Wednesday, 9 May 2012

UGUT: Facebook – Bahagian 2

One done, a few more to go. Demikian fikir Wan semasa meneliti senarai yang dibekalkan oleh Syed.

Segera dia memasukkan alamat e-mel dan kata laluan milik Alexxx. Lelaki berumur 40 tahun itu pernah memberitahu bahawa dia sudah berkahwin tetapi tidak ada anak.

Namun, maklumat yang Wan peroleh menerusi akaun Facebook sedikit mengecewakan.

Alexxx – atau Alex Chong – mungkin memang sudah “berkahwin” tetapi pasangannya bukan perempuan. Individu yang disenaraikan di bawah Married to ialah Rozlan James, pemuda berumur 31 tahun.

Dia ini mungkin bukan pilihan baik. Pandai pula dia berselindung dengan aku. Kalau tak ada isteri, susahlah aku nak ugut nanti. Demikian fikir Wan kerana sebelum ini dia menyangka Alexxx mempunyai isteri.

Dia membaca apa yang ditulis oleh Alex Chong pada wall Rozlan James sejak beberapa hari lalu.

I love you.
You are the only one in my life.
I will never betray your love and trust.
No one else can ever be my better half.

Tergelak Wan membaca segala catatan itu. Meluat pun ada, menyampah pun ada. Akan tetapi, apa yang pasti adalah kemungkinan besar Rozlan James tidak tahu mengenai cubaan Alex Chong menggunakan identiti Alexxx untuk mencari hiburan bersama-sama lelaki lain.

Wan mencatatkan alamat e-mel Rozlan James sambil tertanya-tanya adalah lelaki itu orang Melayu atau Cina atau India atau lain-lain.

Namun, maklumat itu tidak penting. Apa yang penting adalah bahawa Wan boleh menggunakan alamat e-mel Rozlan James untuk mengugut Alex Chong @ Alexxx apabila tiba masanya.

Tiba-tiba sahaja Wan teringat akan LonelyBoy yang mengirimkan foto bogelnya. Bukan keghairahan yang timbul pada kali ini apabila memikirkannya.

Sebaliknya, Wan tertanya-tanya sama ada pemuda berumur 20 tahun itu yang masih belajar di sebuah kolej universiti faham akan risiko yang ditanggung.

Mengapa budak itu terlalu naif dan bodoh sehingga sanggup mengirim foto bogel dirinya kepada orang yang tidak dikenali? Dia seharusnya sedar implikasi dan kesan negatif yang terpaksa ditanggung jika foto itu mula tersebar di ruang siber.

Bagaimana jika dilihat rakan-rakan sekuliah? Atau dilihat ahli keluarga? Demikian Wan berfikir.

Secara spontan, Wan mendaftar masuk ke laman rangkaian sosial Meeting Point menggunakan identiti Ein. Ada beberapa mesej masuk tetapi tumpuan Wan hanya pada mesej daripada LonelyBoy.

“Bagaimana? Boleh jumpa? Saya benar-benar nak cuba.”

Tanpa berfikir panjang, Wan menaip mesej balasan.

“Saya nasihatkan awak jangan terburu-buru. Harap awak tak kirim foto tubuh dan muka awak kepada orang lain. Bahaya. Awak tak takut foto itu disebarkan secara meluas melalui Internet? Cuba fikir kalau foto itu sampai kepada kawan-kawan di kolej universiti atau kawan-kawan sekolah dulu. Atau sampai kepada ahli keluarga. Bahaya, bukan?

“Saya tak mahu beri ceramah. Bukan nak suruh awak jangan cari kawan. Cuma nak minta awak supaya berwaspada. Bukan semua orang menggunakan Meeting Point untuk mencari pasangan secara ikhlas. Mungkin ada juga yang cuba mencari mangsa untuk diperas-ugut. Tidakkah awak risau dan takut?

“Jangan dedahkan identiti diri secara terlalu terperinci kepada orang yang belum dikenali. Kalau mahu kirim foto wajah, silakan. Kalau mahu kirim foto tubuh, silakan. Tapi jangan kirim foto bogel yang nampak wajah kepada orang yang tidak dikenali. Malah, lebih baik jangan kirim juga kepada orang yang dikenali.”

Bersambung minggu depan – Bahagian 21

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 20 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 29 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!