Friday, 10 June 2016

Hang Tuah Tidak Wujud?

Apakah Hang Tuah benar-benar wujud dalam sejarah atau sekadar watak dongeng hasil kreatif kesusasteraan Melayu bertujuan mengangkat keagungan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15?

Inilah persoalan yang cuba dijawab secara akademik oleh Dr Hashim Musa dan Dr Rohaidah Kamaruddin menerusi buku Hang Tuah: Catatan Okinawa (2015); seperti dihuraikan dalam Bahagian 1.

Dengan mengambil contoh Alexander the Great, Julius Caesar dan Laksamana Cheng Ho, kedua-dua pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menghuraikan keperluan sumber primer (utama) sebagai bahan bukti yang boleh diterima secara akademik.

Teks Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Tuhfat al-Nafis cuba dikaji untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah sebagai seorang pahlawan yang benar-benar pernah hidup di Melaka.

Teks asal Hikayat Hang Tuah dipercayai ditulis pada tahun 1688-1710 di Johor, iaitu selepas kejatuhan Melaka ke tangan penjajah Portugis.

Pada pandangan Dr Kassim Ahmad, Hikayat Hang Tuah bukan sebuah teks sejarah, sebaliknya sebuah karya sastera.

Hang Tuah bersama-sama ibu bapanya, Hang Mahmud dan Dang Merdu, dikatakan berasal dari Sungai Duyung, Melaka dan berpindah ke Bentan yang diperintah raja keturunan Sang Sapurba dari Bukit Seguntang.

Di situlah Hang Tuah bertemu Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Apabila Raja Bentan berpindah ke Melaka, kononnya mereka dibawa bersama-sama.

Teks Sejarah Melayu pula diusahakan Tun Sri Lanang sekitar tahun 1612. Apa yang menarik, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia (25 September 2014), Tun Sri Lanang, atau nama sebenarnya Tun Muhammad, anak kelahiran daerah Kota Tinggi, Johor.

Dalam Sejarah Melayu, seorang anak raja Bugis dari Goa, Makassar dipersembahkan kepada Sultan Mansur Shah, lalu nama Daeng Merupawah ditukar kepada Hang Tuah.

Memandangkan Sejarah Melayu ditulis selepas 1600, maka tidak boleh dijadikan sumber primer untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah dari segi sejarah. Hal ini diakui Dr Hashim dan Dr Rohaidah.

Mencari sumber primer di luar negara

Teks Tuhfat al-Nafis pula hanya sekali menyebut tentang Hang Tuah. Malah, diyakini Raja Ali Haji yang mengarangnya pada 1870 telah merujuk kisah dalam Sejarah Melayu.

Dr Hashim dan Dr Rohaidah mengaku: “Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nifas seperti yang ada sekarang ini, tidak bertaraf sumber primer kerana tidak tertulis sezaman dengan hidupnya Hang Tuah.”

Akibatnya, terpaksalah mencari sumber primer dari luar negara. Ia hadir dalam bentuk dokumen rasmi Rekidai Hoan milik Kerajaan Ryuku, Jepun yang ditulis antara tahun 1431 dan 1518.

Menurut pengkaji, ada tiga pucuk surat dalam koleksi dokumen rasmi itu “secara langsung berkaitan dengan Laksamana Hang Tuah dan bertarikh 1480 dan 1481.”

Surat bertarikh 11 April 1480 menampilkan nama “Lo-his-ma-na” (Laksamana) sebanyak empat kali.

Profesor Atsushi Kobata dan Mitsugu Matsuda yang menterjemah dokumen berkenaan pada 1969 yakin “Laksamana yang disebutkan itu tidak lain daripada Laksamana Hang Tuah yang sememangnya masa itu berkhidmat di bawah Sultan Alauddin Riayat Shah, seperti yang dinyatakan dalam Sejarah Melayu.”

Perhatikan bahawa pandangan mereka berdua iaitu “Laksamana” merujuk kepada “Hang Tuah” cuba dijadikan bukti sahih oleh penulis buku Hang Tuah: Catatan Okinawa.

Satu lagi sumber primer yang diketengahkan ialah buku catatan Alfanso Dalboquerque (Alfonso de Albuquerque) mengenai pelayaran ke Goa, India (1510) dan Melaka (1511).

Pegawai tinggi angkatan laut itu mencatatkan mengenai seorang Laksamana berumur 80 tahun yang berpindah ke Singapura selepas kejatuhan Melaka.

