Wednesday, 10 April 2013

Ramayana – Bahagian 5

Ganesh dan Dhurga terasa seronok mendengar kisah-kisah lama yang disampaikan oleh nenek walaupun adik-beradik berumur 12 dan 10 tahun itu sudah biasa membaca komik serta menonton kartun Ramayana.
 
Pada kali ini, nenek menceritakan pelbagai kisah lain yang berlaku dalam kehidupan raja-raja keturunan Dinasti Ikshavaku yang juga dikenali sebagai Surya Vamsa. Segala kisah ini berlaku lama sebelum kelahiran watak Rama, Laksamana dan Sita yang dikenali umum.
 
Paati, bukankah Dinasti Ikshavaku juga dikenali sebagai Dinasti Raghu?” Dhurga bertanya tidak lama selepas nenek selesai menceritakan kisah Raja Harishchandra.
 
“Saya rasa Dinasti Raghu dinamakan sempena salah seorang waris atau cucu-cicit Raja Harishchandra. Betul tak, paati?” Ganesh pula mengemukakan pandangan.
 
“Apa yang kamu berdua katakan memang betul. Kamu sudah mendengar kisah mengenai Harishchandra dan Rohitashwa, bukan? Dalam jurai keturunan itulah kemudian lahir Raghu, seorang pemerintah yang begitu terkenal sehingga dinasti itu mula dikenali sebagai Raghu Vamsa atau Dinasti Raghu. Raja Raghu adalah datuk kepada Dasaratha, iaitu bapa kepada Rama dan Laksamana.”
 
Pasangan adik-beradik itu tekun mendengar. Walaupun nenek buta huruf, pengetahuan beliau mengenai pelbagai kisah dalam epik, mitos dan purana India dan Hindu sangat mendalam.
 
“Kisah tentang kehebatan Raghu juga ditulis oleh penyair agung Tamil, Kalidasa dalam teks berjudul Raghuvamsha,” nenek menghuraikan.
 
“Boleh tak paati menceritakan kisah Raja Raghu?” tanya Dhurga dengan manja.
 
“Ya, tolonglah ceritakan, paati,” Ganesh meminta dengan nada merayu.
 
Wanita tua itu tersenyum seraya membetulkan duduknya di atas lantai kayu di anjung rumah.
 
“Kisah kelahiran Raghu juga sangat menarik dan wajar kamu ketahui. Untuk itu, kamu berdua perlulah terlebih dahulu mengetahui cerita bapanya iaitu Raja Dilipa.”
 
Ganesh dan Dhurga melonjak kegembiraan. Kemudian, mereka duduk di hadapan nenek dan bersedia untuk mendengar sebuah lagi kisah daripada tradisi lisan India yang mungkin sudah kurang diketahui generasi muda.
 
Dilipa juga dikenali dalam jurai pemerintahan Dinasti Ikshavaku dengan nama Khatwanga. Baginda seorang pemerintah yang adil, saksama dan pada masa sama, seorang raja yang sangat merendah diri. Kalau baginda pergi menyaksikan acara sukan di arena, misalnya, baginda tidak pernah membawa bala tentera bersama-sama untuk tujuan perlindungan.
 
Baginda amat disukai rakyat di Ayodhya. Namun begitu, Raja Dilipa dan Permaisuri Sudakshina sangat sedih kerana masih belum mendapat cahaya mata walaupun sudah lama berkahwin. Pelbagai cara dicuba tetapi kesemuanya tidak membuahkan hasil yang diimpikan.
 
Pada suatu hari, istana Dilipa dikunjungi Maharishyi Vasishta dan isterinya, Arundhati. Pasangan itu hidup bahagia dan sering menjadi contoh kepada mana-mana pasangan yang mendirikan rumahtangga.
 
“Saya faham bahawa tuanku sedang berdukacita kerana belum dikurniakan cahaya mata yang bakal meneruskan pemerintahan kerajaan ini,” Vasishta berkata apabila mereka berdua berpeluang untuk duduk bersendirian.
 
“Benarlah seperti apa yang dikatakan itu. Macam-macam cara, teknik dan petua sudah diamalkan tetapi tiada hasil,” Dilipa mengakui secara terbuka. “Ada pihak yang mengatakan bahawa mungkin ada kekurangan pada isteri beta.”
 
“Sebenarnya, tuanku, tidak ada apa-apa kekurangan pada kemampuan permaisuri untuk menjadi seorang ibu.”
 
Dilipa memandang tepat ke arah maharishyi berjanggut panjang yang duduk di sisi dengan penuh tanda tanya.
 
“Masalah sebenarnya ada pada tuanku,” kata Vasishta dengan berani tanpa bimbang dikenakan sebarang hukuman oleh raja itu. “Saya terpaksa berterus-terang dengan tuanku.”
 
“Ya, berterus-teranglah. Beta sedia mendengar.”
 
Pada masa lalu, sewaktu Dilipa belum berkahwin, baginda pernah mengetuai pasukan tentera bagi mempertahankan golongan vasu (dewa) daripada serangan musuh.
 
Semasa dalam perjalanan pulang, raja itu lalu di hadapan rumah Vasishta. Hanya isterinya, Arundhati yang ada di rumah pada waktu itu. – Bersambung ...
 
[Teks ini ditulis pada 20 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 3 Februari 2013. © Teks Uthaya Sankar SB 2013. © Ilustrasi Hussain Sajad 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!