Wednesday, 15 February 2012

UGUT: Malaysian First – Bahagian 2

“Hmm ... Saya dapat merasa keenakan buah epal yang dicampurkan dengan lobak serta dikisar bersama limau. Rasanya memang bagus, sedap dan menyegarkan apabila diminun sejuk,” kata pemuda itu yang ternyata sengaja cuba mengatur ayat formal.

Amy ketawa lagi. Dia seronok mendengar cara Amri bercakap. Tiada kepura-puraan dan tiada niat jahat. Tiada konotasi seksual seperti yang sering dilakukan beberapa rakan kerja.

Susunan ayat yang teratur kemas membantu menyedarkan Amy bahawa bahasa ibundanya itu sebenarnya indah.

“Awak memang pure Malay?”

Amy berusaha mencungkil latar belakang diri pemuda itu yang menarik perhatiannya sejak hampir dua bulan lalu.

Family awak memang completely guna Malay?” Tanyanya.

Amri segera menuding kedua-dua telunjuk ke arah dada; bagaikan kata-kata yang tertulis pada kemeja-T itu memang sepenuhnya mewakili pendirian peribadinya.

“Okey.” Amy mengangguk sambil mencebikkan bibir. “Tapi dalam kedudukan sebagai Malay next, awak memang pure Malay atau bagaimana?”

Amri tidak terus menjawab kali ini. Bagaikan dia perlu berfikir dahulu sebelum memberikan jawapan yang paling tepat, paling baik dan politically correct.

“Saya tidak dapat memikirkan sesiapa yang benar-benar berdarah asli Melayu,” katanya.

Oh, really?”

“Lihat sahaja para pemimpin negara kita sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka, malah sebelumnya,” Amri meluahkan pandangan.

Amy mengangguk penuh makna.

“Akan tetapi, saya tidak mahu masuk campur hal-hal politik, Ketuanan Melayu dan sebagainya.”

Agreed. Saya ajak awak datang ke sini bukan untuk bercakap hal politik,” Amy segera memintas.

Amri membeliakkan mata dan berpura-pura terkejut.

I just want to spend some time with you. Di pejabat banyak gangguan,” kata gadis yang memakai gaun bercorak bunga pelbagai warna itu.

Amy menghirup teh limau ais dengan penuh gaya sambil matanya terlekat pada wajah Amri. Pemuda itu pula pura-pura tidak menyedarinya.

“Saya memang ada darah campuran,” kata Amri apabila tidak dapat terus berdiam dan membiarkan gadis ayu itu merenungnya dengan penuh khusyuk.

Oh, really?”

“Ya, darah India dari sebelah datuk. Lebih tepat lagi, darah Malabari.”

Wow! That explains your hot look.”

Amy ternyata teruja mendengar maklumat terbaru yang didedahkan oleh Amri.

Tanpa segan, matanya semakin galak memandang Amri dari hujung rambut hingga paras dada. Selebihnya terlindung oleh meja.

“Kalau macam tu, bertuahlah wanita yang dapat memiliki awak,” Amy menambah dengan nada cemburu yang dibuat-buat bagi menyembunyikan keterujaan dalam diri.

“Tak adalah.”

Amri berpura-pura tidak memahami apa yang mungkin dimaksudkan oleh Amy.

“Ramai lagi yang lebih kacak,” katanya.

Well, you know what they say about Indian guys.”

“Maksud awak?” Amri bertanya sedang perasaannya berdebar-debar memikirkan kemungkinan apa yang dimaksudkan oleh Amy sama dengan hakikat yang memang sudah sedia diketahuinya.

“Tak perlulah saya ceritakan kepada awak. Itu rahsia dalam kalangan wanita.”

Amy ketawa lepas.

“Kalau saya sebut, nanti awak mungkin tuduh saya melakukan gangguan seksual di tempat awam.”

Amri terdiam. Tertunduk memandang gelas minuman sambil cuba mengawal perasaan.

Namun, pemuda itu masih cuba mencuri pandang bagi melihat wajah ayu gadis yang ketawa penuh ceria di hadapannya.

Pada waktu itu, bagaikan sudah ditetapkan dalam skrip kebanyakan drama televisyen tempatan, pelayan warga Indonesia/Myanmar membawa mi kari dan nasi goreng kampung yang dipesan.

Sekali gus menghentikan sebentar topik perbincangan yang agak sensual itu.

Mereka berdua makan dalam keadaan senyap selama beberapa minit.

Pada waktu itu, Amri menyedari bahawa kedai menjual cakera video digital (DVD) di sebelah Garden Cafe baru dibuka.

“Aku perlu singgap di sana nanti untuk mendapatkan koleksi DVD terbaru,” fikirnya. – Bersambung – Bahagian 12

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 11 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 27 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!