[Kalau Raja benar-benar tidak bersalah, mengapa dia tidak tampil
membela diri di panchayat dua hari lalu?]
“Hm, hm. Lagi pula, cuba kalau Encik Sitambaram sendiri yang
mencurinya, masakan pula dia masih berani berada di sini. Tentulah dia dah
cabut lari! Sekarang, siapa yang cabut lari dan didapati mati di hadapan kuil
Maha Kaali?”
Segala butir perbualan itu sedikit sebanyak sampai ke telinga Senthamarei.
Segera dia teringat akan anaknya yang bertukar menjadi balu sebelum berkahwin.
Mengenangkan nasib Malliga membuatkan Senthamarei menyesal kerana menghukum
Raja sebagai pencuri di panchayat tempoh hari.
Akan tetapi, keputusan panchayat adalah juga keputusannya.
Senthamarei tidak mahu pendapatnya bercanggah dengan pendapat yang dia sendiri
putuskan di panchayat.
Dia kembali tertunduk; menampakkan kepala botak yang sedikit
berambut putih. Kalau biasanya di panchayat dia akan mengelus-elus
misainya yang beruban sambil menyoal tertuduh atas tuduhan yang dikemukakan
oleh pihak pendakwa, kini ketua kampung yang bertubuh lampai itu hanya mampu
tertunduk sambil meletakkan tangannya di riba. Cuma tundu yang
tersangkut di bahu kiri sentiasa diambilnya untuk mengesat peluh di dahi.
“Agaknya di mana dia sembunyikan berhala emas Kaali Devi?”
Kedengaran lagi suara seorang lelaki tua bertanya kepada beberapa orang di
sekelilingnya.
“Entahlah, ayya. Mungkin juga di dalam rumahnya,” seorang
pemuda memberikan pendapat. “Kalau disembunyikan di rumah, sekejap lagi kita
akan dapat mengesannya. Tentu empat orang yang pergi ke rumah Ramani sebentar
tadi akan menemuinya.”
Senthamarei terus berdiam diri; membiarkan sahaja para penduduk
berbual sesama sendiri. Maramanden sesekali memandang wajah ketua panchayat
yang duduk tidak jauh dari tempatnya.
Lelaki itu – yang sering kali dianggap sebagai terencat akal
kerana rupanya yang menyerupai wajah orang kurang siuman – membiarkan sahaja
Senthamarei termenung sendirian. Dia tahu bila masanya dia perlu bercakap dan
bila masanya dia perlu hanya berdiam diri. Itulah sikap Maramanden yang paling
Senthamarei suka.
Maramanden suka membantu dengan memberikan pandangan dan pendapat
yang selalunya dianggap bernas. Itulah sebabnya ketua panchayat
mengambil lelaki berkulit kuning langsat itu menjadi semacam pembantunya yang
andal. Tindakan ini antara lain berjaya membuktikan kepada umum bahawa
Maramanden bukanlah terencat akal seperti yang disangka.
Melihat keadaan Senthamarei yang termenung memikirkan entah apa,
Maramanden turut diam dan melayan fikiran.
Malliga tidak hadir ke panchayat kali ini. Begitu juga
Revathi. Mereka sudah hilang kepercayaan terhadap panchayat Kubur Gajah.
Bagi mereka, panchayat yang menghukum seorang yang tidak bersalah
bukanlah sebuah panchayat. Sebuah panchayat yang membuat
keputusan tanpa memberi peluang kepada tertuduh membela diri bukanlah sebuah
majlis timbang cara yang berlaku adil.
Tapi salah panchayatkah kerana tidak memberi peluang kepada
Raja membela diri? Raja sendiri yang menghilangkan diri. Kalau dia benar-benar
tidak bersalah, mengapa dia tidak tampil membela diri di panchayat dua
hari lalu? Demikian hujah Senthamarei.
Jadi, benarkah panchayat Kubur Gajah telah tidak berlaku
adil; seperti kata Malliga dan Revathi? Tidak mustahil bahawa mereka berkata
begitu hanya atas landas kepercayaan mereka terhadap Raja dan Ramani tanpa
mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak kurang penting. Demikian pendapat
Senthamarei.
“Macam mana kalau dia dah pindahkan berhala itu ke tempat lain?
Atau pun mungkin dia tak sembunyikan langsung berhala tu di rumahnya.”
Orang ramai terdiam mendengar soalan Balbik Singh.
“Ya. Masakan dia berani menyembunyikannya di dalam rumah,” kata
Daniel sebagai menyetujui pandangan yang dikemukakan oleh Balbik Singh.
“Mungkin kita perlu mencari di kandang lembu mereka di hujung
kampung,” Kannan Naidu memberikan pendapat. “Tidak mustahil di situlah Raja
bersembunyi setelah mencuri berhala Kaali Devi. Kalau Sitambaram dan penduduk
lain tak temui apa-apa di rumah Ramani, kita suruh mereka mencari di kandang
lembu itu pula.”
“Tapi,” Navaneethan, si pekedai runcit pula menyampuk, “bukankah
Ramani kata dia telah mencari abangnya di kandang lembu tempoh hari?”
Beberapa orang memandangnya. Yang lain masih sibuk berbual sesama
sendiri tanpa mengendahkan orang lain. Panchayat sebenarnya sudah
bersurai; sudah ditangguhkan sebentar sehingga Sitambaram, Kim Seng, Mahmood
dan Rengasamy pulang daripada menggeledah rumah Ramani.
“Benar juga apa yang awak katakan,” seseorang memberikan pendapat
terhadap pandangan Navaneethan tadi. “Akan tetapi, bukankah tidak mustahil
bahawa Ramani sendiri yang menyembunyikan abangnya di sana?”
“Maksud awak, Ramani terlibat sama?”
Ramai juga yang turut memandang ke arah wanita yang menyokong
pendapat Navaneethan. Senthamarei hanya diam sambil memasang telinga mendengar
segalanya. Dia mengawal diri agar tidak melenting. – Bersambung
minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada
24 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 12 Mei 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.
Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)