Wednesday, 8 February 2012

UGUT: Malaysian First – Bahagian 1

Amy tersenyum melihat Amri berjalan ke arahnya.

Dari jauh jelas kelihatan kemeja-T warna putih yang memaparkan kata-kata “I am a Malaysian first and Malay next” tulisan hitam.

Disambung ayat “Does any bigot have a problem with that?” warna merah.

“Maaf. Susah dapat tempat letak kereta tadi,” kata pemuda itu sambil menanggalkan cermin mata hitam sebaik menghampiri meja makan.

“Tak apa. Saya faham. The Summit USJ bukan seperti dulu. Empat atau lima tahun dulu, tempat letak kereta B3 memang selalu kosong. Bukan macam sekarang.”

Amri senyum lega. Risau juga memikirkan kemungkinan Amy akan mula membebel berikutan dia terlewat 30 minit.

Mujurlah alasan “jalan sesak” dan “parkir penuh” sentiasa boleh digunakan dalam mana-mana situasi, khususnya di Lembah Klang.

By the way, I love your T-shirt. You look hot,” Amy menambah secara selamba sambil matanya tanpa segan-silu melilau memperhatikan tubuh pemuda itu yang dilapik kemeja-T ketat.

“Terima kasih.”

Amri cuba menyembunyikan perasaan malu apabila dipuji dan ditenung begitu.

T-shirt lama. Beli secara dalam talian di The Malaysian Insider berikutan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau Malay first and Malaysian next,” Amri menjelaskan.

Pemuda itu terasa lega kerana pelayan datang mengambil pesanan pada waktu itu. Sekali gus mematikan rayapan mata Amy.

“Awak jangan skema sangat dan pesan fresh orange!” Gadis itu memberi amaran secara berjenaka.

“Jadi, nak pesan apa?” Amri pura-pura hilang punca.

Beetroot orange apple juice di Old Seremban Station memang sedap. Awak mesti cuba. Or maybe celery carrot lemon juice.”

“Saya kurang minat ubi bit dan saderi. Hmm ... berikan saya jus epal lobak limau dan mi kari,” Amri memberitahu pelayan itu yang mungkin warga Indonesia atau Myanmar.

“Saya dah minum cham sementara menunggu awak tadi,” Amy berkata kepada Amri.

Gadis itu meneliti menu sebelum menyampaikan pesanan kepada pelayan.

“Saya nak iced lemon tea dan kampung fried rice.”

Sebaik pelayan itu berlaku, Amy sedar bahawa Amri sedang menahan ketawa.

“Apa yang lucu sangat?” Soalnya seraya menepuk lengan pemuda itu dengan manja.

“Nak pesan teh limau ais dan nasi goreng kampung pun perlu gunakan Bahasa Inggeris?”

Daripada nada suara yang digunakan, Amy tahu bahawa Amri sekadar berseloroh.

“Habis tu awak nak saya guna ayat-ayat skema dan susunan teratur seperti skrip drama Melayu atau petikan novel karya Sasterawan Negara terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka?”

Amri membeliakkan mata dan mulutnya terlopong untuk mengajuk rasa terkejut.

Si gadis itu pula mencapai beg tangan dari atas riba dan segera memukul lengan kiri si pemuda. Seraya itu, mereka berdua ketawa.

Mujurlah baru pukul 11:30 pagi dan tidak ramai pelanggan di Old Seremban Station atau di Garden Cafe di sebelahnya.

Maka, ketawa mereka berdua hanya menarik perhatian pelayan di kedua-dua restoran terbabit serta beberapa orang yang sedang berjalan di Tingkat LG kompleks beli-belah The Summit USJ pada pagi Sabtu itu.


Sejurus kemudian, pemuda berkenaan meneruskan perjalanan sambil menoleh beberapa kali.

But seriously, kenapa awak bercakap terlalu formal? I mean, ayat-ayat yang teratur, tersusun kemas macam nak tulis buku?”

Amri menguntum senyuman bagaikan menyembunyikan suatu rahsia.

Belum sempat Amy bergerak ke hadapan untuk memukul lengan pemuda yang duduk bertentangan dengannya, pelayan membawa minuman yang dipesan.

Amri menghirup minuman apple carrot lemon juice sambil mengerutkan kening dan mata sengaja dilirikkan berulang kali ke kiri dan ke kanan.

“Macam mana? Sedap?” Amy bertanya dengan penuh minat. – Bersambung – Bahagian 11

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 10 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 20 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!