Saturday, 4 August 2012

UGUT: Lonely Boy – Bahagian 1

Wan sengaja sampai awal kerana tidak mahu tersesat. Maklumlah, dia belum pernah ke kawasan sekitar Kelana Centerpoint.

LonelyBoy mengirim mesej kepadanya beberapa kali dan meluahkan keinginan untuk bertemu dan berbual. Berkali-kali Wan cuba menolak secara baik berserta pelbagai nasihat tetapi pemuda berumur 20 tahun itu tetap mahu berjumpa.

Akhirnya mereka bersetuju untuk berjumpa di Kelana Jaya. Selepas berbalas mesej untuk menetapkan tempat, keputusan dicapai untuk bertemu di Sun Oli Curry House yang khabarnya menyajikan makanan India Utara dan Selatan.

Wan tidak menghadapi masalah untuk mencari tempat itu kerana sudah melakukan semakan menggunakan Google Map. Memandangkan dia datang dari arah Western Digital, dia hanya perlu membelok ke kiri di LDP sebaik selepas stesen minyak Shell; manakala Pasar Raya Besar Giant tersergam di sebelah kanan.

Kemudian memandu terus sehingga sampai di simpang tiga berdekatan Kelana Mahkota Showroom. Selepas itu, memandu terus dan restoran berkenaan jelas kelihatan di sebelah Wisma Glomac.

LonelyBoy menyewa di Kondominium Kelana Mahkota di sebelah Kelana Mahkota Showroom tetapi Wan tidak pasti di blok mana dan di tingkat berapa. Lagi pun, dia tidak bercadang ke kondo milik pemuda itu. Cukuplah mereka bertemu di restoran ini sahaja.

Wan memilih tempat duduk di bahagian luar restoran memandangkan cuaca redup dan angin bertiup nyaman. Semasa menunggu Milo ais yang dipesan, dia nampak seorang pemuda berkemaja-T hitam berjalan dari arah Kondominium Kelana Mahkota menuju ke Sun Oli Curry House.

Segera Wan cam wajah LonelyBoy. Memang muda seperti dalam foto yang dikirim. Memang memiliki penampilan diri yang menarik walaupun dipandang dari jauh.

Pemuda itu yang mengaku pelajar jurusan kejuruteraan di Kolej Universiti SEGi, Kota Damansara memandang ke arah restoran dan Wan segera mengangkat tangan kiri sambil tersenyum sebagai memberikan isyarat.

Sambil masih tersenyum dan kelihatan sedikit gementar, LonelyBoy menaiki anak-anak tangga dan berjalan menghampiri meja. Wan menghulurkan tangan dan mereka berjabat sebelum duduk.

Apabila melihat pemuda itu duduk diam, Wan segera mengisyaratkan kepada pelayan supaya datang mengambil pesanan. LonelyBoy meminta teh ais. Makan, kemudian.

So, finally we meet,” Wan berkata untuk memulakan bicara.

“Ya, saya masih nervous.”

“Nak gementar fasal apa? Kita di tempat awam. Releks.”

Pemuda itu mengangguk-angguk. Kemudian memandang wajah Wan.

“Nama saya Wan. Nama Ein hanya nick. Adakah saya perlu memanggil awak sebagai LonelyBoy saja atau ada nama lain?”

“Oh! Nama saya Mohd Hafiz. Panggil saja Hafiz.”

Wan memandang Hafiz. Mungkin benar umurnya 20 tahun. Masih muda. Malah, mungkin masih tercari-cari identiti diri. Wan pernah bertemu beberapa individu semuda ini.

Memang untung kerana mereka berdarah muda dan mahu mencuba pelbagai perkara. Mereka berani dan tidak risau memikirkan rosiko yang mungkin terpaksa ditanggung pada masa hadapan.

Wan dan Hafiz hanya membisu sehingga minuman sampai. Selepas minuman berais disedut, barulah kedua-duanya nampak bersemangat dan lebih tenang untuk meneruskan perbualan.

“Dah tengok foto saya?” Hafiz bertanya; lebih seperti berusaha mahu memulakan perbualan.

“Dah. Awak memang daring, ya.”

“Supaya awak yakin yang saya memang serius nak jumpa,” Hafiz menjawab segera bagaikan sudah berlatih lebih dahulu. “Tapi nampaknya awak tak suka.”

Wan menghela nafas. Kalau boleh, mahu sahaja dia menyatakan perkara sebenar kepada pemuda itu. Bahawa dia memang amat tertarik padanya, khususnya selepas bersemuka dan berbual bersamanya seperti sekarang.

Bagaimanapun, Wan sedar bahawa dia tidak bebas membuat sebarang keputusan sekarang. Dia perlu membereskan “hutang” kepada Syed sebelum mampu berbuat sesuatu sesuka hati.

“Bukan saya tak suka tapi cara awak dedahkan identiti tu memang berbahaya. Langsung saja awak kirim foto seperti itu kepada orang yang belum benar-benar dikenali. Bahaya tu!”

Hafiz tidak memberikan sebarang reaksi.

“Bayangkan bagaimana kalau saya edar foto itu kepada orang lain.” – Bersambung minggu depan – Bahagian 29 - DI SINI

(Pulp faction ini menggabungkan unsur-unsur suspens, misteri, thriller, politik, kritikan sosial, seks, isu semasa, ugutan siber, narrative hook dan twist untuk menggerakkan cerita. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 28 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 April 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!