Catatan di atas juga cuba dijadikan bukti sahih oleh Dr Hashim dan Dr Rohaidah dengan menyimpulkan “Laksamana” merujuk kepada “Hang Tuah”.

Laksamana dan Hang Tuah dua watak berbeza?

Pada pandangan saya, hujah-hujah yang dikemukakan masih kurang meyakinkan. Pengkaji berkenaan masih berpegang kepada “andaian” dalam usaha membuktikan Hang Tuah benar-benar wujud.

Dalam teks Sejarah Melayu selenggaraan Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh (1997), dinyatakan Hang Tuah meninggal dunia akibat “menghidap demam panas dan sakit kepala” sebelum Melaka jatuh ke tangan Portugis.

Perkara ini disentuh Dr Ahmat Adam dalam buku Antara Sejarah dan Mitos (2016) sebagai usaha membuktikan Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah lebih menepati konsep dongeng, legenda dan mitos berbanding teks sejarah.

Pada pandangan Dr Ahmat, kisah ketokohan Hang Tuah diceritakan dari generasi ke generasi dalam kalangan orang Melayu sehingga akhirnya dipercayai sebagai fakta sejarah.

Teks Hikayat Hang Tuah disifatkannya sebagai “epic romance”, “sejarah mythical seorang wira kesultanan Melaka”, “fiksyen sejarah” dan “historical novel”.

Sejak kanak-kanak, saya melihat persamaan ketara antara watak lima pahlawan dalam Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dengan Ramayana dan Mahabharata.

Saya melihat perwatakan Laksamana (Ramayana) dan Arjuna (Mahabharata) dalam penampilan diri Hang Tuah.

Dr Hashim dan Dr Rohaidah mengandaikan nama “Laksamana” yang ditemui dalam dokumen rasmi di Okinawa merujuk kepada “Hang Tuah”.

Bagi Dr Ahmat pula, “Laksamana” dan “Hang Tuah” merujuk kepada dua watak berbeza.

Pada penelitian beliau, demi tidak melanggar pantang-larang menyebut dan menulis nama seorang hulubalang besar seperti Laksamana, maka Tun Sri Lanang mencipta watak Tuah (atau “Tuha” dan “Toh”) sebagai alter ego kepada Laksamana yang benar-benar hidup pada zaman itu.

Pencarian Hang Tuah masih diteruskan

Dr Ahmat yang pernah berkhidmat sebagai felo pelawat, sarjana tamu dan felo penyelidik di beberapa universiti luar negara menegaskan, Hang Tuah hanyalah “watak fictitious” dan “watak khayalan”.

Apa yang pasti, katanya, “Hang Tuha atau Hang Toh bukanlah nama sebenar Laksamana Melaka – jauh sekali Hang Tuah!”

Watak Hang Tuah dipercayai direka berdasarkan watak Raden Inu Kertapati dalam cerita panji dari Indonesia.

Kehadiran lima sahabat membuktikan pengaruh Hikayat Pandawa Lima yang bersumberkan epik Mahabharata dari India.

Watak Laksamana Hang Tuah dikatakan bersumberkan watak Laksamana dalam epik Ramayana dan Hikayat Seri Rama; sama seperti tanggapan saya sejak kecil. [Rujuk “Laksamana Arjuna” dalam buku Pulau Pendatang.]

Dr Ahmat menghuraikan pandangan ini secara mendalam dan akademik menerusi buku Antara Sejarah dan Mitos setebal 212 halaman.

Memang wujud individu yang memegang jawatan “Laksamana” semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, tetapi watak “Hang Tuah” adalah rekaan semata-mata.

Beliau menyimpulkan, watak Hang Tuah tidak pernah wujud, manakala teks mengenai watak itu “sebuah fiksyen sejarah” dan “dongeng belaka”.

Lalu, mengapakah watak Hang Tuah terus “hidup” sehingga kini bersama-sama laungan “Takkan Melayu Hilang di Dunia”?

Menurut Dr Ahmat, watak mitos Hang Tuah diwujudkan untuk “menyampaikan mesej yang maha penting kepada orang Melayu … kesetiaan kepada pemerintah sangat dituntut, dan derhaka dan khianat terhadap raja atau datu adalah terkutuk.”

Sementara itu, menurut laporan Bernama (17 Disember 2015), sekumpulan pengkaji sedang mencari dana lebih RM1 juta untuk membiayai projek membuktikan Hang Tuah benar-benar wujud. [Baca Bahagian 1]

[Makalah ini ditulis pada 13 Februari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Februari 2016.  © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!