Wednesday, 21 March 2012

UGUT: Gym Guy – Bahagian 1

Amri kelihatan cuba menyembunyikan rasa terkejut apabila ditegur pemuda berkemeja-T biru muda tanpa lengan itu.

“Tak sangka pula akan jumpa awak di sini,” kata pemuda bertubuh sasa itu. “How are you?”

“Sihat. Ya, memang tak sangka akan jumpa di sini,” balas Amri seraya menyambut tangan yang dihulurkan.

Amy tidak masuk campur. Sekurang-kurangnya lelaki yang datang menegur ini adalah kawan dan bukannya lawan. Demikian fikirnya.

“Maaf kalau saya mengganggu,” kata pemuda berkenaan bagaikan baru menyedari kehadiran Amy yang duduk semeja dengan Amri di kopitiam Old Seremban Station.

“Oh, tak jadi masalah. Perkenalkan,” sahut Amri pula dalam nada yang berbaur antara gembira dan serba salah. “Ini Amy, rakan sekerja saya. Dan ini Syed, kawan saya.”

Syed menghulurkan tangan dan Amy menyambutnya. Gadis itu dapat merasakan genggaman yang lembut tetapi kejap.

“Hai, jemput duduk,” Amy mempelawa.

Thanks. Hope saya tak mengganggu,” kata Syed dengan sedikit nada rasa bersalah sambil beberapa kali memandang Amri di sebelah kiri dan Amy yang duduk di sebelah kanan.

“Tak apa. Kami berbual-bual saja. Nothing personal,” Amy cuba meyakinkan. “But I think I saw you just now.”

“Oh, ya? Saya lalu di sini?” Syed memandang Amy sambil mengerutkan kening, bagaikan cuba mengingat sesuatu. “Oh, ya! Tadi saya lalu di sini dan terdengar kamu berdua ketawa. Tapi tak sangka pula Amri ada di sini.”

Amy tersenyum lebar bagaikan tersengih kerana sebentar tadi memang beberapa orang menoleh ke arah mereka. Syed turut memandang ke arah mereka beberapa kali sebelum meneruskan perjalanan.

Mungkin dia dapat mengagak bahawa dia kenal pemuda yang duduk di kopitiam ini dan datang semula untuk mempastikan perkara itu. Demikian fikir Amy sambil mengambil peluang memandang tubuh sasa pemuda itu yang sedang merenung Amri.

“Saya saja datang. Amy ajak jumpa sebab dia rasa bosan. Itu saja,” Amri pula cuba menjelaskan bagaikan dia tidak mahu Syed memikirkan kemungkinan sahabatnya itu keluar dating bersama rakan sekerja.

“Saya tak kisah,” Syed kedengaran cuba meyakinkan seraya tangan kirinya menepuk tangan kanan Amri yang terletak di atas meja. “Yang awak risau macam kena tangkap basah ni kenapa?”

Muka Amri memerah. Menahan malu. Dia memandang sekilas wajah gadis di hadapannya sebelum tertunduk sedikit. Amy dapat merasakan bahawa Amri berasa sedikit kurang selesa.

Mungkin kerana bimbang Syed akan memberitahu rakan-rakan lain bahawa dia telah melihat Amri dating dengan seorang gadis ayu di Old Seremban Station, The Summit USJ.

Demikian fikir Amy dalam usaha mentafsir perubahan mendadak pada sikap rakan sekerjanya sebaik melihat Syed yang tiba-tiba muncul sebentar tadi.

You berdua dah lama kenal?” Amy bertanya dalam usaha mengubah topik.

“Dah lama, Amri?” Syed bertanya sambil merenung wajah pemuda itu dan bibirnya menguntum senyuman. “Rasanya macam agak lama juga, kan?”

Amy tertarik melihat senyuman romantis pada wajah Syed. Pemuda itu pula sedang tekun memandang ke arah Amri sementara mata Amri pula merenung gelas minuman.

Mungkinkah dia gangster atau kaki pukul? Fikir Amy selepas memperhatikan riak pada wajah Amri yang ternyata kurang menyenangi kehadiran Syed. Atau mungkinkah juga ah long yang pernah memberi wang kepada Amri?

“Kenal sejak sekolah?” Amy bertanya lagi bagi meredakan ketegangan yang wujud.

Maybe.” Syed mencebikkan bibir. Matanya pula tetap masih memandang Amri. “Maybe not.”

Amy memandang Amri dengan keliru dan penuh tanda tanya. Amri pula mengangkat kepala dan memandang Syed sekilas sebelum memandang Amy. – Bersambung – Bahagian 17

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 16 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 1 Januari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!