Wednesday, 16 May 2012

UGUT: Facebook – Bahagian 3

Tanpa berfikir panjang juga, mesej itu dikirim. Wan bimbang bahawa kalau dia membaca semula kandungan mesej itu, hatinya mungkin tergerak untuk menekan delete dan membatalkan penghantarannya.

Semacam kepuasan dan kelegaan menular dalam jiwanya. Bagaikan dia sudah berjaya membimbing LonelyBoy supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap yang mungkin dipasang orang.

Perangkap yang dipasang individu atau kumpulan yang mahu mengambil kesempatan ke atas golongan gay yang masih belum bersedia mendedahkan orientasi seksual mereka kepada keluarga dan rakan-rakan.

Wan ketawa sendirian mengenangkan apa yang baru sahaja dilakukannya. Dia sebenarnya mentertawakan dirinya sendiri kerana sudah menjadi mangsa peras-ugut seperti itu.

Betapa baik jika pernah ada orang yang tampil memberi nasihat seperti ini kepada saya sebelum saya menjadi mangsa Syed.

Supaya saya tidak terus mempercayai semua orang yang menghubungi saya menerusi mana-mana laman rangkaian sosial yang dikhususkan untuk golongan gay.

Sebelum saya membuka peluang kepada Syed merakam foto-foto aktiviti seksual kami menggunakan kamera tersembunyi.

Demikian fikir Wan dengan penuh penyesalan.

Betapa dia mengimpikan supaya dapat bertemu lelaki yang benar-benar ikhlas dan boleh dipercayai. Mungkin bukan sebagai pasangan hidup. Sekurang-kurangnya pasangan yang tidak ada motif jahat seperti Syed.

Wan berusaha untuk tidak berfikir mengenai Syed yang memusnahkan impiannya. Syed yang mencemarkan imej dan gaya hidup golongan sepertinya.

Syed yang memesrainya semata-mata untuk merakam foto yang kemudian digunakan untuk mengugutnya.

Dia mendaftar masuk ke Meeting Point menggunakan identiti Wan. Terdapat dua mesej baru. Satu daripada Razak dan satu lagi daripada seorang individu baru bernama 1Mutant.

Oleh kerana tertarik dengan nama yang digunakan, Wan membaca dahulu mesej daripada 1Mutant.

“With due respect, I rasa you kurang kenal golongan gay. You just assume semua gay ketagih seks. This assumption could very soon lead you to some big trouble.”

Wan mengerutkan kening. Mesej itu dibaca sekali lagi dengan teliti untuk memastikan dia memahami sepenuhnya kandungan dan makna yang disampaikan.

Siapakah 1Mutant ini? Demikian fikirnya sambil jari secara spontan menggerakkan kursor lalu mengklik pada nama individu itu.

“1Mutant, 30 tahun, Shah Alam, 170 sentimeter, 66 kilogram, in recovery, bentuk tubuh sederhana, tidak merokok, tidak minum arak. Straight acting.”

Wan berfikir sebentar. Dia perlu merangka ayat yang sesuai untuk membalas mesej berkenaan. Dia mahu melakukannya umpama menarik rambut dari tepung.

“Maaf jika tersinggung membaca maklumat pada profil saya. Tapi apa yang saya tulis itu berdasarkan pengalaman sejak 5 tahun lalu. Rata-rata menghubungi saya untuk satu tujuan saja. Maybe you’ll be the first to prove me wrong.”

Dia segera menekan butang Send sebelum fikirannya berubah. Kemudian baru menumpukan perhatian pada foto profil 1Mutant. Foto yang diambil menggunakan telefon bimbit tetapi wajahnya memang jelas. Agak kacak dan menarik perhatian.

Sejurus kemudian, Wan teringat akan mesej yang diterima daripada Razak.

Apa pula yang mungkin dinyatakan kali ini oleh lelaki berumur 39 tahun itu yang pernah membandingkan antara nama “Wan” dan “1Malaysia”? Demikian fikirnya sambil kembali ke Inbox.

“I’m ready. Let’s meet. But keep it private.”

Wan cuba mentafsir makna kata-kata itu. Penggunaan Bahasa Inggeris yang betul dan teratur serta penggunaan ayat yang ringkas, padat juga boleh membawa makna tersendiri mengenai keterbukaan dan keselesaan individu terbabit terhadap seksualitinya.

Razak mungkin seorang yang berbahaya. – Bersambung minggu depan – Bahagian 22

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 21 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 5 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!