Wednesday, 24 May 2017

Sasterawan Kavyan – Bahagian 2


[Baca – BAHAGIAN SATU] Dalam majalah Dewan Sastera keluaran April 2017, penulis esei berkenaan, Raja Rajeswari Seetha Raman, dan editor, Fadli Al-Akiti mengemukakan hujah yang secara terang-terangan tidak menggambarkan realiti yang wujud dalam kalangan penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris.

Menurut Raja Rajeswari: “Mungkin setakat ini, tidak ada percubaan daripada pihak yang bertanggungjawab ataupun kerajaan untuk mencari titik pertemuan antara ketiga-tiga kumpulan besar penulis India ini mencari jalan tengah untuk bertemu dan berkongsi pandangan.”


Penulis esei ini sebenarnya pernah menjadi  ahli Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Tetapi keahliannya dilucutkan pada Julai 2003 berikutan tindakannya bersekongkol dengan pihak luar dalam cubaan mensabotaj serta menggagalkan acara Baca Cerpen Kavyan yang diadakan bagi mencatat nama dalam The Malaysia Book of Records. [Baca di sini]

Sejak itu, Raja Rajeswari tidak mengikuti mana-mana aktiviti anjuran Kavyan, walaupun kesemua aktiviti terbuka kepada semua. Maka, amat hairan apabila dia yang terputus hubungan dengan penulis kaum India mengeluarkan kenyataan seperti di atas dalam majalah Dewan Sastera.

Menurut Fadli Al-Akiti pula: “Peliknya, setiap kelompok penulis ini semacam tidak mengenali atau tidak mahu mengenali antara satu sama lain. Seakan-akan tidak pernah ada jambatan yang mahu dibina oleh mana-mana pihak untuk menghubungkan antara satu dengan lain.”


Kenyataan seumpama ini mungkin benar sekitar dua puluh tahun lalu. Akan tetapi, agak mengecewakan dan memalukan apabila seorang editor sebuah majalah sastera terunggul negara mengeluarkan kenyataan seolah-olah tidak tahu-menahu mengenai usaha berterusan yang dilakukan oleh Kavyan sejak lebih sedekad lalu.

Misalnya, pada 16-17 Januari 2004, Kavyan menganjurkan majlis Apresiasi Sastera Kaum India di Morib, Selangor. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said membicarakan mengenai karya Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh Sasterawan Kavyan, sementara saya memperkatakan mengenai terjemahan cerpen Tamil kepada Bahasa Malaysia.

Tokoh sastera, seni dan muzik Tamil tempatan, Re. Shanmugam (mendiang) menghuraikan secara terperinci mengenai sejarah dan perkembangan penulisan sajak Tamil di Malaysia. Manakala, presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, P. Rajendran menjelaskan mengenai usaha memajukan sastera Tamil di Malaysia.

Bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris, acara pertemuan khas bagi ketiga-tiga kelompok penulis berkenaan diadakan oleh Kavyan pada 1 November 2015 – baca di sini. Masing-masing berkongsi pengalaman dan suara hati secara terbuka, selaras usaha membina jambatan yang lebih kukuh demi perpaduan dalam kalangan penulis kaum India.


Susulan daripada itu, pada 20 Disember 2015, Kavyan menganjurkan Baca Karya Penulis Malaysia yang menghimpunkan penulis pelbagai kaum, keturunan dan agama, yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil, Inggeris dan sebagainya.

Maklumat mengenai aktiviti seperti ini didokumentasikan di blog Kavyan untuk rujukan awam. Sekiranya Raja Rajeswari dan Fadli Al-Akiti melakukan carian menggunakan Google, pasti semua data itu muncul pada skrin komputer!

Kesemua aktiviti Kavyan sejak diasaskan pada 22 Ogos 1999 terbuka kepada semua tanpa mengira kaum dan agama berasaskan semangat “Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia”. Sesiapa yang mengikuti perkembangan aktiviti sastera kebangsaan pasti tahu akan hakikat ini.

Kavyan menjalinkan hubungan erat dengan pelbagai pihak; sama ada yang berkaitan dengan bahasa, sastera, seni, budaya dan kebajikan. Konsep “Tolak Perkauman, Raikan Kepelbagaian, Pupuk Perpaduan” menjadi satu lagi amalan dalam kalangan peneraju Kavyan.


Pertemuan tidak rasmi juga selalu dianjurkan oleh Kavyan untuk berkongsi pengalaman bersama-sama penulis dan aktivis sastera pelbagai kaum dan pelbagai bahasa. Perbezaan bahasa penulisan tidak pernah menjadi halangan untuk menjalinkan perpaduan, kerjasama dan perkongsian pengalaman.

