Friday, 26 May 2017

Sasterawan Kavyan – Bahagian 3


[Baca – BAHAGIAN DUA] Walaupun jumlah Sasterawan Kavyan – iaitu penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia – tidak ramai, hal ini tidak bermakna mutu karya yang dihasilkan oleh kelompok ini tidak setanding karya penulis Melayu.

Pada masa lalu, dalam kebanyakan pertandingan menulis cerpen, akan ada kategori khas bagi “penulis bukan Melayu”. Walaupun kategori khas itu mungkin berniat menggalakkan penulis “bukan Melayu” turut berkarya, ia secara psikologi memberikan tanggapan umum bahawa karya “penulis bukan Melayu” tidak setaraf karya penulis Melayu.

Tentu sahaja tembok dan tanggapan negatif itu sudah berjaya dirobohkan Sasterawan Kavyan seperti Saroja Theavy Balakrishnan yang merangkul hadiah pertama Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia (1999/2000). Cerpen “Yang Aneh-aneh” tulisan saya menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97), manakala kumpulan cerpen Surat Dari Madras menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1998/99).

Walaupun Sasterawan Kavyan mempunyai latar pendidikan, latar budaya, keturunan, bahasa ibunda dan latar sosioekonomi yang berbeza, rata-rata kelompok penulis kaum India ini memiliki penguasaan Bahasa Malaysia yang amat baik. Mereka mampu melahirkan pandangan dan imaginasi secara penuh kreatif menggunakan Bahasa Malaysia bertaraf tinggi.

Kesemua Sasterawan Kavyan yang terlibat dalam mengisi borang soal selidik bagi tujuan penulisan siri esei ini menolak sekeras-kerasnya tanggapan mana-mana pihak yang mengatakan karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan kelompok ini tidak sehebat karya penulis Melayu.

Menurut Navanitha Nairu yang berasal dari Kangar, Perlis, golongan Sasterawan Kavyan mempunyai penguasaan Bahasa Malaysia yang baik, serta mempunyai bakat dan kebolehan menghasilkan karya bermutu dalam Bahasa Malaysia.

“Banyak karya penulis kaum India diminati dan dijadikan pilihan pembaca pelbagai kaum,” kata Navanitha yang mengakui sumbangan Sasterawan Kavyan kepada perkembangan bidang penulisan di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menggerakkan acara bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya melibatkan masyarakat pelbagai kaum di seluruh negara sejak 1999, ternyata karya penulis kaum India mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Dr Othman Puteh (arwah), Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan, Dr Mohamed Saleeh Rahamad, Dr Krishanan Maniam dan rata-rata pengkaji sastera yang berkaliber mengakui hakikat cerpen-cerpen Sasterawan Kavyan mengangkat citra budaya, realiti kehidupan serta menggambarkan masalah dan pemikiran kaum India, dan disampaikan pula menggunakan Bahasa Malaysia yang baik dan kreatif.

Berbalik kepada kategori khas bagi “penulis bukan Melayu” dalam pertandingan menulis cerpen dan sajak, para Sasterawan Kavyan merasakan ia sudah tidak perlu lagi. Malah, ia dilihat sebagai langkah terkebelakang.

“Saya percaya penulisan kaum India setanding kaum Melayu,” kata S. Maartandan Suppiah, seorang penulis dan pensyarah dari Kampar, Perak, sambil menambah bahawa karya Sasterawan Kavyan perlu dipromosikan dan disebarkan secara lebih meluas kepada masyarakat awam.

Mahendran Mathavarayan yang menang Hadiah Cerpen Maybank-DBP pada 1988, 1991 dan 2003 turut menolak kategori khas bagi “penulis bukan Melayu” dalam mana-mana pertandingan peringkat kebangsaan.

Pada pendirian penulis prolifik ini, kita semua adalah warganegara Malaysia dan perlu dilayan sama rata, termasuk dalam pertandingan penulis puisi dan cerpen. Tambahan pula, hadiah bagi kategori “bukan Melayu” biasanya lebih rendah berbanding kategori umum.

