Tuesday, 21 March 2017

Kematian Rabia Undang Persoalan

Catatan bertajuk “Misteri Kematian Rabia Salam” (8 Mac 2017) dibaca oleh sekurang-kurangnya 8,850 orang dalam masa dua minggu. Rata-rata masih tertanya-tanya apa yang sebenarnya berlaku kepada atlet remaja berkenaan sehingga menyebabkannya membunuh diri dengan meminum minyak kuda.

Tentulah catatan awal saya tidak mencukupi untuk menjawab segala pertanyaan itu. Akan tetapi, seperti yang saya nyatakan pada hujung catatan berkenaan, saya mahu mendapatkan maklumat daripada sesiapa yang boleh membantu meleraikan misteri kematian Rabia Salam.

Pada masa sama, saya meneruskan pencarian maklumat menerusi sumber sekunder, seperti laporan akhbar, majalah dan buku. Maklumat bertulis yang ditemui agak memeranjatkan juga. Malah, terdapat sebuah buku khas yang terbit pada Mei 1994 – sekitar tiga bulan selepas pemergian Rabia Salam.

Perkongsian pelbagai maklumat sekunder ini dapat membantu kita untuk sama-sama menyelami secara lebih mendalam peristiwa kematian Rabia Salam yang masih menjadi misteri.

Abdul Salam Monna Mohamed
“Kami mahu kes ini diselesaikan dengan secepat mungkin. Kami ingin tahu mengapa dia terbunuh dan apakah motif utama kematian Rabia. Kami percaya dia tidak membunuh diri. Dikhianati mungkin, tetapi tidak membunuh diri,” kata ayah mendiang, Abdul Salam Monna Mohamed, yang berhijrah dari India ke Pulau Pinang pada tahun 1953.

Bapa saudara arwah, Osman, bertegas: “Saya tetap menyatakan bahawa Rabia dikhianati oleh mereka yang kurang senang dengan kemampuannya mengharumkan nama negara. Mengapa mesti dia membunuh diri? Bagi saya, kematiannya tetap dikhianati dan tidak bermotifkan bunuh diri.”

Atlet tinggi lampai ini belajar sehingga Tingkatan Lima, sebelum mendapat tawaran kerja di sebuah bank di ibu negara. Ramai yang tidak tahu bahawa kaki kiri Rabia Salam lebih pendek daripada kaki kanan. Namun, kekurangan itu bukan sahaja berjaya diatasi, malah berjaya dimanipulasi oleh remaja ini untuk muncul sebagai ratu trek pada usia muda.

Pada 24 Februari 1994, sekitar pukul 9:00 malam, Rabia Salam yang tinggal di Bandar Baru Bangi, Selangor mengadu sakit perut dua jam selepas berbuka puasa. Dia dibawa ke Hospital Daerah Kajang dengan diiringi dua rakan serumah, dan jurulatih peribadi, C. Ramanathan.

“Saya tidak mahu menyusahkan sesiapa ketika membawa Rabia ke hospital kerana doktor menyatakan saya tidak perlu bimbang. Sebab itu saya tidak menghubungi KOAM atau pun keluarganya di Pulau Pinang,” C. Ramanathan dilaporkan berkata di sebuah akhbar pada 26 Februari 1994.

Polis pada mulanya tidak menolak kemungkinan Rabia Salam mengalami keracunan makanan. Polis mahu menyiasat kes kematian atlet muda itu dari tiga sudut, iaitu diracuni, terminum racun, dan cuba membunuh diri.


Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui umum, hasil siasatan kes itu seolah-olah disenyapkan – atau disembunyikan. Orang ramai masih tertanya-tanya apakah hasil siasatan polis. Keluarga mendiang, khasnya Abdul Salam (bapa) dan Noorjahan (kakak) pernah memberitahu wakil media bahawa segala dokumen berkaitan tidak diserahkan kepada mereka; sebaliknya dipegang oleh pihak lain.

Menteri Belia dan Sukan waktu itu, Abdul Ghani Othman dilaporkan “terkejut” dengan laporan awal yang mengesahkan Rabia Salam meninggal dunia akibat meminum bahan beracun.

Sebuah akhbar pada 9 Mac 1994 memetik beliau melahirkan keyakinan bahawa apabila siasatan polis selesai, punca sebenar tragedi itu akan diketahui dan tindakan undang-undang akan diambil.

Namun, seperti diketahui umum, hasil siasatan disenyapkan daripada pengetahuan orang ramai. Sehingga kini, kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Pelbagai khabar angin yang bertiup pada tahun 1994 masih tersebar – dan mungkin dianggap sebagai “fakta” oleh sebahagian masyarakat kerana hasil siasatan tidak didedahkan kepada umum.


Penjaga kubur di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Perak, Pulau Pinang telah memberikan pelbagai maklumat kepada wakil media yang menemuinya pada tahun 1994.

Individu yang hanya dikenali sebagai Pak Hassan dilaporkan berkata, “terdapat beberapa orang yang terdekat dengan badan-badan yang terlibat telah menyatakan bahawa motif kematian Rabia sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan umum. Apa yang pak cik dengar, Rabia telah terlibat dalam satu kes yang mana perbuatan ini bakal memalukan keluarganya.”