Penulis seperti Sardah Appalasamy, Mahendran Mathavarayan, Prabhawathy Govindarajoo dan Venoo Kuppusamy, misalnya, bukan hanya menguasai Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris secara pertuturan, malah juga membaca karya dalam bahasa-bahasa berkenaan.

Bagi penulis seperti Richard Ignacy, Charles Mohan M. Muthiah, Ramakrishnan Ramasamy dan Thanusya Shanmuganathan, misalnya, walaupun mereka tidak membaca karya Bahasa Tamil, namun perkembangan sastera Tamil tetap diikuti menerusi pendengaran. Sebagaimana majoriti kaum India di Malaysia, mereka juga penutur Bahasa Tamil.

Mahendran yang lahir di Bentong, Pahang merupakan penulis karya Bahasa Malaysia dan Tamil. Cerpen awal yang tersiar ialah “Yaezhmaiyin Vilaiyaattu” (Mayil, 1987) dan “Karupaya” (Menara, 1988). Penulis ini yang turut menggunakan nama pena M. Prabhu meminati karya-karya A. Samad Said, A. Samad Ismail, Abdullah Hussain, Azizi Haji Abdullah, Mu. Varatharaasan, Sivasanggari, Sujatha, Jeyakaanthan, R.K. Narayan dan Enid Blyton.

Prabhawathy pula mengikuti serta menerajui pelbagai aktiviti Kavyan sejak tahun 2000. Beliau turut menyertai acara bahasa dan sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan sebagainya.

Walaupun Prabhawathy merupakan guru Bahasa Inggeris yang berkelulusan dari Universiti Exeter, United Kingdom, namun beliau menulis cerpen, sajak dan esei Bahasa Malaysia. Bermula dengan cerpen “Meenatchi” yang tersiar di majalah Dewan Masyarakat (April 2002), beliau turut menyumbangkan karya di Metro Ahad, Nila, Dewan Siswa dan Dewan Budaya.

Seorang lagi Sasterawan Kavyan yang tampil memberikan maklumat bagi penulisan siri esei ini ialah Thanusya yang juga menggunakan nama pena Meera Natasya. Penulis kelahiran Kuala Lumpur ini muncul dengan novel sulung Tak Sengaja Cinta (2014), dikuti novelet Cik Cemerkap VS Encik Selfie (2016).

Thanusya membaca karya Bahasa Malaysia dan Inggeris yang dihasilkan penulis tempatan seperti Chua Pei Yong, Damya Hanna, Aisya Sofea dan Sharifah Abu Salem, serta penulis luar negara seperti Nora Roberts, JD Robb dan James Patterson.

Bagi Sardah yang berkerja di sebuah pejabat guaman, karya Arena Wati, A. Samad Said, Jodi Picoult dan James Patterson menjadi pilihan bacaan; selain akhbar dan majalah Tamil.

Wakil Kavyan selalu menyertai aktiviti seperti pelancaran buku, diskusi buku, forum, seminar, pameran dan majlis baca puisi anjuran persatuan penulis yang mewakili kelompok kaum India, Cina dan Melayu melibatkan karya Bahasa Malaysia, Inggeris dan Tamil.

Maka, adalah amat menghairankan, mengecewakan dan memalukan apabila sebuah majalah berprestij seperti Dewan Sastera sewenang-wenangnya menyiarkan esei tulisan Raja Rajeswari yang menuduh kononnya tidak wujud hubungan antara penulis pelbagai kaum; malah tiada interaksi antara penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris.


Suka saya menyarankan kepada orang seperti Raja Rajeswari dan Fadli Al-Akiti supaya keluar dari bawah tempurung dan mengikuti pelbagai acara anjuran Kavyan. Mereka juga boleh hadir menyaksikan Reading @ Seksan’s yang menampilkan penulis pelbagai kaum menyampaikan bacaan karya pelbagai bahasa dalam suasana muhibah dan penuh ceria.

Mereka juga boleh menghadiri majlis diskusi novel Shambala Junction yang diuruskan oleh Kavyan di Brickfields, Kuala Lumpur pada 13 Mei 2017. Atau ikuti acara anjuran Projek Dialog, Malaysian Writers Society, Eksentrika, Fixi, Indian Cultural Centre dan sebagainya supaya dapat membuka minda mengenai realiti sebenar penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa di Malaysia. [Baca – BAHAGIAN TIGA]

[Esei ini ditulis pada 11 April 2017 dan disiarkan di Eksentrika pada 12 April 2017. © Uthaya Sankar SB 2017. Harap maklum bahawa anda membaca paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. Tidak ada sesiapa yang memaksa anda.]