Wednesday, 20 June 2012

Ugut: Curious Men – Bahagian 2

Mujur Zahid tidak tersilap memberikan apa-apa maklumat yang bercanggah dengan apa yang sudah dinyatakan pada profil dan kepada Wan sendiri melalui siri mesej yang dikirim.

Nampaknya saya kena lebih berhati-hati. Jangan sampai Wan jadi lebih bijak daripada saya. Demikian fikir pemuda berkenaan sambil mengerling ke arah jam tangan.

“Never too busy for you, darling. Tapi I terpaksa logoff sekarang. Nak pergi masak lunch. Maklumlah I seorang diri di rumah sekarang. You pun tak sudi temankan I. Nanti I akan inform bila boleh ambil bilik hotel.”

Seperti dijanjikan, sebaik selesai mengirim mesej itu, Zahid mendaftar keluar. Kemudian menuju ke arah cermin pada dinding dan meneliti kamera tersembunyi yang sudah dipasangnya lebih awal di celah bunga-bunga plastik di dalam pasu besar.

Zahid sudah mengujinya tadi dan rakaman video yang terhasil memang berkualiti. Dia memandang ke arah katil yang terletak sekitar dua meter dari pasu bunga itu.

Segala aksi yang bakal berlaku di situ akan dirakam dan kemudian disunting kemas selepas dipindahkan dari receiver ke komputer riba.

Biasanya Zahid menggunakan kamera tersembunyi untuk merakam foto secara automatik pada setiap minit. Bagaimanapun, kali ini, dia mahu mencuba kamera video tanpa wayar yang baru dimilikinya. Mungkin juga kesannya lebih baik berbanding mengambil foto biasa.

Loceng berbunyi dan Zahid dapat mengagak bahawa tetamunya sudah tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Dia segera menekan butang Record pada kamera video tersembunyi sebelum berjalan menuju ke pintu.

Dia membuka pintu bilik hotel dan melihat seorang lelaki berumur 45 tahun berdiri di sana. Sebaik pintu dibuka, lelaki berkemeja biru muda dan bertali leher biru itu segera masuk. Bagaikan tidak mahu terus berdiri di luar dan membiarkan sesiapa pun melihatnya di Grand Dorsett Hotel.

Zahid menutup serta mengunci pintu bilik. Tentu sahaja dia tidak lupa memasang tanda “Do not disturb” pada tombol pintu. Kemudian memandang lelaki berkemaja biru muda yang kelihatan sedikit nervous.

Hello, CuriousMan. Akhirnya kita berjumpa,” kata Zahid seraya menguntumkan senyuman mesra dan menghulurkan tangan. “I’m Zahid.”

Zahid tahu bahawa nama sebenar lelaki yang menggunakan identiti “CuriousMan” ialah Datuk Najib dan dia CEO Pushing Files Enterprise, sebuah syarikat milik Bumiputera di Puchong.

Dia juga sudah melakukan background research dan tahu mengenai Datin Rose Abdullah serta anak-anak berumur 13 dan 10 tahun.

Tidak ketinggalan juga mengenai pertalian Datuk Najib dengan beberapa individu penting dalam UMNO. Mengenai syarikat yang boleh survive tanpa perlu banyak membuat kerja.

Namun, semua maklumat itu serta pelbagai maklumat lain yang berjaya diperoleh sejak beberapa minggu lalu akan disembunyikan.

Dalam pertemuan ini, nama lelaki berumur 45 tahun itu ialah “CuriousMan” dan dia kononnya baru pertama kali mahu menikmati pengalaman baru bersama lelaki lain.

You are more handsome in person,” CuriousMan menjawab sambil terus menggenggam tangan Zahid.

Oh, really?” Zahid bertanya dengan suara romantik sambil mendekati lelaki di hadapan dan mengucup lembut bibirnya.

Zahid tidak mahu berbual panjang. Namun, melalui kucupan kecil itu, dia dapat mengagak bahawa CuriousMan memang sedikit gementar. Mungkin juga benar kata-katanya bahawa inilah kali pertama dia bertemu lelaki lain untuk menjalin hubungan intim.

Atau mungkin juga dia sedikit gementar selepas melihat seorang pemuda kacak yang bertubuh sasa, straight-acting dan versatile di hadapannya. Demikian fikir Zahid sambil mengekalkan senyuman yang menggoda.

“Nak minum?” Zahid bertanya sejurus kemudian. “Atau nak mandi dulu?”

Bersambung – Bahagian 27

(Nama-nama individu dan pertubuhan yang digunakan dalam novel ini adalah rekaan semata-mata atau dipaparkan sekadar untuk memberi nilai realiti pada cerita. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 26 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 Mac 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!