Tuesday, 20 June 2017

Bahasa Malaysia dan Kaum India B40 – Bahagian 2

Memandangkan petikan daripada dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dipaparkan di BAHAGIAN PERTAMA adalah dalam Bahasa Malaysia, maka ia mampu dibaca oleh semua rakyat Malaysia. Anda tidak mempersoalkan mengapa maklumat mengenai kaum India perlu dipaparkan dalam Bahasa Malaysia; mengapa bukan dalam Bahasa Tamil.

Demikianlah juga apabila saya menulis mengenai budaya kaum India menggunakan Bahasa Malaysia. Sama ada anda kaum India atau Bukan India, anda akan mampu membacanya; kerana sasaran pembaca saya adalah Bangsa Malaysia.


Mungkin pula ada puak yang mempersoalkan bahawa memandangkan lebih 55% kanak-kanak kaum India belajar di SJKT, bukankah lebih baik jika mesej yang ingin disampaikan kepada kaum India ditulis menggunakan Bahasa Tamil.

Hal ini mengingatkan saya secara khusus kepada Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama, Taiping, Perak sejak Jun 2016. Teks bacaan, borang dan sebagainya menggunakan Bahasa Malaysia. Peserta yang rata-rata terdiri daripada golongan B40 mengisi borang dan menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Memang ada segelintir yang selesa dengan Bahasa Tamil, tetapi majoriti tidak menghadapi masalah membaca dan menulis menggunakan Bahasa Malaysia pada skala sederhana.


Apabila timbul keperluan, wakil Kavyan menggunakan Bahasa Tamil untuk berbual, berkomunikasi dan memberikan penerangan kepada peserta. Penjelasan yang diberikan memudahkan peserta kelompok B40 lebih memahami perkara tertentu yang mungkin asing bagi mereka.


Saya dan Kavyan sebenarnya berada di landasan yang betul walaupun hampir kesemua peserta Projek Komuniti Kavyan di Aulong Lama adalah komuniti India dalam kategori B40.


Data dalam dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia mencatatkan bahawa hasil tinjauan bersemuka yang dilakukan oleh Sekretariat Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dengan kelompok B40 di seluruh Semenanjung Malaysia menunjukkan, “Bahasa Tamil dan Bahasa Malaysia merupakan bahasa yang paling difahami oleh responden.”

Data menujukkan bahawa 94% responden memiliki tahap kecekapan “baik” untuk berbual menggunakan Bahasa Tamil, manakala 64% bagi Bahasa Malaysia, dan 29% untuk Bahasa Inggeris.

Dari sudut kemampuan memahami komunikasi lisan, 93% memiliki kecekapan Bahasa Tamil, 64% dalam Bahasa Malaysia, dan 32% dalam Bahasa Inggeris.

Bahasa Malaysia Merentas Kaum dan Kedudukan Ekonomi

Walaupun majoriti kaum India dalam kategori B40 yang diwawancara mempunyai kecekapan “baik” dalam perbualan Bahasa Tamil (94%) dan kemampuan memahami Bahasa Tamil lisan (93%), keadaan berubah secara drastik apabila melihat pada aspek kemampuan membaca dan mengarang (menulis) dalam Bahasa Tamil.

Sementara 42% responden mengaku cekap membaca bahan-bahan dalam Bahasa Tamil, sebanyak 49% responden mampu membaca bahan-bahan dalam Bahasa Malaysia.

Hanya sejumlah 38% responden kaum India dalam kategori B40 yang ditemui di seluruh Semenanjung Malaysia memiliki kemampuan mengarang (menulis) dalam Bahasa Tamil, berbanding 46% yang boleh melakukannya dalam Bahasa Malaysia.

Kavyan dan saya sendiri tidak kisah sama ada khalayak sasaran aktiviti dan bahan bacaan merupakan orang India atau Bukan India; SJKT, SJKC atau SK; T20, M40 atau B40. Kelompok sasaran kami adalah Bangsa Malaysia.


Bagaimanapun, jika mahu dipersoalkan sama ada aktiviti Kavyan serta hasil tulisan saya yang menggunakan Bahasa Malaysia boleh sampai kepada komuniti India dalam kategori B40, perlu diingat bahawa mengikut data dalam dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia, terdapat 57,624 isi rumah kaum India berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan, serta 71,148 isi rumah dengan pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan.

Jumlahnya adalah 128,772 isi rumah kaum India dalam kumpulan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Mereka termasuk dalam kategori B40. Data sudah menunjukkan bahawa mereka memiliki “tahap kecekapan baik” (malah, lebih baik!) dalam membaca dan mengarang menggunakan Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Tamil.


Dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia turut memaparkan data berkaitan tahap penguasaan bahasa dalam kalangan ibu bapa berpendapatan rendah (B40) dan mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. Sejumlah 68% ibu bapa berkenaan “berharap anak-anak mereka melanjutkan pendidikan tinggi”.

Dalam kalangan responden itu, kemampuan berbual adalah Bahasa Tamil (99%), Bahasa Malaysia (96%) dan Bahasa Inggeris (73%). Kemampuan memahami adalah Bahasa Tamil (99%), Bahasa Malaysia (95%) dan Bahasa Inggeris (78%).

Pada masa sama, kemampuan membaca pula, Bahasa Tamil (65%), Bahasa Malaysia (79%) dan Bahasa Inggeris (58%), manakala kemampuan mengarang (menulis) menunjukkan Bahasa Tamil (60%), Bahasa Malaysia (76%) dan Bahasa Inggeris (54%).

Semakin jelas bahawa Kavyan dan saya sendiri berada di landasan yang betul. Tidak timbul soal kaum India (kanak-kanak, remaja, belia, dan orang dewasa; termasuk lepasan SJKT dan kelompok B40) menghadapi masalah untuk membaca, memahami dan mengikuti program Kavyan dalam Bahasa Malaysia, atau tulisan saya dalam Bahasa Malaysia.


Sejak diasaskan pada tahun 1999, Kavyan berpegang teguh pada moto “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”. Segala aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya terbuka kepada semua tanpa batas kaum dan bahasa ibunda.

Hasil tulisan saya dalam Bahasa Malaysia disasarkan kepada seluruh Bangsa Malaysia. Maka, tidak timbul soal hasil tulisan saya hanya mampu dibaca orang Melayu, atau kaum India hanya boleh menikmati tulisan saya jika ditulis menggunakan Bahasa Tamil.

Malah, ANDA sendiri menjadi bukti nyata! Tahniah dan terima kasih kerana sudi membaca tulisan ini sepenuhnya.

Nota: Memang ada individu (tanpa mengira kaum dan latar pendidikan) yang kurang mampu membaca karya/tulisan Bahasa Malaysia. Mereka masih boleh menikmati (mendengar) Rakaman Audio Bacaan Cerpen yang diedarkan secara percuma.