Wednesday, 7 March 2012

UGUT: Hot & Young – Bahagian 2

“Saya amalkan semangat 1Malaysia, jadi saya tak kisah pasal bangsa,” kata pula seorang pemuda Chindian yang pernah ditemuinya pada kesempatan lain; namanya entah apa.

Wan cuba mengingat nama-nama orang yang pernah ditidurinya sejak lima tahun lalu. Sukar!

Malah, dalam kebanyakan insiden, mereka terus bertemu di tempat yang dijanjikan, mendaftar masuk ke hotel dan mengucapkan selamat jalan selepas semuanya selesai.

Tidak timbul keperluan untuk berkenal-kenalan dan bertanya tentang latar belakang. Bertanya tentang pekerjaan, tahap pelajaran, hobi, cita-cita, ideologi politik, makanan kegemaran, keluarga dan segala macam perkara remeh-temeh yang tidak menyumbangkan apa-apa kepada motif pertemuan.

“Ada bawa kondom?” Itu sahaja soalan wajib yang pasti ditanya oleh Wan. “Don’t worry, I always carry my stock.”

Segera segala saraf nadi dalam tubuhnya rindu untuk melalui semula pengalaman silam. Sewaktu dia bebas memilih pasangan. Semasa dia bebas menentukan syarat dan sempadan.

Wan sentiasa meletakkan syarat bahawa individu yang mahu bertemu dengannya perlulah berumur antara 18 dan 25 tahun.

Kalau lebih muda, dianggap bawah umur. Kalau lebih tua, dianggap tidak memenuhi cita rasanya.

Namun, semua itu adalah pengalaman silam. Sebelum Syed hadir dalam hidupnya. Sebelum lelaki yang pandai bersandiwara itu menunjukkan 17 keping foto yang dirakam tanpa pengetahuannya.

Wan kembali menghadap skrin komputer riba. Dia membuka semula foto LonelyBoy yang disimpan dalam folder khas.

Pemuda berumur 20 tahun itu mengaku pelajar jurusan kejuruteraan di Kolej Universiti SEGi, Kota Damansara.

Mengaku masih baru di laman rangkaian sosial Meeting Point dan belum pernah meniduri atau ditiduri sesiapa.

Seperti biasa, segala maklumat itu tentu sahaja pembohongan semata-mata.

Sejak lima tahun lalu, Wan sudah bertemu sekian ramai pemuda yang menyatakan – melalui mesej yang dikirim kepadanya – bahawa mereka adalah pelajar Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Kolej Taylor’s, Kolej Universiti Sunway, Kolej Damansara Utama, The One Academy dan entah apa-apa lagi.

Wan tidak pernah bertanya sama ada semua itu adalah benar.

Akan tetapi, dia yakin bahawa foto yang kini perpapar pada skrin adalah foto sebenar diri LonelyBoy. Muda dan menggoda. Ditenungnya lama-lama.

Kemudian, Wan menghela nafas dan menghembusnya perlahan-lahan sambil memejamkan mata selepas menutup semula foto yang dikirim LonelyBoy.

I have work to do,” dia mengingatkan dirinya.

Wan ke laman Meeting Point dan mendaftar masuk sebagai Jedan.

Tiada sebarang aktiviti terbaru sejak semalam. Lalu, tanpa membuang masa, dia mendaftar keluar dan segera pula mendaftar masuk sebagai Ein.

Ada mesej terbaru daripada MahuEnjoy, seorang pengarah eksekutif berumur 41 tahun dari Subang Jaya yang mengaku sudah berkahwin.

Wan membaca rangkaian mesej yang dikirim dan diterima daripada lelaki itu sejak beberapa hari lalu.

Kesemua mesej disimpan dengan cermat kerana dia perlu membuat persediaan rapi untuk mengatur pertemuan bersama MahuEnjoy dalam masa terdekat.

Hi, Ein! Nice name and profile photo.

Thanks. I baru selesai baca your profile. You memang mahu enjoy macam makna nama you?

Sure. I dah baca profile you dan I rasa kita ngam.

Good. I memang nak cari lelaki yang dah kahwin. So, you really married with kids?

Ya. Two kids. But let’s not talk about them. Or my wife.

Sorry. Saja nak pastikan you bukan budak kolej yang menyamar selepas baca requirements yang I letak di profile.

Jangan risau. I memang lelaki matang yang masih gatal. Bersambung – Bahagian 15

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 14 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!