Wednesday, 2 May 2012

UGUT: Facebook – Bahagian 1

Wan tersenyum hambar. Dia berjalan ke dapur dan membancuh Kopiko 3-dalam-1di dalam kole besar. Kemudian berjalan kembali ke hadapan komputer riba sambil menghirup minuman kegemarannya.

Betapa baik jika segala komunikasi ini dilakukan atas kerelaan sendiri, fikirnya selepas selesai membaca rentetan mesej yang dikirim kepada dan diterima daripada MahuEnjoy sejak beberapa hari lalu.

Lelaki yang mengaku sudah berkahwin sekitar 15 tahun itu ternyata berminat untuk bertemu dengannya. Atau lebih tepat lagi, untuk bertemu dengan Ein.

Malah Wan juga sudah menyatakan dalam jawapan balasnya bahawa dia akan menguruskan tempahan bilik di hotel pada tarikh yang sesuai.

Kalau diberi pilihan, dia lebih suka bertemu LonelyBoy yang menghubunginya menggunakan identiti seorang pelajar kolej universiti di Kota Damansara dan baru berumur 20 tahun.

Apa nak buat? Semuanya nasib malang aku. Semuanya salah aku kerana masuk perangkap yang dipasang Syed. Demikian fikir Wan yang sudah pun membatalkan akaun atas nama LonelyHeart yang pernah digunakan untuk berkomunikasi dengan Syed dahulu.

“Celaka kau, Syed!” Wan berkata kepada skrin komputer kerana terdesak untuk meluahkan kemarahan. “Selepas kau perangkap aku dan mengugut aku, sekarang kau gunakan aku pula untuk mengugut orang lain. Kau memang celaka. Setan!”

Wan mencapai kole dan menghirup dua teguk kopi panas. Dirinya terasa lebih tenang dan emosinya lebih terkawal. Dia mencapai pula senarai alamat e-mel berserta kata laluan yang dibekalkan oleh Syed semalam.

“Setan,” ucapnya apabila terkenang akan apa yang berlaku semasa kunjungan lelaki itu semalam. “Pandai betul kau pujuk dan merayu untuk memuaskan nafsu walaupun selepas kau dedahkan tujuan sebenar kau berpura-pura hendakkan aku!”

Wan sedar bahawa dia turut bersalah dalam hal itu. Sepatutnya dia tidak membiarkan dan membenarkan Syed merangsangnya semalam.

Atas kelemahan diri sendiri, akhirnya dia tunduk pada hawa nafsu dan mengizinkan Syed melakukan apa yang diminati terhadap tubuhnya.

Sambil fikirannya masih mengenangkan kejadian semalam, Wan pergi ke laman Facebook. Dia merujuk alamat e-mel dan kata laluan yang diberikan oleh Syed semalam.

Empat hari lalu, Wan @ Ein meminta MahuEnjoy memberikan alamat e-mel supaya dia boleh mengirim foto dirinya dalam keadaan mengghairahkan. Langsung lelaki itu percaya dan terpedaya!

Tentu sahaja Wan mengirim foto tubuh seorang lelaki (yang bukan dirinya) supaya MahuEnjoy tidak mengesyaki tujuan sebenar dia meminta alamat e-mel. Entahlah sama ada lelaki berumur 41 tahun dari Subang Jaya itu sedar atau tidak bahawa foto itu bukan dirinya.

Apa yang penting, Wan berjaya mendapatkan alamat e-mel yang kemudian dikirim menerusi e-mel kepada Syed. Pakar sains komputer itu menggunakan kebolehannya untuk mendapatkan kata laluan bagi akaun Facebook milik MahuEnjoy.

Tentu sahaja lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai anak itu tidak menggunakan nama “MahuEnjoy” pada akaun Facebook. Sebaliknya, namanya ialah Syamsul Haji Shaari. Benar, umurnya memang 41 tahun dan beralamat di Subang Jaya.

Wan meneliti foto-foto yang terdapat pada album. Kebanyakannya foto majlis-majlis rasmi berkaitan syarikat. Juga beberapa foto bersama keluarga. Album Profile Pictures pula memuatkan lebih 20 foto yang menampilkan Syamsul dalam imej korporat.

Memanglah tiada siapa yang dapat meneka dengan mudah orientasi seksual orang ini. He’s straight acting. Demikian Wan merumuskan.

Tanpa menghabiskan lebih banyak masa, Wan mengklik foto yang terpapar di bawah Married to. Lalu segera di ruangan Info dan menyalin alamat e-mel yang tertera di bawah Contact Information.

Kemudian, Wan melayari senarai Friends dan Family. Nombor telefon dan alamat e-mel beberapa orang daripada senarai itu disalin pada kertas.

Selepas itu, Wan mendaftar keluar dari akaun Syamsul bagi mengelakkan sebarang masalah. Bimbang kalau-kalau ada yang mahu chat bersama Syamsul pada waktu itu. Bersambung – Bahagian 20

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 19 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!