Wednesday, 4 April 2012

UGUT: Gym Guy – Bahagian 3


Semasa berjalan menuju Restoran Syed Amir, pemuda itu sedar bahawa beberapa orang memandang ke arah mereka berdua. Malah begitulah juga sejak dari LG tadi.

“Ramai yang tertarik pada T-shirt awak, nampaknya,” kata Amy sebaik mereka duduk bertentangan di meja warna hijau. “I am a Malaysian first and Malay next. Does any bigot have a problem with that?

Amri ketawa hambar kerana kedatangan Syed tadi ternyata masih mengganggu fikirannya. Tambahan pula selepas Amy mengatakan bahawa dia sudah boleh mengagak sesuatu mengenai Syed.

“Apa yang sudah dapat awak agak tentang kawan saya?”

Sebelum Amy sempat menjawab, pelayan restoran datang mengambil pesanan. Mereka memesan teh ais semata-mata kerana tidak mahu dilihat duduk di restoran berkenaan tanpa makan atau minum.

“Makan?”

Mereka berpandangan dan menggeleng hampir serentak. Kemudian terus diam seketika selepas pelayan meninggalkan mereka.

Amri sedar bahawa dia tidak akan terlepas daripada disoal siasat oleh Amy mengenai Syed. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia menceritakan kepada gadis itu tentang apa yang berlaku.

Atau sekurang-kurangnya menceritakan sebahagian daripada kisah sebenar. Sebahagian lagi boleh disembunyikan.

Timbul pula persoalan mengenai apa yang perlu didedahkan dan apa yang perlu disimpan. Apa yang wajar diketahui seorang gadis yang mungkin sudah mula dicintainya.

“Berapa lama awak kenal dia?”

Amri merenung ke muka Amy bagaikan cuba memahami secara mendalam maksud sebenar soalan itu.

“Taklah lama sangat. Kawan biasa saja. Kenal pun tak sampai tiga bulan.”

Let me guess. Awak jumpa dia di gym?”

Amri mengerutkan kening dan wajahnya penuh tanda tanya.

“Dengan hanya melihat fizikal awak, saya boleh agak yang awak selalu ke gym. Begitu juga kawan awak tu. Apa namanya? Syed?”

Ketegangan pada muka Amri semakin berkurangan. Amy cepat menangkap perubahan itu. Dia dapat mengagak bahawa pemuda di hadapannya terasa lega kerana dia sebagai seorang wanita mampu meneka apa yang bermain dalam minda seorang lelaki hanya melalui pemerhatian; tanpa perlu diberitahu apa-apa.

“Ya, ya. Benar.” Amri mengangguk-angguk sementara matanya memandang pelayan yang berjalan ke arah mereka, meletakkan teh ais yang dipesan dan berlalu pergi. “Di gym.”

“Sejak itu dia menjadi agak friendly dan selalu mencari peluang untuk bercakap dengan awak. Betul tak?”

Amri terus mengangguk kecil bagaikan baru sahaja teringat semula kisah pertemuannya dengan Syed apabila diceritakan oleh Amy. Bagaikan kisah itu sebenarnya telah sengaja dilupakannya sebelum ini.

I’m quite observant and I nampak cara dia behave semasa berjumpa dengan awak tadi.”

“Maksud awak?” Ada nada kebimbangan pada suara Amri.

I mean the way dia tengok awak, dia pegang awak. You know, the way he communicated dengan dia punya body language.”

Amri terkejut dalam terdiam. Dia ternyata tidak menyangka bahawa Amy telah memperhatikan semua itu. Bahawa Amy telah menganalisis dan mentafsir segala pergerakan itu.

I could be wrong tapi I selalu dengar dan baca mengenai sexual harassment yang sering berlaku di gym. Straight guys jadi mangsa golongan homosexual,” Amy menceritakan dengan penuh yakin.

Gadis itu memandang ke wajah kacak pemuda yang duduk di hadapannya sebelum mara dan mendekatkan mukanya hampir ke muka Amri.

“I nampak yang awak memang felt uneasy apabila Syed datang tadi. You want to avoid him,” katanya lagi sambil memperlahankan suara. “Saya rasa Syed is gay and he likes you!”

Muka Amri pucat. Matanya tidak berkelip. Kemudian, perlahan-lahan, pucat itu mula menghilang dan kelopak matanya bergerak-gerak bagaikan baru sedar daripada koma.

Bagaikan baru diselamatkan daripada dihanyutkan tsunami.

You better watch your back, Amri.” – Bersambung – Bahagian 19

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 18 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 15 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!