Wednesday, 30 May 2012

UGUT: Pushing Files – Bahagian 2

“Awak semua fikir Datuk Najib berani ada perempuan simpanan? Kalau Datin Rose dapat tahu, tentu dikasinya supaya menjadi eunuk! But men will always be men. Menggatal!”

Gadis berbaju kurung itu mencebikkan bibir sambil memandang rakan-rakannya seorang demi seorang.

“Datuk gunakanlah cara lain untuk memuaskan nafsunya,” Amy menambah sejurus kemudian.

You mean ...”

Suraya tidak menghabiskan ayat itu. Matanya terbeliak dan mulutnya terlopong.

Stop imagining things, Suraya. Awak pun sama, Sheila,” Amy menyambung selepas ketawa seketika. “Amri dan Ibrahim, saya tahu apa awak berdua fikir. But this is slightly different.”

Mereka berempat menunggu dengan penuh minat. Amy memang menyedarinya.

“Amri, awak ingat tak apa yang saya kata tentang websites yang Datuk layari?” Amy bertanya seraya memandang dengan muka serius ke arah pemuda berkenaan. “Those dirty sites?

Pemuda itu mengangguk walaupun dia tidak pasti apa isu yang besar sangat berhubung perbuatan bos mereka melayari laman-laman lucah berkenaan. Bukan isu langsung!

“Saya ada lihat history pada browser dan tahu laman-laman yang bos kita layari,” Amy menceritakan kepada rakan-rakan sekerja dengan penuh dramatik. “Mostly porn and chatrooms, you know.”

“Biasalah tu!” Bidas Ibrahim sambil membetulkan kedudukan songkok yang hampir terjatuh kerana membongkok mendengar cerita Amy. “Kalau setakat tu, saya tak hairanlah.”

In the office?” Sheila pula bertanya.

“Gosh! Patutlah dia pandang kita pun semacam je,” Suraya pula berkongsi kebimbangan.

“Tapi saya tak pernah pun tengok Datuk Najib buat apa-apa pada kau orang semua,” kata Ibrahim sambil senyum meleret.

Amy bercekak pinggang sambil masih duduk di atas meja. Segera Sheila dan Suraya turut memuncungkan bibir ke arah Ibrahim sebagai tanda protes.

Of courselah dia tak buat depan you all. We all yang jadi mangsa yang tahu,” Sheila cuba menjelaskan.

Just imagine! Dia tonton porn sites di komputernya dan kemudian keluar dari bilik lalu pandang kita. Patutlah I selalu rasa tak selesa. Rupa-rupanya ada aura dirty look pada pandangan bos kita,” Suraya pula menambah.

Come on, girls. I rasa kita semua selamat. Datuk Najib tak berani buat apa-apa pada kita sebab we all boleh mengadu terus kepada Datin Rose menerusi telefon, Facebook dan Twitter. The whole point is that Datuk Najib takut isteri. Dia hanya pandai menyinga di depan orang,” Amy pula tampil menguatkan kenyataan awalnya.

So, bagaimana masa dia chat dengan orang?” Ibrahim pula bertanya lanjut sementara Amri lebih banyak hanya mendengar.

“Tak tahulah. I hanya boleh akses ke sites itu dari history di browser. Tapi I tengok girls di situ hot-hot belaka. Semuanya mencari hiburan NSA, no strings attached. Tentu bos mengayat penuh romantis di chatroom bersama mereka. Entah-entah selalu bertemu juga di alam nyata,” Amy semacam merumuskan.

Perbualan itulah yang muncul secara spontan dalam fikiran Amri semasa dia berdiri menghadap Datuk Najib dengan penuh sopan sebagai pekerja yang patuh dan sedia mengikut arahan.

“Duduk, duduk. Ada benda saya nak bincang,” Datuk Najib berkata sambil mempelawa Amri mengambil tempat di sofa bertentangan.

Amri akur. Entah mengapa pemuda itu dapat mengagak bahawa topik yang mahu dibincangkan oleh bosnya tiada apa-apa kaitan dengan bidang kerja. Tiada apa-apa kaitan dengan Pushing Files Enterprise.

“Kita memang tak pernah ada peluang berbual dan berbincang,” Datuk Najib berkata dengan nada yang kini kedengaran profesional. “So, how’s work?

“Semuanya baik, Datuk. Tak ada apa-apa masalah,” Amri menjawab walaupun dia pasti bahawa bukan itu perkara sebenar yang mahu dibincangkan oleh Datuk Najib. “Lagipun, tak banyak kerja.”

Bersambung minggu depan – Bahagian 24

(Bahasa rojak yang digunakan oleh pekerja Pushing Files Enterprise adalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan dengan kakitangan mana-mana syarikat milik Bumiputera. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 23 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 19 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!