Menurut sebuah buku yang terbit pada Mei 1994, Pak Hassan mengaku mendengar semua maklumat itu daripada mereka yang hadir semasa pengkebumian jenazah Rabia Salam pada 26 Februari 1994.

“Sudah menjadi kelaziman, setiap kali si mati hendak dikebumikan, surat matinya akan diserahkan dahulu. Bagi kes Rabia, ini tidak berlaku. Segalanya ada di tangan Datuk,” kata Pak Hassan dengan merujuk kepada Datuk Khalid Yunus yang menjadi presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) pada waktu itu.

Dalam catatan lalu – “Misteri Kematian Rabia Salam” – saya menyebut bahawa keahlian C. Ramanathan dalam KOAM digantung pada 23 Mac 1994 ekoran berlakunya kes pencabulan dan meramas buah dada atlet wanita.

Datuk Khalid Yunus
Sewaktu akhbar-akhbar Bahasa Inggeris pada awal Mac 1994 mendedahkan kes pencabulan atlet wanita oleh seorang jurulatih kebangsaan, Datuk Khalid Yunus menyeru pihak media berhenti “melaporkan khabar-khabar angin mengenai dakwaan-dakwaan ada jurulatih tertentu telah mencabul kehormatan sesetengah atlet wanita negara”. Kenyataan beliau dilaporkan di akhbar pada 11 Mac 1994.

Terdahulu, sebuah akhbar (10 Mac 1994) menyiarkan berita bahawa seorang atlet wanita membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur berikutan insiden kehormatannya dicabul seorang jurulatih kebangsaan pada tahun 1992.

Sebuah akhbar Bahasa Inggeris turut mengaitkan Datuk Khalid Yunus dengan mengatakan beliau sebenarnya mengetahui mengenai kes pencabulan itu. Menurut laporan akhbar pada 13 Mac 1994, Datuk Khalid Yunus berkata, kenyataan bahawa beliau dan beberapa pegawai KOAM terlibat dalam usaha menutup kejadian itu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

“Sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah ada jurulatih atau pegawai KOAM yang lain memberitahu saya mengenai perbuatan sumbang itu,” tegasnya bagi menafikan laporan akhbar Bahasa Inggeris yang mengatakan beliau selaku presiden KOAM, dan Mashatar Singh selaku timbalannya, serta pegawai KOAM lain cuba berselindung supaya tidak dikaitkan dengan kes pencabulan itu.

Sementara itu, pada 13 Mac 1994, C. Ramanathan memfailkan saman terhadap akhbar The Malay Mail berhubung berita muka satu bertajuk “Athlete Lodges Report – Coach Fondled Breasts Under Pretext of Massage Claim” (8 Mac 1994).

Pada 23 Mac 1994, mesyuarat khas KOAM sebulat suara bersetuju menggantung keahlian C. Ramanathan susulan kes pencabulan dan meramas buah dada ke atas beberapa atlet wanita semasa persiapan skuad negara ke Kejohanan Remaja Asia di New Delhi, India pada 1992.

Presiden KOAM, Datuk Khalid Yunus bagaimanapun menegaskan, mesyuarat khas itu hanya membincangkan kes pencabulan dan meramas buah dada atlet; dan tiada kena-mengena dengan kes misteri kematian Rabia Salam.

Tan Sri Rahim Noor
Sementara itu, laporan media pada 23 Mac 1994 memetik Timbalan Ketua Polis Kajang menafikan khabar angin kononnya Rabia Salam mengandung sewaktu meninggal dunia.

Laporan akhbar pada 25 Mac 1994 pula memetik kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa polis tidak dapat mengesahkan sama ada Rabia Salam mengandung ketika meninggal dunia akibat terminum minyak kuda.

Dalam laporan terakhir yang saya temui, akhbar pada 16 April 1994 memetik kenyataan Tan Sri Rahim Noor bahawa polis sudah menerima laporan bedah siasat berhubung kematian Rabia Salam. Beliau bagaimanapun mahu menyerahkan kuasa kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Seperti yang kita ketahui, kes penuh misteri itu disenyapkan (disembunyikan?) begitu sahaja dan tiada sebarang laporan di media arus perdana. Orang ramai berhak untuk bertanya dan tertanya-tanya apa yang mahu disembunyikan pihak berkuasa! [Baca lagi: Rabia Salam dan Ramanathan]

Tambahan pula, pada 7 Januari 1999, Tan Sri Rahim Noor mengumumkan peletakan jawatannya berikutan insiden kecederaan dialami Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan polis.

Saya sedang terus berusaha mengumpulkan lebih banyak maklumat dari pelbagai sumber untuk mendapatkan jawapan. Pasti ada individu yang mempunyai maklumat penting yang mahu dikongsi.

Pasti akan ada pihak yang sudi menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya untuk berkongsi sebarang maklumat yang boleh membantu menjawab misteri kematian Rabia Salam. Seperti biasa, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.