Saturday, 2 February 2013

Mahabharata – Bahagian 4

[Ganapathi meletakkan syarat jika Vyasa mahu memintanya menjadi tukang tulis profesional.]
 
Hussain dan Hassan masih terpegun mendengar kisah yang disampaikan oleh datuk mereka. Nampaknya kisah di sebalik penghasilan epik Jaya – yang menjadi asas kepada epik Mahabharata – juga amat menarik dan wajar diketahui.
 
“Saya memerlukan khidmat tukang tulis terhebat untuk berkolobrasi dengan saya bagi menjayakan projek mega ini,” kata Vyasa dengan penuh hormat kepada Brahma yang menjelma di hadapannya.
 
Selepas berfikir sebentar, Brahma memutuskan bahawa Ganapathi adalah pilihan terbaik untuk memikul tugas penting dan berat ini. Tambahan pula, dewa berkepala gajah itu masih bujang dan tentu tidak menghadapi masalah untuk meluangkan masa yang lama bersama-sama Vyasa. Tidak akan ada isteri atau kekasih yang cemburu buta.
 
Teks yang dicadangkan oleh Vyasa pastilah sebuah epik yang panjang dan memerlukan masa yang lama untuk dikarang atau dirakam dalam bentuk tulisan. Brahma, Vishnu dan Shiva serta pasangan masing-masing sibuk dengan tugas hakiki dan sukar memberikan komitmen tinggi yang diperlukan bagi menjayakan projek mega menghasilkan teks berdasarkan penceritaan lisan oleh Vyasa.
 
“Ganapathi adalah pilihan terbaik untuk menjadi tukang tulis seperti yang kamu harapkan. Teruskan pertapaan sehingga dewa berkepala gajah itu muncul di hadapan mata. Luahkan hasrat kamu kepadanya dan nyatakan juga bahawa Brahma sendiri yang mencadangkan namanya bagi projek mega ini,” kata Brahma sebelum ghaib dari pandangan mata kasar.
 
Vyasa yang akur pada keputusan itu meneruskan meditasi berbentuk pertapaan sehingga akhirnya Ganapathi @ Ganesha menjelma di hadapan mata. Tentu sahaja Vyasa gembira bukan kepalang memandangkan dewa berkepala gajah yang menunggang tikus mondok itu tidak mudah dipujuk-rayu untuk muncul di depan mata.
 
Tanpa melengahkan masa, Vyasa membentangkan cadangannya secara terperinci kepada Ganapathi. Memandangkan dewa berkepala gajah itu memang meminati sastera, penulisan, bahasa dan seni, dia bersetuju untuk bekerjasama dengan Vyasa dalam menjayakan projek mega menghasilkan epik Jaya berciri faksyen dan semi-autobiografi.
 
“Akan tetapi,” kata datuk kepada Hassan dan Hussain yang masih khusyuk mengikuti kisah yang disampaikan, “Ganapathi meletakkan suatu syarat penting yang wajib dipenuhi sekiranya Vyasa mahu menggunakan khidmatnya sebagai tukang tulis profesional.”
 
“Syarat apa, datuk?” Hussain bertanya dengan penuh rasa ingin tahu.
 
“Apakah Ganesha meminta supaya namanya turut dicatatkan sebagai ‘pengarang bersama’ pada teks yang bakal dihasilkan?” Hassan mengemukakan pertanyaan berupa pandangan.
 
“Atau meminta supaya mereka sama-sama menandatangani surat perjanjian rasmi agar tidak timbul sebarang isu berkaitan royalti, honorarium, hak cipta dan sebagainya di kemudian hari?” Hussain turut mencelah.
 
Lelaki tua itu ketawa mendengar pandangan yang dikemukakan oleh cucu kembarnya. Mereka ternyata amat kreatif dan mampu berfikir di luar lingkungan tanpa terikat pada corak pemikiran konvensional yang semakin menjadi barah dalam kalangan masyarakat. Bersambung minggu depan [BACA DI SINI]
 
[Uthaya Sankar SB baru-baru ini dituduh cuba menyebarkan agama Hindu melalui cerpen yang dihasilkannya. [Teks ini ditulis pada 14 Oktober 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 28 Oktober 2012. © Uthaya Sankar SB 2012]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!