Wednesday, 20 March 2013

Ramayana – Bahagian 2

Dinasti keturunan Raja Ikshavaku adalah golongan yang memuja dan menyembah Dewa Surya, iaitu dewa matahari. Amalan ini memang menjadi lumrah dalam budaya tradisi India di mana terdapat enam mazhab utama yang menyembah Tuhan dalam rupa Shiva, Shakti, Ghanapati, Muruhan, Surya Narayana dan Mahavishnu.
 
Antara penyambung waris keluarga dan kerajaan dari generasi ke generasi ialah Harishchandra, Sagara, Bhagirath, Dhillip Khatwang dan Raghu.
 
Paati, apakah Harishchandra ini sama dengan Harichandran dalam kisah yang pernah paati ceritakan sebelum ini?” Dhurga bertanya untuk mendapatkan kepastian.
 
“Betullah tu. Saya rasa Harichandran inilah yang dikatakan tidak pernah berbohong walau sekali dalam hidupnya serta sentiasa berpegang pada kata-katanya. Betul tak, paati?” Ganesh menyampuk.
 
Nenek yang sedang bercerita itu tersenyum kecil; bagaikan gembira kerana kedua-dua cucu berumur 12 dan 10 tahun itu terlibat secara aktif dalam penceritaannya. Mereka tidak sekadar mendengar tetapi berminat untuk tahu lebih mendalam mengenai setiap watak.
 
Maka, nenek memberikan maklumat lanjut mengenai beberapa watak penting dalam jurai keturunan Dinasti Ikshavaku yang juga dikenali sebagai Surya Vamsa sempena nama datuk Ikshavaku iaitu Dewa Surya yang disembah dalam mazhab Saura.
 
Kisah Harishchandra, raja ke-36 dalam Surya Vamsa, memang selalu diceritakan kepada kanak-kanak untuk mendidik mereka supaya sentiasa bercakap benar dan berpegang pada janji.
 
Menurut satu cerita, Maharishyi Vishwamitra datang ke istana di Ayodhya dan menuntut kerajaan milik Harishchandra diserahkan kepadanya.
 
“Tuanku hadir dalam mimpi saya semalam dan berjanji akan menyerahkan kerajaan ini kepada saya. Maka, saya datang pada hari ini untuk menuntut janji,” kata orang alim berkenaan.
 
Sebagai individu yang sentiasa berpegang pada konsep “janji ditepati” – termasuk janji yang dibuat dalam mimpi – Harishchandra menyerahkan kerajaan Dinasti Ikshavaku yang diwarisinya kepada Vishwamitra.
 
Lalu, Harishchandra bersama-sama anak dan isterinya bersiap-sedia untuk memulakan perjalanan ke kota suci Varanasi bagi menghabiskan sisa hidup. Malangnya, Vishwamitra mengatakan bahawa raja itu masih berhutang sejumlah wang sebagai honorarium.
 
Dalam keadaan terdesak serta tidak mahu dianggap menipu dan “janji dicapati”, Harishchandra menjual anak dan isterinya kepada seorang lelaki golongan atasan sebagai hamba. Kemudian, oleh kerana masih tidak cukup wang, Harishchandra menjual dirinya sendiri kepada seorang penjaga kubur.
 
Ganesh dan Dhurga mendengar cerita nenek dengan penuh minat. Mereka tidak menyangka bahawa watak Harichandran yang mereka tahu selama ini adalah raja daripada Surya Vamsa dan juga ada pertalian darah dengan watak Rama dalam epik Ramayana.
 
Benarlah juga kata nenek bahawa sebelum sampai kepada kisah Rama, Laksamana, Sita dan Ravana, ada banyak lagi kisah yang perlu diketahui supaya penghayataan terhadap epik klasik itu menjadi lebih bernilai dan sempurna.
 
Berbalik pada kisah Harishchandra, bekas raja itu menjadi pembantu kepada penjaga kubur. Kerja-kerjanya termasuk menggali kubur dan menguruskan pembakaran jenazah. Bayangkan! Seorang raja terpaksa meninggalkan takhta dan menjadi penjaga kubur.
 
Isteri dan anaknya juga melalui pengalaman yang mencabar sebagai hamba dan pekerja di rumah lelaki kaya yang membeli mereka. Pada suatu hari, semasa sedang memetik bunga di taman, si anak lelaki dipatuk ular lalu meninggal dunia.
 
Si ibu pula tiada pilihan selain membawa jenazah anaknya ke tanah perkuburan tanpa menyedari bahawa penjaga kubur itu adalah suaminya. Harishchandra juga tidak mengenali wanita itu yang menutup wajah dengan bahagian selendang sari. Jenazah anaknya turut dibungkus penuh menggunakan kain sari.
 
Sebagai pekerja yang ikhlas dan penuh integriti, Harishchandra meminta wanita berkenaan membayar yuran untuk membolehkan jenazah anaknya dibakar mengikut budaya Hindu.
 
“Saya tidak punya sebarang harta dan wang,” wanita itu merayu dalam keadaan terdesak dan putus asa.
 
“Kalau begitu, serahkan taali yang kau pakai itu. Saya tidak boleh menguruskan jenazah anak kau tanpa bayaran,” Harishchandra mencadangkan dengan tegas. – Bersambung minggu depan [KLIK DI SINI]
 
[Teks ini ditulis pada 7 Januari 2013 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 13 Januari 2013. © Teks  Uthaya Sankar SB 2013. © Ilustrasi Hussain Sajad 2013. Harap maklum bahawa anda membaca kisah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!