Wednesday, 28 March 2012

UGUT: Gym Guy – Bahagian 2

“Kawan biasa sahaja. Tak sangka pula akan jumpa di sini,” kata Amri dengan nada hambar.

Gadis itu dapat mengagak bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Dia pasti bahawa Amri berasa kurang selesa dengan kehadiran Syed bukan semata-mata kerana tidak mahu dianggap keluar dating bersamanya.

Bukan semata-mata kerana bimbang memikirkan kemungkinan Syed akan menyebarkan kepada rakan-rakan lain melalui SMS atau Facebook bahawa dia telah melihat Amri bersama seorang wanita di The Summit USJ.

Ada sesuatu yang tidak kena. Demikian fikir Amy sambil cuba membaca bahasa tubuh kedua-dua pemuda berkenaan.

Anyway, I got to be going. Nice meeting you, Amy,” kata pemuda itu yang menoleh ke arah gadis berkenaan dan segera tersenyum penuh misteri. “Jumpa lagi.”

Tanpa menantikan sebarang reaksi balas, pemuda itu bergegas bangun dan mula berjalan meninggalkan mereka. Amri pula masih tertunduk. Amy terpinga-pinga.

Gadis itu tidak berkata apa-apa buat seketika. Dia faham bahawa Amri tidak mahu diganggu pada saat itu. Dia dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang cuba dirahsiakan oleh Amri.

Sesuatu yang mungkin dia tidak tahu bagaimana mahu diceritakan kepada orang lain.

Are you okay?” Amy bertanya hampir lima minit kemudian apabila melihat Amri menghela nafas dalam-dalam dan mengangkat kepala.

Amri mengangguk kecil sementara matanya masih tertutup. Kemudian dibuka perlahan-lahan memandang gadis ayu di hadapannya. Dia tahu bahawa Amy pasti akan bertanya pelbagai soalan mengenai apa yang berlaku sebentar tadi.

Amri terpaksa menyatakan sesuatu. Terpaksa memikirkan apa yang perlu diceritakan.

“Saya okey. Dia dah pergi jauh?” Amri bertanya sementara matanya tertumpu ke arah Amy.

“Dah. Rasanya tak akan datang balik.”

“Harap begitulah. Dia tu bukan antara kawan yang paling saya senangi,” Amri meluahkan sambil jari telunjuk dan ibu jadi tangan kanan mengurut pelipis sementara matanya kembali terpejam.

Yes, it’s very obvious,” Amy berterus-terang. “Dan saya rasa saya boleh agak kenapa.”

Amri membuka mata dan memandang Amy dengan penuh tanda tanya. Pasti sahaja tertanya-tanya makna kata-kata gadis itu. Tertanya-tanya apa yang boleh dan sudah diagak oleh Amy dalam masa yang relatif begitu singkat.

“Apa yang sudah dapat awak agak?” Amri bertanya dengan rasa ingin tahu yang cuba disembunyikannya sepenuh daya.

You might be offended and I could be wrong,” balas Amy apabila menyedari ketegangan yang masih wujud dalam suara dan pada wajah Amri. “Tapi sebelum itu, apa kata kita pergi tempat lain?”

“Ya. Saya tak mahu pula dia datang semula sekejap nanti dan mengganggu.”

Amri segera menuju ke kaunter dan membayar bil. Kemudian datang menemui Amy yang sudah sedia berdiri sambil memegang beg tangan dan membetulkan gaun corak bunga pelbagai warna.

“Ke mana?”

“Kita naik dulu,” balas Amri sebelum berjalan keluar menuju ke arah restoran Subway yang dahulu adalah kedai buku MPH.

Mereka berdua menggunakan eskalator untuk ke Ground Floor. Masing-masing tidak bercakap.

Sesekali Amri menoleh bagaikan mahu mempastikan Syed tidak mengekori mereka. Sesekali Amy memandang wajah Amri untuk membaca riaknya.

Sampai di Ground Floor, Amri terus berjalan ke eskalator berhampiran farmasi Watson untuk menuju ke tingkat atas. Amy menurut tanpa kata.

Namun, kedua-dua mereka bagaikan sedang ligat memikirkan apa yang mahu dibincangkan selepas ini mengenai Syed, pemuda bertubuh sasa yang tiba-tiba datang dan merosakkan mood mereka berdua.

“Kita ke restoran mamak di tingkat dua,” kata Amri. – Bersambung – Bahagian 18

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 17 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 8 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!