Sunday, 18 June 2017

Bahasa Malaysia dan Kaum India B40 – Bahagian 1

Saya secara penuh sedar memilih untuk menulis – sajak, cerpen, novel, cerita rakyat, makalah dan sebagainya – menggunakan Bahasa Malaysia. Walaupun boleh sahaja mengusahakan penulisan dalam Bahasa Inggeris atau Tamil, saya tetap memilih Bahasa Malaysia.

Hasil tulisan saya dalam Bahasa Malaysia mampu dibaca rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, keturunan, etnik dan latar belakang pendidikan. Jika masih ada kelompok yang memberikan alasan tidak mampu membaca hasil tulisan saya (yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah), maka tembok halangan itu dibina oleh mereka sendiri.


Dalam pada itu, kebanyakan tulisan saya (khususnya cerpen) mengangkat latar budaya dan masyarakat India  (termasuk orang Tamil dan Malayali). Turut diselitkan unsur agama Hindu yang dominan dalam kalangan kaum India di Malaysia.

Tindakan saya menggambarkan citra budaya dan agama masyarakat India dalam karya Bahasa Malaysia sering dilihat oleh puak tertentu sebagai cubaan menyebarkan ajaran Hindu kepada orang Melayu!

Pada masa sama, ada pula puak yang mempersoalkan mengapa saya tidak sahaja menulis dalam Bahasa Tamil supaya mudah dibaca oleh orang Tamil. Untuk makluman, karya saya tidak disasarkan kepada orang berketurunan Tamil atau penutur Bahasa Tamil atau kaum India semata-mata. Sebaliknya disajikan untuk dinikmati oleh Bangsa Malaysia.


Buat masa ini, saya masih dalam proses menekuni dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017) yang diterbitkan oleh Pejabat Perdana Menteri dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Pada masa sama, sejak Jun 2016, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Masyarakat India Aulong Lama, Taiping (Sangam) dalam mengendalikan Projek Komuniti Kavyan secara bulanan dalam usaha memperkasakan komuniti akar umbi.

Malah, selepas meneliti Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dan Pelan Tindakan Strategik Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) 2016-2020 oleh Kerajaan Negeri Perak, sebuah NGO baharu ditubuhkan dengan nama Kelab Kesedaran Pendidikan, Pembangunan Kapasiti dan Integrasi Nasional Daerah Larut dan Matang, Perak (Kelab Kesedaran).


Penelitian terhadap Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia menunjukkan bahawa aktiviti Kavyan dan Projek Komuniti Kavyan serta penulisan saya selaras usaha kerajaan; termasuk apabila kita bercakap secara khusus tentang kaum India yang berada dalam segmen B40 iaitu golongan dengan pendapatan bulanan di bawah purata RM2,672.


Data Mengenai Kaum India di Malaysia

Berikut beberapa data yang dipetik daripada dokumen Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia:

Pada tahun 2016, kaum India yang berwarganegara Malaysia berjumlah 1.99 juta atau 7% daripada 31 juta penduduk di Malaysia.

Masyarakat India Malaysia terdiri daripada beberapa subkumpulan yang bertutur bahasa yang berbeza dan menganuti agama yang berbeza yang mencerminkan asal usul tempat mereka. Sebahagian besar mereka merupakan orang Tamil yang berasal dari benua kecil India dan selebihnya terdiri daripada orang Telugu, Malayali, Punjabi, Gujerat, Sindhi, Sinhala, Tamil Sri Lanka dan lain-lain. Majoriti orang Tamil di Malaysia beragama Hindu. Agama lain yang dianuti oleh masyarakat India termasuklah Kristian, Islam, Buddha, Sikh dan Jainisme.

Pada tahun 1966, 67.8% daripada tenaga buruh India masih berkhidmat dalam sektor perladangan dan 2.6% dalam sektor perlombongan yang membentuk 70.4% daripada keseluruhan tenaga buruh India.

Kini, 89% daripada masyarakat India Malaysia tinggal di kawasan bandar, manakala hanya 11% masih berada di luar bandar.

Sebenarnya, terdapat dua bentuk kemunduran dalam kalangan kaum India Malaysia. Pertama, sindrom kelas bawahan di bandar yang secara relatifnya disebabkan oleh penghijrahan dari kawasan ladang dan yang kedua, anggota masyarakat India yang masih menetap di luar bandar, dan masih terlibat dalam kerja-kerja perladangan atau aktiviti-aktiviti pertanian utama yang lain.

Cabaran yang dihadapi oleh masyarakat India Malaysia, terutama bagi mereka yang berada dalam kategori bawah 40% (B40), bersifat multidimensi dan saling berkaitan.

Kira-kira 57,624 atau 10% daripada isi rumah kaum India Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan, 71,148 atau 12% memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan, manakala 112,896 atau 19% memperoleh antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan. Dianggarkan 3,528 atau 0.6% daripada isi rumah kaum India Malaysia diklasifikasikan di bawah paras kemiskinan.

Tahap pendidikan dan latihan kemahiran yang rendah merupakan faktor utama bagi pendapatan mereka yang rendah. Pengangguran dalam kalangan masyarakat India Malaysia agak tinggi.

Bagi masyarakat India Malaysia secara umum dan kanak-kanak India secara khusus, cabaran utama adalah dalam pencapaian pendidikan rendah. 9% dalam kumpulan umur 20-24 tahun memiliki pencapaian pendidikan rendah (hanya sehingga peringkat sekolah menengah rendah). 13% dalam kumpulan umur 25-29 tahun memiliki pencapaian pendidikan rendah. Hakikatnya, cabaran ini bermula pada peringkat awal pembangunan pendidikan.

Pada tahun 2011, 56% daripada kanak-kanak India telah mendaftar di Sekolah Rendah Tamil (SJKT) manakala 38% telah mendaftar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan 6% di sekolah sendah aliran Mandarin (SJKC).

Murid-murid di SJKT secara umumnya akan menghadapi masalah dari segi bahasa dan untuk menyesuaikan diri apabila mereka masuk ke sekolah menengah kebangsaan (SMK). Hal ini demikian kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa pengantar dan bahasa yang digunakan oleh majoriti warga sekolah.

Pada tahun 2015, hanya 54% daripada pelajar India yang lulus dalam semua mata pelajaran dalam UPSR. Hanya 44% pelajar India yang lulus dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan SPM. Terdapat kemungkinan yang besar bahawa peratus lulus yang rendah diperoleh oleh kanak-kanak dan belia yang berada dalam kategori B40.

Adalah dianggarkan bahawa murid-murid India menyumbang sebanyak 13% atau kira-kira 1,000 orang daripada jumlah keciciran secara keseluruhan di sekolah rendah. Bagi sekolah menengah, 8% atau sekitar 4,300 orang.

Sama ada anda kaum India atau Bukan India, anda akan sedar bahawa anda telah membaca segala data di atas dalam Bahasa Malaysia! Dan data ini akan menyokong hujah-hujah saya seterusnya. [Bersambung – BAHAGIAN DUA DI SINI]