Wednesday, 27 June 2012

Ugut: Curious Men – Bahagian 3

CuriousMan terpinga-pinga seketika. Mungkin risau memikirkan natijahnya jika perbuatan ini diketahui Datin Rose. Atau jika sampai kepada pengetahuan kakitangannya. Atau jika berjaya dihidu kroni dalam UMNO. Buruk padahnya nanti.

“Saya mandi dulu. Segarkan badan,” kata CuriousMan akhirnya kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan yang kini berada di depan mata; khususnya selepas melihat sendiri tubuh sasa Zahid yang menonjol di sebalik kemeja-T ketat yang dipakai.

Sambil terus tersenyum, Zahid menuding ke arah bilik mandi. CuriousMan menanggalkan kasut, stokin, tali leher dan kemeja. Kemudian berjalan sambil membuka tali pinggang.

Sebaik melangkah masuk ke bilik mandi, pintu ditutup segera dari dalam bagaikan malu untuk mempamerkan perutnya yang sedikit buncit.

Zahid pula segera menuju ke arah cermin dinding dan menekan Stop pada kamera video yang tersembunyi di sebalik bunga-bunga di dalam pasu.

Kemudian dia berdiri di hadapan cermin dan memandang diri sendiri. Dia senyum kerana menyedari dan mengakui bahawa wajahnya memang kacak dan tubuhnya memang sasa.

Segera dia menanggalkan kemeja-T dan membalingnya ke atas kerusi. Kemudian berdiri melihat tubuhnya sendiri pada cermin.

Zahid memang memenuhi kriteria seorang lelaki metroseksual yang mementingkan penampilan diri secara fizikal. Setahunya, istilah “metroseksual” mula diperkenalkan pada sekitar 1994 hasil gabungan perkataan “metropolitan” dan “heterosexual”.

Kalau tidak silap, istilah “metroseksual” mula-mula sekali digunakan oleh Mark Simpson dalam sebuah makalah di The Independent. Zahid masih ingat gambaran yang diberikan oleh penulis itu bahawa lelaki metroseksual adalah lelaki bujang yang biasanya tinggal dan bekerja di bandar serta mampu berbelanja bagi barangan mewah seperti pakaian berjenama dan produk penjagaan kulit.

Hasil pelayaran di Internet, Zahid juga menemui satu video di YouTube di mana seorang jurutera muda, Azwan Ismail membuat pengakuan terbuka bahawa dia gay.

“Saya harap anda akan akhirnya dapat menemui super kekuatan itu dan berpegang kepadanya dan akhirnya yakin untuk memberitahu kepada orang lain, Saya gay, saya okey.”

Demikian antara kata-kata Azwan dalam rakaman itu yang tentu sahaja mendapat kencaman hebat daripada orang ramai; khususnya kerana dia seorang Melayu dan dia beragama Islam.

Tentu sahaja homoseksual, biseksual, transeksual dan apa-apa yang ada “seksual” tidak dibenarkan di Malaysia. Kecuali heterosexual.

Zahid tidak ambil kisah tentang makna sebenar konsep “metroseksual” mahupun realiti kehidupan kebanyakan “homoseksual”. Tidak semua metroseksual terdiri daripada homoseksual dan begitu juga sebaliknya. Malah dia tahu bahawa kebanyakan lelaki gay tidak mengamalkan anal sex seperti yang dibayangkan oleh kebanyakan orang.

Akan tetapi, bagi menjayakan apa yang dirancang, dia perlu mencari lelaki yang mempunyai naluri untuk menjadi pasangan bottom dalam pertemuan yang dirancang dengan penuh teliti. Dia juga secara khusus hanya mahu bertemu lelaki yang sudah berkahwin.

“Saya versatile. So, saya boleh juga mengambil peranan top seperti yang you minta.”

Demikian dia memberitahu CuriousMan yang menyatakan keinginannya beberapa hari lalu untuk merealisasikan khayalannya menjadi bottom. Lelaki berumur 45 tahun itu juga mahu melangsaikan keinginannya untuk melakukan oral sex terhadap Zahid.

Silakan, silakan. The pleasure is all mine. Semuanya akan dirakam. Demikian fikir Zahid sambil menekan semula butang Record pada kamera video tersembunyi.

Tepat pada masanya, CuriousMan membuka pintu bilik mandi dan melangkah keluar dengan hanya memakai tuala.

Bersambung minggu depan – Bahagian 28 - DI SINI

(Nama-nama individu dan pertubuhan yang digunakan dalam novel ini adalah rekaan semata-mata atau dipaparkan sekadar untuk memberi nilai realiti pada cerita. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 27 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 Mac 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!