Wednesday, 23 May 2012

UGUT: Pushing Files – Bahagian 1

Amri sampai di pejabat pada jam 8:15 pagi dan terkejut melihat Datuk Najib di sana.

Biasanya, paling awal CEO merangkap pemilik syarikat itu tiba adalah selepas 10:00 pagi. Itu pun hanya dua atau tiga kali seminggu. Selebihnya urusan di luar. Bermain golf, mungkin.


Good morning, Amri. Awaklah yang saya nanti!”

Memang terkejut besar Amri mendengar kata-kata itu. Bukan kerana Datuk Najib tidak membalas salamnya, tetapi kerana CEO itu menanti kedatangannya.

“Ada apa, Datuk?” Amri bertanya dengan nada risau bercampur takut.

Sudah dua bulan dia bekerja di Pushing Files Enterprise dan inilah kali pertama dia benar-benar bercakap secara langsung bersama Datuk Najib.

Biasanya hanya menerima arahan menerusi e-mel atau pegawai lain. Tambahan pula, bukannya ada banyak kerja yang perlu dilakukan di syarikat ini.

“Masuk ke bilik saya,” kata Datuk Najib sambil mendahului tanpa memandang wajah Amri. “Kita bincang di dalam.”

Amri segera meletakkan beg di atas kerusi di tempat kerjanya dan membetulkan tali leher sebelum melangkah masuk ke bilik CEO.

Datuk Najib sedang duduk di sofa warna coklat muda dan bukan di kerusi rasminya di meja CEO.

“Tutup pintu tu, Amri. Ada benda saya nak bincang dengan awak.”

Dengan jantung berdebar-debar, pemuda itu menutup pintu seperti diarahkan; tetapi tidak menguncinya sebagai langkah berjaga-jaga.


Dalam diam, Amri teringat akan beberapa perkara yang pernah didengarnya daripada Amy mengenai CEO berkenaan.

Fikiran itu muncul pada waktu dia berdiri dengan kepala tertunduk di hadapan Datuk Najib kerana khabarnya – menurut Amy – begitulah cara CEO itu berdiri di hadapan isterinya di rumah.

“Bos kita ni hanya pandai menyinga di depan orang. Kalau di rumah, sekali disergah Datin Rose, terus dia menikus,” kata Amy semasa mereka sedang berbual-bual bersama-sama beberapa staf lain baru-baru ini.

Amri hanya pernah sekali melihat Datin Rose Abdullah. Wanita keturunan Cina itu khabarnya anak tauke kaya; antara yang terkaya di Malaysia.

Dia masuk Islam untuk/apabila berkahwin dengan Datuk Najib yang ada banyak connection dengan orang UMNO.

“Orang yang sebenarnya berkuasa ialah Datin Rose. Semua orang tahu bahawa Datuk Najib hanya boneka. His privilege is dia lelaki Melayu Islam. Datin Rose dan bapanya perlukan kedudukan itu untuk kembangkan empayar business,” kata Suraya dalam perbualan itu yang lebih merupakan sesi gosip.

“Sayang, kan? Datuk baru berumur 45 tahun. Patutnya mampu kahwin lagi. Tapi fasal queen control, dia tak boleh nak buat apa-apa,” Ibrahim yang beristeri dua mencelah.

“Tapi jangan sangka bos kita tu hanya tunduk dan kecut setiap masa di depan isterinya! Jangan lupa mereka ada anak berumur 13 dan 10 tahun. Kira okey, apa,” Sheila pula menyumbangkan buah fikiran; lalu disambut dengan ketawa riang oleh rakan-rakannya.

“Dan jangan lupa bahawa Datuk Najib ada cara lain untuk menenangkan jiwanya apabila tidak tahan dengan gaya queen control Datin Rose,” Amy pula berkata seketika kemudian semasa mereka semua sedang berbual-bual di pejabat semasa ketiadaan CEO.

“Maksud awak, Datuk ada perempuan simpanan?” Ibrahim bertanya dengan penuh minat. “Malay, Indian or Chinese? Or Mat Salleh or Mongolian?

Amy ketawa besar sambil duduk bersilang kaki di atas meja. Ada nada memperli dalam ketawanya itu.

Beberapa rakan lain turut ketawa bagaikan mereka memahami apa yang dimaksudkan oleh Amy melalui ketawanya itu. – Bersambung minggu depan – Bahagian 23

(Syarikat Pushing Files Enterprise dan watak-watak dalam faksyen ini adalah “rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup atau mati” sebagaimana cerpen “Politik Baru YB J” karya Datuk Chamil Wariya. © Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 22 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!