Saturday, 11 August 2012

UGUT: Lonely Boy – Bahagian 2

8 APRIL 2012 – “Apa nak risau? Bukannya saya berbogel bulat,” Hafiz menjawab selamba. “Banyak lagi foto macam tu di Internet. Kalau orang nak, mereka boleh ambil saja.”

Wan mengerutkan kening kerana kurang memahami apa yang dimaksudkan oleh Hafiz.

“Maksud awak, foto tu bukan diri awak? Superimposed?”

“Eh, tak adalah! Itu memang saya. Tapi kalau orang nak foto yang macam tu, bukankah ada banyak di Internet? Cari saja guna Google Image. Berlambak.”

Giliran Wan pula untuk terdiam seketika. Dia memandang keliling. Agak ramai juga pengunjung pelbagai kaum di Sun Oli Curry House. Pasti makanan yang dihidangkan memenuhi selera orang ramai.

“Keluarga awak tahu yang awak gay?”

“Eh, tak! Kawan-kawan di kolej pun tak tau,” pantas Hafiz menjawab.

You see. Bayangkan kalau foto itu sampai ke tangan ibu bapa, adik-beradik atau kawan-kawan. Tidakkah menyusahkan?”

“Tapi saya hanya kirim foto itu kepada rakan-rakan di laman rangkaian sosial Meeting Point. Mereka semua gay atau biseksual. Jadi takkan mereka nak ambil dan tunjuk foto tu kepada orang lain.”

Wan menggeleng kecil mendengar jawapan itu. Dia menghela nafas dengan rasa kecewa. Dia sedih dengan pemikiran naif yang dimiliki Hafiz. Terlalu lurus dan mudah menjadi mangsa.

Mungkin juga terlalu ingin meneroka seksualitinya sehingga tidak mampu berfikir secara rasional.

“Percayalah cakap saya, Hafiz. Tidak semua orang berfikiran positif seperti awak dan tidak semua orang mempunyai niat yang baik dan lurus seperti awak,” Wan menasihati dengan ikhlas. “Awak tahu apa yang paling awal menarik minat saya terhadap awak?”

Hafiz memandang ke dalam mata Wan dengan penuh tanda tanya. Bagaikan berasa gembira kerana lelaki kacak di hadapannya itu bakal mengatakan bahawa dia memang meminatinya.

“Nama yang awak gunakan ialah LonelyBoy. Saya sendiri pernah menggunakan identiti LonelyHeart sebelum ini.”

“Oh.” Ada sedikit nada kecewa pada suara Hafiz. “Masih gunakan nama itu?”

“Tak. Saya ditipu seseorang yang saya hubungi menggunakan identiti itu. Jadi, saya sudah delete akaun itu.”

“Jadi tentu awak ada banyak pengalaman. Saya masih baru dan banyak yang saya nak explore,” kata Hafiz bagaikan tidak benar-benar memahami nasihat yang sedang cuba diberikan oleh Wan.

Tanpa mengendahkan kata-kata itu, Wan menghabiskan Milo ais dan memanggil pelayan restoran.

“Kopi suam dan tose,” pesannya sebelum memandang Hafiz. “Awak nak makan apa?”

“Limau ais dan tose.”

Mereka berdua kembali diam seketika selepas pelayan berlalu dari situ. Sesekali Wan memandang wajah Hafiz. Begitu juga sebaliknya. Dan apabila mata mereka bertemu, masing-masing cuba mengelak dan segera memandang tempat lain.

“Saya faham bahawa awak sedang bersemangat untuk menimba pengalaman,” Wan menyusun kata-katanya. “Tapi janganlah sampai tersilap langkah dan mengundang bahaya kepada diri.”

“Tapi bukankah website itu memang tempat khas untuk GLBT?”

“Pada teorinya memang begitu. Tapi jangan lupa bahawa di mana-mana laman sekalipun pasti ada orang yang menunggu peluang untuk menipu. Pasti ada pemangsa yang memburu mangsa. Jadi, apabila awak secara amat mudah mengirim foto serta mendedahkan segala maklumat diri, awak sebenarnya mengundang bahaya.”

Hafiz berkata sesuatu tetapi suaranya terlalu perlahan. Wan mara ke depan sedikit sambil mengerutkan kening bagaikan meminta Hafiz mengulang kata-katanya.

“Saya tak dedah maklumat sebenar,” kata Hafiz.

Really?” Ada sedikit nada sinis dalam suara Wan.

“Saya tak beri langsung nama saya. Awak pun hanya tahu nama saya sebentar tadi, bukan?”

Wan mengangguk sambil mencebikkan bibir. Pada waktu itu, tose yang dipesan pun sampai.

“Saya percaya awak bukan pelajar jurusan kejuruteraan di Kolej Universiti SEGi, Kota Damansara?” – Bersambung DI SINI – Bahagian 30

(Seorang kaunselor berdaftar, Hushim Salleh mengatakan bahawa “daripada 10 lelaki di bandar, tiga adalah gay” dan “gay ini pula terbahagi kepada tiga golongan iaitu homoseksual, heteroseksual dan biseksual” [Mingguan Malaysia, 11 Mac 2012]. Bahagian 29 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 April 2012. © Uthaya Sankar SB 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!