Saturday, 18 August 2012

UGUT: Lonely Boy – Bahagian 3

15 APRIL 2012 – Hafiz hanya tersenyum bangga sebagai jawapan. Dia mula makan tose. Ternyata pemuda itu kelihatan lebih selesa dan releks sekarang berbanding hampir sejam lalu.

“Jadi, awak pernah jumpa orang lain sebelum ini?” Wan bertanya beberapa minit kemudian. “Saya rasa orang seperti awak tentu tak ada masalah nak tarik perhatian orang.”

“Mana ada!” Hafiz tersipu-sipu. “Hanya chatting. Belum ada peluang berjumpa. Awaklah yang pertama.”

Wan sekadar mengangguk walaupun dia tahu bahawa kemungkinan besar apa yang dikatakan oleh Hafiz tidak benar. Dialog seperti ini memang sudah banyak kali didengarnya daripada sekian ramai pemuda berumur 18-25 tahun yang pernah ditemuinya sebelum ini.

Masing-masing mengaku kali pertama bertemu lelaki lain untuk berseronok. Akan tetapi, apabila sudah berada di atas katil atau di atas sofa, mereka mempamerkan kehebatan yang membuktikan kepakaran dan pengalaman mereka.

“Lagi pun, ramai di Meeting Point yang bottom atau versatile. Saya nak top yang straight-acting. Awak pula ada darah campuran, lagi saya suka. Now that I have seen you in person, rasanya I’ve made the right choice,” kata Hafiz secara lebih berani.

Berdebar jantung Wan mendengar kata-kata itu. Dia menghalang keinginan untuk memandang wajah pemuda di hadapannya.

“Tapi bukankah kita sudah bincang dan bersetuju untuk sekadar berjumpa, makan, minum dan bersembang? Dan saya bukan mencari kekasih atau pasangan.”

Yes, but saya masih menaruh harapan. Dan saya juga bukan mencari kekasih atau pasangan.”

Wan kagum dengan sikap berterus terang dan semangat yang ditunjukkan oleh Hafiz. Cuma dia berharap pemuda itu akan lebih berwaspada dalam gerak-gerinya. Tidak terlalu cepat mempercayai orang. Pada masa sama, Wan juga begitu teruja dengan kata-kata Hafiz. Kata-kata berisi pelawaan yang sukar ditolak.

“Hafiz, awak pernah dengar nama Hafidz Baharom?” Tiba-tiba sahaja Wan mengemukakan pertanyaan itu. “Shall I say, your namesake.”

“Tak. Kawan awak?”

“Tak juga. Saya teringat sebab nama awak berdua hampir sama. Kalau tak silap saya, dia lulusan UiTM Shah Alam dalam jurusan IT. Pernah jumpa sekali di sebuah forum di KL. Dan kalau tak silap saya ...”

Wan teringat sesuatu dan segera mengeluarkan dompet. Selepas mencari-cari buat seketika, dia mengeluarkan sehelai kertas yang berlipat. Apabila dibuka, kelihatan tulisan tangan yang agak sukar dibaca.

“Ya! Tak sangka saya masih menyimpan kertas ini. Hafidz Baharom pernah bekerja di Sime Darby dari 2005 hingga 2009. Kolumnis di The Malaysian Insider sejak 2008.”

Wan meletakkan kertas itu di hadapan Hafiz. Pemuda berkenaan cuba membaca tulisan cakar ayam di atasnya.

He’s openly gay and you can learn a lot from him about GLBT issues. Pergi ke blog Shalom’s Lot. Nombor telefon dan alamat e-mel pun ada saya tulis di sana.”

Hafiz meneliti kertas itu semula. Dia mengangguk-angguk. Kemudian memandang Wan. Bagaimanapun, sebelum dia sempat membuka mulut untuk berkata sesuatu, Wan mengeluarkan Nokia N9 Black yang diletakkan pada mod senyap dan sedang bergetar manja.

“Hello.”

“Hi. You di mana?”

“Di Kelana Jaya. Jumpa kawan. Kenapa?”

“I nak pergi shopping petang nanti. Boleh you temankan?”

“Pukul berapa?”

“Lepas Asar. Boleh?”

“Sekarang baru 11 pagi,” Wan berkata sambil menjeling jam tangan. “Okey, boleh. Saya akan ke rumah kawan lepas ni. Jadi, kita boleh berjumpa sekitar 4:30 petang.”

Wan memandang Hafiz dan mengenyitkan mata kiri sambil menguntumkan senyuman penuh makna. Pemuda itu turut tersenyum girang kerana harapan yang diletakkannya ternyata tidak sia-sia.

“Kawan? Let me guess! Syed bertubuh sasa yang kita jumpa di The Summit hari tu, bukan?”

No, Amy. Ini kawan lain. Hafiz.”

Oh, okay. Have fun, Amri. See you later.” – Tamat?

(Uthaya Sankar SB merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menjadi sumber rujukan dan maklumat dalam penghasilan pulp faction ini. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 30 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 April 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

2 comments:

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!