Wednesday, 31 May 2017

Sasterawan Kavyan – Bahagian 5


[Baca – BAHAGIAN EMPAT] Jumlah penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia tidak ramai. Walau bagaimanapun, kelompok ini yang dikenali sebagai Sasterawan Kavyan tetap memberikan sumbangan besar dalam mewarnai bidang penulisan di negara ini.

Bagi memastikan data dan fakta yang dimuatkan dalam siri esei ini adalah betul dan tepat, saya menghubungi sekitar 20 orang Sasterawan Kavyan. Daripada jumlah itu, 13 individu tampil mengisi borang soal selidik yang diedarkan.

Secara umum, para Sasterawan Kavyan memanfaatkan penguasaan bahasa yang dimiliki untuk berkongsi maklumat mengenai budaya, cara hidup, amalan, pemikiran dan permasalahan hidup kaum India untuk tatapan pembaca pelbagai kaum.

Perkara ini lebih banyak dilakukan menerusi karya berbentuk cerpen, novel dan esei. Karya berbentuk puisi dan sajak pula lebih bersifat universal, dan tidak sepenuhnya menggambarkan budaya kaum India.

Dalam Simposium Penulis Pelbagai Kaum IV di Kangar, Perlis pada Ogos 2002, Mohamed Saleeh Rahamad membentangkan kertas kerja bertajuk “Cereka Penulis Bukan Melayu di Semenanjung: Retrospektif Selepas Tiga Dekad”.

“Di kalangan penulis kaum India, Uthaya Sankar SB dan Saroja Theavy Balakrishnan merupakan aset utama masa kini kerana kecenderungan mereka meneroka subjek cerita yang pelbagai dan mengaplikasikan teknik penukangan cereka yang lebih segar,” katanya – baca di sini.

Bagaimanapun, secara umum, Saleeh Rahamad mengingatkan bahawa kebanyakan Sasterawan Kavyan masih menulis cereka berbentuk realisme dan mimetik, serta kelihatan kurang berani meneroka cereka eksperimental.

Pada simposium yang sama, Dr Othman Puteh (Allahyarham) menyifatkan Sasterawan Kavyan sebagai “aset dan pewaris kepada kelangsungan citra dan kehidupan kesusasteraan.”

Pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V di Kota Kinabalu, Sabah pada Ogos 2003, Dr Othman Puteh membuat penelitian bahawa jalur kepengarangan kelompok Sasterawan Kavyan menunjukkan “kecenderungan pemikiran dan sikap hidup, mencipta karya sastera genre kreatif yang bernilai estetik, dengan pengucapannya punya relevansi kepada konteks zaman dan masyarakat” – baca di sini.

Salah satu pemangkin kepada kelahiran sekian ramai penulis kaum India yang menghasilkan cerpen Bahasa Malaysia adalah Hadiah Cerpen Maybank-DBP yang diperkenalkan pada 1987 dan dihentikan pada 1996.

Antara penulis yang lahir menerusi pertandingan itu ialah Kamalah Suppiah, V. Suresh Kumar S.V. Vijathevan, Rajendran Rengasamy, Mahendran Mathavarayan, Srivali Seeridaram dan Thilagavathi.

Othman Puteh menyentuh mengenai pertandingan ini semasa Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Mei 2001. Katanya:

“Hampir satu dekad sayembara ini berlangsung, terdapat sebanyak 57 orang pengarang kaum India yang ikut serta. Begitu pun, dari jumlah tersebut, cuma terdapat dua nama cerpenis yang dapat bertahan mencipta ke akhir abad 20 dan lolos memasuki alaf baru, menulis secara konsisten, yakin diri dan ikut memberi nama dan jalur dalam senario pencerpenan tanah air” – baca di sini.

Hal yang sama disentuh oleh Dr Krishanan Maniam semasa membentangkan kertas kerja bertajuk “Penulisan Kreatif Bahasa Malaysia dan Penulis Kaum India Malaysia” pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Kedua di Beijing, China pada Oktober 2002.

“Walaupun banyak nama yang muncul melalui Hadiah Cerpen Maybank-DBP, keprolifikan mereka masih menjadi tanda tanya kerana selain daripada Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB, nama-nama lain didapati hanya muncul apabila ada peraduan. Ini suatu kenyataan yang memedihkan tetapi hakikat yang terpaksa diterima,” katanya – baca di sini.

Beberapa penelitian dan analisis ini menunjukkan bahawa peraduan, pertandingan dan sayembara tidak semestinya berjaya melahirkan kelompok penulis kaum India yang terus aktif dan prolifik menghasilkan karya.


