Wednesday, 27 March 2013

Ramayana – Bahagian 3

“Serahkan taali yang kau pakai itu sebagai bayaran supaya saya boleh menguruskan jenazah anak kau,” penjaga kubur itu mencadangkan.
 
Wanita berkenaan terkejut mendengar kata-kata si penjaga kubur. Hal ini kerana berdasarkan suatu sumpahan, hanya suaminya – iaitu Raja Harishchandra – yang boleh melihat taali yang dipakainya sementara loket suci simbol perkahwinan itu ghaib pada pandangan orang lain.
 
Maka tahulah wanita bersari lusuh itu bahawa penjaga kubur yang berdiri di hadapannya adalah suaminya, Harishchandra. Serta-merta dia menangis mengenangkan nasib diri, nasib suami dan nasib anaknya yang sudah tiada.
 
Harishchandra agak kaget melihat apa yang berlaku. Dia sedar bahawa dia tidak boleh membiarkan tangisan dan kisah sedih wanita berkenaan dijadikan alasan untuk dia menyempurnakan jenazah si anak itu tanpa bayaran mengikut peraturan yang ditetapkan.
 
“Wahai suamiku!” Wanita itu meraung sekuat-kuat hatinya. “Akulah isterimu dan jenazah yang terbaring tanpa nyawa ini adalah jenazah putera tunggal kita.”
 
Tentulah Harishchandra terkejut besar menerima berita yang menggemparkan itu. Bukan sahaja dia kehilangan kerajaan dan keluarga serta terpaksa bekerja sebagai pengurus kubur. Kini dia kehilangan anak tunggal pula.
 
Untuk seketika, pasangan suami-isteri itu menangisi nasib yang menimpa diri mereka. Kemudian, Harishchandra menyapu air mata sebaik menyedari bahawa dia bukan lagi pemerintah Ayodhya tetapi penjaga kubur yang diamanahkan membuat kerja oleh tuannya.
 
“Saya masih tidak boleh menguruskan pembakaran jenazah anak kita, Rohitashwa, tanpa bayaran. Ketahuilah, wahai isteri, bahawa saya terikat pada janji dan etika kerja sebagai seorang penjaga kubur.”
 
Kata-kata Harishchandra membuatkan isterinya kembali menangis teresak-esak. Dia tidak ada sebarang harta. Satu-satunya harta yang ada hanyalah taali yang dipakai. Selagi suaminya masih hidup, dia tidak sanggup menanggalkan taali suci itu yang menjadi simbol penting bagi golongan isteri dalam budaya Hindu.
 
“Wahai suamiku! Kalau aku wajib membuat bayaran sebelum jenazah anak ini boleh disempurnakan, hanya sari yang aku pakai ini boleh dijadikan bayaran,” kata wanita itu dengan penuh hiba.
 
Ganesh dan Dhurga yang sedang mendengar cerita nenek turut terasa hiba. Mereka berdua dapat membayangkan kesedihan yang dialami oleh Raja Harishchandra dan permaisurinya pada waktu itu.
 
“Oh! Tidak adakah sesiapa yang datang menghulurkan bantuan pada saat itu, paati?” Ganesh bertanya dengan tidak sabar.
 
“Kenapa keluarga Raja Harishchandra perlu melalui penderitaan seperti itu? Sudahlah jatuh tangga, ditimpa tangga pula,” kata adiknya, Dhurga.
 
“Kamu berdua faham tentang penderitaan yang terpaksa dilalui oleh Raja Harishchandra, bukan? Walau apa-apa pun yang berlaku, baginda tetap mempertahankan etika dan jati diri serta berpegang pada janji,” nenek menghuraikan sebelum meneruskan cerita.
 
Sebenarnya, sari yang dipakai oleh bekas permaisuri itu sudah pun dikoyak dua. Satu bahagian digunakan untuk membungkus jenazah anaknya yang mati dipatuk ular. Hanya separuh kain sari digunakan untuk menutup tubuhnya sendiri pada waktu itu.
 
Demi memastikan suaminya tetap berpegang pada etika kerja – iaitu membakar jenazah hanya selepas menerima bayaran yang ditetapkan – wanita itu sanggup menanggalkan sari yang dipakai untuk diserahkan sebagai bayaran.
 
Pada saat genting itu, suatu keajaiban berlaku. Dewa Indra, Dewa Vishnu, para dewa lain dan Maharishyi Vishwamitra muncul di tapak tanah perkuburan itu.
 
“Kau memang seorang individu dan pemerintah yang menepati janji dan boleh dipercayai. Kau tidak seperti pemerintah di tempat tertentu yang menindas rakyat dan merampas harta mereka untuk membolehkan isterinya hidup mewah. Sebaliknya kau menepati ciri-ciri seorang pemimpin berjiwa rakyat serta mengotakan janji.”
 
Demikian Dewa Vishnu membuat ulasan sementara para dewa mengangguk-angguk tanda setuju. Vishwamitra yang sebelum ini mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Ayodhya juga kelihatan mengangguk sambil tersenyum kecil.
 
“Bangun,” kata Dewa Vishnu sambil memandang ke arah jenazah Rohitashwa yang terbaring di atas tanah dan berbalut kain sari milik ibunya. – Bersambung minggu depan [KLIK DI SINI]
 
[Siri ini bertujuan membawa pembaca menikmati kisah-kisah awal dalam epik Ramayana, bermula jauh sebelum kelahiran Rama. Teks ini ditulis pada 13 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 Januari 2013. © Teks Uthaya Sankar SB 2013. © Ilustrasi Hussain Sajad 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!