Wednesday, 22 February 2012

UGUT: Malaysian First – Bahagian 3

“Ceritakan tentang diri awak. Asal dari mana?” Amy mengelap bibir menggunakan tisu yang disediakan di atas meja. “Jangan terlalu berahsia.”

Amri menjilat bibir bawah sebelum mencapai tisu di atas meja. Dia mengerutkan kening dan bola matanya memandang ke atas bagaikan berfikir secara mendalam.

“Saya lahir pada 25 Ogos di Kulai, Johor. Arwah bapa saya seorang tukang besi,” Amri memulakan.

Kening Amy mengerut mendengarnya.

“Semasa kecil, saya pernah bercita-cita mahu menjadi seorang bilal,” Amri menyambung dengan nada mendatar bagaikan sudah terlalu kerap menceritakan riwayat hidupnya.

Amy terpegun mendengar kisah itu. Sesungguhnya dia tidak menjangkakan semua ini.

Malah, sebenarnya, dia tidak menjangkakan apa-apa mengenai latar belakang diri Amri.

Apa yang dia tahu adalah bahawa dia tertarik kepada pemuda itu sejak hari pertama dia masuk kerja.

Mungkin juga kerana penampilan fizikalnya. Mungkin juga kerana keramahannya. Mungkin juga kerana peribadinya.

Dan terbaru, kerana darah kacukan India yang mengalir dalam tubuhnya menjanjikan bonus yang menguntungkan bagi sesiapa yang berjaya memilikinya!

“Selain berjaya sebagai penyanyi, saya juga mencuba bakat sebagai pelakon, ahli silap mata dan usahawan.”

What?”

“Nama saya Asmawi Atan atau lebih dikenali sebagai Mawi.”

Amy segera mencapai beg tangan dan memukul lengan kiri Amri dengan kuat tanpa mengendahkan kehadiran beberapa pelanggan di meja berhampiran.

“Menyampah! Orang suruh bercerita tentang diri sendiri, dia bercerita tentang Mawi,” gadis itu merungut seraya sengaja memilih untuk mencubit bahagian dada pemuda yang berpura-pura kesakitan itu.

Selepas ketawa seketika, Amri mengangkat tangan sebagai tanda mengaku kalah.

Dia tersenyum lebar. Ceria. Melihat senyuman yang menggoda itu, kemarahan Amy segera reda.

Namun begitu, dia tidak mahu segera memaafkan pemuda berkenaan yang sebenarnya kelihatan lebih sasa dalam posisi kedua-dua tangan terangkat sebagai tanda menyerah diri dengan penuh rela.

“Dari mana awak memorize semua maklumat tu? Awak ni peminat tegar Mawi?” Amy bertanya dengan nada seperti masih terus marah dan menyampah dengan perbuatan Amri sebentar tadi.

Wikipedia,” Amri menjawab sepatah sambil senyum meleret dan meletakkan kembali kedua-dua tapak tangan di atas meja.

“Menyampah!”

Amy berkata demikian semata-mata kerana terasa dirinya begitu bodoh sehingga hampir mempercayai bulat-bulat maklumat yang disampaikan oleh Amri.

“Lelaki memang macam tu. Memang tak boleh dipercayai,” kata gadis itu lagi.

“Bukankah itu sebahagian realiti kehidupan?”

Amy sekadar mencebikkan bibir mendengar hujah itu.

“Kita sering meminjam maklumat dan identiti orang yang kita kenal atau tidak kenal untuk ditampilkan semula sebagai sebahagian maklumat diri kita sendiri,” Amri menyambung semacam berfalsafah.

“Macam orang letak foto Datuk Shah Rukh Khan atau Datuk Siti Nurhaliza sebagai profile picture pada Facebook?”

Sambil bertanya soalan itu, Amy menyedari bahawa seorang pemuda bertubuh sasa sedang berjalan ke arah mereka berdua.

Dia masih ingat lelaki berseluar jeans warna biru dan kemeja-T tanpa lengan berwarna biru muda itu yang menoleh ke arah mereka beberapa kali hampir setengah jam lalu.

“Bukan setakat menggunakan foto artis dan orang lain, malah mengambil maklumat peribadi orang lain seperti nama, tarikh dan tempat lahir serta biodata diri untuk dikemukakan sebagai maklumat diri sendiri di ruang siber,” Amri menjelaskan sambil memandang tepat ke wajah gadis di hadapannya.

Mata Amy pula terus tertumpu ke arah lelaki berkemeja-T biru yang kini berada pada jarak hanya sekitar dua meter di belakang Amri. – Bersambung – Bahagian 13

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 12 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 4 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!