Pada masa sama, kategori khas “penulis bukan Melayu” yang diadakan pada pertandingan menulis juga tidak semestinya mampu mencapai objektif mencungkil bakat penulisan dalam kalangan kaum India.

Pada pandangan Saroja Theavy, tidak perlu ada kategori khas bagi penulis “bukan Melayu” dalam pertandingan menulis cerpen dan puisi kerana, katanya, “Nanti kita jadi malas. Kita tidak harus menang kerana diberi peluang, tapi kerana kualiti karya.”

Hal ini berbeza dengan pandangan yang dikemukakan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman menerusi sebuah esei dalam majalah Dewan Sastera (April 2017). Individu itu mengulangi pandangan sama di akhbar Mingguan Malaysia (23 April 2017): “Turut dicadangkan adalah kategori Penulis Bukan Melayu dalam sayembara penulisan.”

Rata-rata Sasterawan Kavyan yang saya hubungi bagi tujuan penulisan siri esei ini tidak mengharapkan kategori khusus bagi peserta “bukan Melayu”. Maka, ternyata cadangan supaya kategori khas itu diadakan merupakan permintaan peribadi Raja Rajeswari, tetapi tidak sesekali mewakili pandangan golongan Sasterawan Kavyan.

Apa yang dipinta dan diharapkan penulis baharu kaum India bukan kategori khas “bukan Melayu” tetapi peluang sama rata untuk menyiarkan karya. Peluang dan ruang itu sudah pun dibuka oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan semua penerbit berwibawa di Malaysia.

“Saya rasa jika penulis kaum India diberi peluang menyiarkan bahan tulisan mereka, maka lebih banyak lagi dapat diketahui tentang tradisi kaum India, sekali gus menambah bahan bacaan bagi pembaca pelbagai kaum,” kata Sardah Appalasamy yang menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP pada 1998 dan muncul dengan novel sulung Mahligai Syurga pada 2016.

Sambil mengakui hakikat Sasterawan Kavyan memiliki penguasaan Bahasa Malaysia yang baik serta mampu menghasilkan karya bermutu, Sardah mahu supaya karya yang dihasilkan kelompok penulis ini dipromosi dan disebarkan secara lebih meluas kepada masyarakat awam.

Pandangan ini turut dipersetujui Navanitha Nairu yang gemar menghasilkan karya berdasarkan budaya dan nilai pembangunan dalam kalangan masyarakat India. Hasil tulisannya termuat dalam antologi Nota Untuk Ayah (2016) dan Hello 2 (2017).

Kembali menyentuh mengenai sumbangan Sasterawan Kavyan kepada perkembangan bidang penulisan Bahasa Malaysia, Mahendran Mathavarayan berkata: “Dari awal lagi memang kaum India yang memulakan dan terus menyumbang kepada perkembangan arena persuratan Melayu di negara ini.”


Penelitian terhadap sejarah perkembangan sastera Melayu di Malaysia akan membuktikan hakikat ini. Sumbangan golongan penulis kaum India pada tahun 70-an, 90-an, dan selepas tahun 2000 juga wajar diteliti secara lebih mendalam.

Contoh kajian ilmiah sebelum ini adalah “Citra Identiti Budaya Masyarakat India: Satu Pembicaraan Cerpen Melayu Karya Satu Cerpenis India” (2010) oleh Dr Saravanan P. Veeramuthu, dan “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998) oleh saya sendiri. Kajian yang lebih menyeluruh wajar dibuat pada peringkat universiti untuk menganalisis kandungan karya-karya yang dihasilkan Sasterawan Kavyan.

Pada masa sama, remaja dan belia kaum India yang berminat menghasilkan karya Bahasa Malaysia boleh menghubungi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) untuk mendapatkan maklumat mengenai siri bengkel penulisan pantun, sajak, cerpen dan makalah yang dianjurkan dari semasa ke semasa.

Apa yang nyata, sumbangan golongan Sasterawan Kavyan mungkin relatif kecil berbanding penulis Melayu, tetapi ia tetap amat signifikan dan sangat bernilai kepada perkembangan bidang penulisan di Malaysia. Peta sastera Malaysia tidak akan lengkap tanpa menyebut sumbangan mereka. [Baca – BAHAGIAN SATU] (Tamat)

(Baca juga reaksi bertajuk "Sasterawan Kavyan dan Sastera Kebangsaan" di Dewan Sastera, Jun 2017 untuk mendapatkan maklumat mengenai penulis kaum India. Baca juga Reaksi Khalayak Terhadap Esei Raja Rajeswari.)

[Esei ini ditulis pada 7 Mei 2017 dan disiarkan di Eksentrika pada 17 Mei 2017. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda membaca paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.]


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!