Wednesday, 3 April 2013

Ramayana – Bahagian 4

Sebaik sahaja Dewa Vishnu melafazkan arahan itu, Rohitashwa yang terbaring di atas tanah dan berbalut kain sari milik ibunya menggeliat lalu bangun. Tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang baru sedar daripada tidur yang lena.
 
Harishchandra dan isterinya segera menyerbu dan memeluk serta mencium kanak-kanak yang kebingungan itu. Rohitashwa pada mulanya pelik melihat penjaga kubur yang kusut-masai itu tetapi kemudian sedar bahawa lelaki itu adalah bapanya.
 
“Kau memang seorang raja dan manusia yang benar-benar berpegang pada kata. Sesungguhnya frasa ‘janji ditepati’ sesuai digunakan untuk menggambarkan integriti yang kau miliki,” Dewa Vishnu yang berwajah biru gelap memuji.
 
“Dewa Brahma pasti sangat bangga telah meniupkan roh ke dalam tubuh kau untuk dilahirkan ke bumi sebagai manusia,” kata Dewa Indra yang selalunya sedikit sombong dan kurang memuji dewa-dewa lain, apatah lagi manusia.
 
Dewa-dewa lain yang hadir sama di tanah perkuburan itu mengangguk-angguk sebagai tanda bersetuju dengan pandangan Dewa Indra. Sejak Raja Harishchandra meninggalkan tampuk pemerintahan Kerajaan Ayodhya di tebing Sungai Saryu dan menjadi penjaga kubur, golongan vasu (dewa) itu  memerhatikannya dari jauh pada setiap saat.
 
Harishchandra dan isteri serta anak mereka memandang ke arah Dewa Vishnu, Dewa Indra, Maharishyi Vishwamitra dan para dewa yang muncul tanpa disangka-sangka. Ternyata ada sesuatu yang tidak kena pada segala apa yang sedang berlaku.
 
“Apakah makna semua ini?” Harishchandra terpaksa bertanya sambil mengawal emosi.
 
“Segala apa yang berlaku adalah ujian yang diatur oleh para dewa di kayangan untuk menguji sama ada kau akan terus kekal sebagai insan yang bercakap benar, penuh integriti dan boleh dipercayai dalam apa-apa keadaan. Kau sudah membuktikan bahawa janji-janji kau adalah ‘janji ditepati’ dan bukannya ‘janji dicapati’ seperti yang berlaku dalam kalangan kebanyakan pemimpin di bumi ini,” Dewa Vishnu menghuraikan.
 
“Kau dan isteri ternyata layak diangkat terus masuk ke syurga iaitu nirwana tanpa perlu melalui kelahiran semula sebanyak tujuh kali mengikut hukum karma. Pencipta berpuas hati dengan segala apa yang kalian buktikan sejak kehilangan kerajaan,” kata Vishwamitra.
 
“Mustahil!” kata Harishchandra sambil menggeleng-geleng. “Mana boleh saya meninggalkan kehidupan ini begitu sahaja? Usah lupa akan tanggungjawab saya kepada tuan saya, iaitu pengurus tanah perkuburan ini yang membeli saya dahulu. Saya tidak boleh melarikan diri begitu sahaja; walaupun dijanjikan tempat di syurga.”
 
Pada saat itu, si penjaga kubur yang dimaksudkan muncul dari celah-celah para dewa yang berkerumun di sana. Dia tersenyum lebar dengan penuh ceria ke arah Harishchandra. Kemudian, penjaga kubur itu menjelma dalam rupa Dewa Shiva.
 
“Aku membebaskan kau daripada tugas ini,” katanya dengan ringkas tetapi penuh makna sementara Harishchandra masih terpinga-pinga mencerna maklumat bahawa penjaga kubur yang selama ini menjadi tuannya adalah Dewa Shiva.
 
“Bersedialah untuk kau dan isteri kau berangkat ke syurga,” Dewa Vishnu berkata seketika kemudian.
 
“Tidak boleh. Bagaimana dengan anak saya?” Harishchandra memegang tangan anak tunggalnya dengan erat. Isterinya juga berbuat demikian.
 
“Usahlah tuanku risau memikirkan hal sekecil itu. Adalah menjadi tanggungjawab peribadi saya untuk memastikan masa depan Rohitashwa terpelihara. Tampuk pemerintahan Kerajaan Ayodhya akan diserahkan kepadanya apabila tiba masanya dan saya sendiri akan menjadi menteri perdana untuk menasihatinya,” ujar Vishwamitra yang mengambil alih pemerintahan kerajaan Surya Vamsa daripada Harishchandra sebelum ini.
 
Harishchandra memandang Dewa Vishnu, Dewa Shiva, Dewa Indra, Vishwamitra dan para dewa yang mengerumuminya. Kemudian baginda memandang isteri dan anak di sisi. Isterinya menangis teresak-esak; berbaur antara rasa gembira, sayu, sedih dan terkejut.
 
Tidak lama selepas itu, Harishchandra dan isterinya terbang ke syurga diiringi para dewa. Rohitashwa melambai-lambai ke arah langit sementara Vishwamitra yang berdiri di sisinya tersenyum sumbing penuh makna. – Bersambung minggu depan [KLIK DI SINI]
 
[Teks ini ditulis pada 18 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 Januari 2013. © Teks Uthaya Sankar SB 2013. © Ilustrasi Hussain Sajad 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!