian, delima, dan sebagainya.

Perlukan Vetalam Untuk Upacara Pemujaan

“Ajaib! Apa yang berlaku?” Vikramaditya bertanya dengan penuh hairan dan takjub.

“Ini adalah sebahagian daripada kuasa yang saya miliki. Semuanya mampu dilakukan menerusi pertapaan dan upacara pemujaan yang dilaksanakan secara penuh teliti,” lelaki alim itu menjelaskan dengan bangga.

Vikramaditya menyentuh kandungan peti itu. Ternyata ia bukan sekadar khayalan atau pertunjukan silap mata.

“Kesemuanya memang asli. Saya hadiahkan kepada tuanku dengan penuh ikhlas,” sambung lelaki alim itu sejurus kemudian.

“Baiklah. Beta akan menggunakan segala batu permata, intan, manikam, emas, berlian, delima, dan zamrud ini untuk meningkatkan kerja-kerja bantuan kebajikan bagi rakyat. Tidak adil jika beta simpan untuk diri sendiri,” Vikramaditya memutuskan tanpa berfikir panjang.

Raja itu meluangkan masa berbual-bual dengan lelaki alim berkenaan. Baginda ingin tahu jika ada apa-apa yang boleh dilakukan bagi membalas pemberian hadiah batu-batu bernilai itu.

Lelaki alim itu ketawa gembira. Kemudian, dia terdiam sambil mengurut-urut janggut yang putih dan panjang. Ternyata ada sesuatu yang mahu diluahkan kepada Vikramaditya.

“Sebenarnya, saya memang ada hajat untuk meminta bantuan tuanku. Tapi jangan pula anggap saya memberi hadiah dengan niat merasuah tuanku supaya membantu saya!” Lelaki alim itu cuba meyakinkan raja berkenaan.

“Apakah bantuan yang diperlukan? Nyatakanlah supaya beta boleh cuba memenuhinya dengan kadar segera,” kata Vikramaditya pula.

Lalu, lelaki alim itu mendedahkan bahawa dia mahu melaksanakan suatu upacara pemujaan khas untuk mendapatkan pelbagai kuasa ajaib. Bagi menjayakan puja khas itu, dia memerlukan Vetalam, iaitu puntianak yang juga digelar sebagai pisasu dalam budaya India.

“Vetalam?” Vikramaditya bertanya dengan hairan. “Upacara pemujaan apakah pula yang memerlukan puntianak?”

“Saya tidak boleh mendedahkan perincian mengenai tatacara dan fungsi upacara pemujaan khas ini. Kalau tuanku tidak mahu membantu, tidak mengapa,” kata lelaki alim itu sambil mula bangkit untuk beredar.

Vikramaditya segera menahannya. Baginda menyatakan persetujuan untuk membantu mendapatkan Vetalam seperti diinginkan oleh lelaki alim itu.

Maka, bermulalah pengembaraan mendebarkan yang sukar dilupakan oleh Vikramaditya sepanjang hayat! [bersambung pada 15 Jun 2018] [Bahagian 3]


[Bahagian 2 dalam siri ini ditulis pada 23 Mei 2018 dan dipaparkan di blog pada 8 Jun 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]