Turut menyetujui pandangan ini ialah penulis dan penyelaras penyelidikan Hospital Daerah Taiping, Venoo Kuppusamy: “Seorang penulis harus dinilai berdasarkan karya yang dihasilkan dan bukannya berdasarkan kaum. Semua penulis harus dinilai sama rata.”

“Penulis harus dinilai dari segi hasil karya dan bukan dari segi kaum atau warna kulit,” tegas Charles Mohan M. Muthiah, penerima Anugerah Skrin TV3 (2007) dan Anugerah Berita Pengguna (2002) yang menulis buku Sebenarnya (2016) untuk berkongsi pengalaman sebagai wartawan televisyen.

Peserta Minggu Penulis Remaja (1998), Sardah Appalasamy memang telah melalui pengalaman perit sebelum berjaya muncul dengan novel Mahligai Syurga (2016). Beliau turut menolak kategori khas bagi penulis mengikut kaum.

“Kenapa perlu ada kategori yang berlainan sedangkan penulis bukan Melayu juga mampu menghasilkan karya Bahasa Malaysia bermutu. Malah, karya mereka kadang-kadang lebih bermutu daripada penulis Melayu,” kata Sardah.

Pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh para Sasterawan Kavyan ini menunjukkan bahawa mereka amat yakin kepada tahap penguasaan Bahasa Malaysia serta mutu karya yang mampu dihasilkan oleh golongan penulis kaum India. Ini bukan tanda ego, tetapi bukti keyakinan terhadap kemampuan diri.

Pada pandangan Prabhawathy Govindarajoo yang merupakan guru cemerlang Bahasa Inggeris dan setiausaha Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah): “Kebolehan penulis kaum India tidak patut diperkecilkan dengan mengadakan kategori yang berbeza.”

Sejak 1999, Kavyan menganjurkan Apresiasi Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Temasya Bahasa, Projek Komuniti Kavyan dan puluhan aktiviti yang turut melibatkan khalayak kaum India, termasuk dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Ternyata penguasaan Bahasa Malaysia bukan suatu masalah dalam kalangan individu yang berminat menjadi penulis.

“Sepatutnya tiada jurang antara penulis pelbagai kaum. Dengan adanya kategori khas untuk penulis bukan Melayu, saya rasa seperti diberi label. Tindakan seperti ini amat tidak wajar,” kata Thanusya Shanmuganathan yang turut menambah: “Sasterawan Kavyan mampu menghasilkan karya berkualiti. Kami mampu berdiri sama tinggi dengan penulis kaum lain.”

Daripada pengalaman saya sendiri, cerpen “Bitara Sita” disiarkan di akhbar Mingguan Malaysia (31 Oktober 1993) menggunakan nama pena ‘Hanuman O’ sebelum menerima Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1993). Walaupun terdapat kategori “bukan Melayu”, cerpen saya dinilai dalam “kategori umum” kerana panel mengaku tidak sedar karya itu ditulis penulis “bukan Melayu”.

Begitu juga cerpen “Cat2” yang disiarkan di Mingguan Malaysia (11 Mei 2003) menggunakan nama sebenar. Apabila dinilai dan dimenangkan dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-ExxonMobil (2003), penilaian dilakukan bersama-sama para penulis lain; bukan kategori khas “bukan Melayu”.


Kavyan menganjurkan siri bengkel penulisan cerpen dan makalah di mana peserta pelbagai kaum diberikan layanan sama rata. Kesemua peserta diminta menghasilkan manuskrip bermutu supaya layak dinilai dan disalurkan ke majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tidak ada apa-apa layanan khas atau kelonggaran bagi peserta “bukan Melayu” atau peserta kaum India.

Sasterawan Kavyan perlu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan para penulis Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang. Pemberian hak istimewa dan peluang khas hanya menjadikan golongan itu terlalu manja, terlalu bergantung, terlalu lemah, tidak mampu berdikari, tiada inovasi dan akhirnya kandas dalam usaha memberikan sumbangan bermakna kepada perkembangan bidang penulisan negara. [Baca – BAHAGIAN EMPAT]

[Esei ini ditulis pada 18 April 2017 dan disiarkan di Eksentrika pada 19 April 2017. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda membaca paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.]