Wednesday, 1 February 2012

UGUT: Kiss of Death – Bahagian 3

Syed tahu apa yang Wan mahu dan dia sanggup melakukannya. Dan Syed sendiri ternyata sungguh ghairah dan bernafsu apabila memenuhi permintaan Wan.

“Dah buat apa yang saya minta?”

Pertanyaan Syed menyedarkan Wan daripada hanyut dalam kisah silam. Dia mengingatkan dirinya sekali lagi bahawa segala kenangan manis itu hanyalah nostalgia.

Kedatangan Syed bukan untuk bermesra. Bukan untuk bercinta.

“Sudah ada senarai pendek sekitar sepuluh orang. Semuanya berpotensi,” Wan menjawab selepas mengambil sebuah buku catatan dari atas meja bacaan dan duduk di kerusi bertentangan dengan Syed.

“Bagus!” Syed mencapai buku catatan itu dan melihat senarai yang dimaksudkan. “Semuanya berpotensi?”

Wan mengangguk tanpa memandang wajah Syed yang sedang melihat ke arahnya.

“Saya masih perlukan akses ke akaun Facebook mereka untuk mengumpul maklumat,” Wan menambah dalam usaha mengingatkan Syed tentang permintaan yang sudah diajukannya menerusi e-mel beberapa hari lalu.

“Ya, tentunya. Anything for you, darling!”

Wan memandang sekilas wajah Syed dan lelaki itu memuncungkan bibir; berpura-pura memberikan kucupan.

“Saya sebenarnya boleh sahaja kirim senarai kata laluan ini menerusi e-mel,” kata Syed yang berseluar pendek paras lutut dan berkemeja-T merah jambu. “Tapi saya datang sendiri sebab rasanya dah lama kita tak berjumpa.”

Wan berusaha untuk tidak mengendahkan kata-kata terakhir itu. Dia tahu bahawa semua itu sudah tidak penting dan tidak perlu sekarang.

Niat sebenar Syed menjalin hubungan dengannya sudah jelas. Tiada gunanya dia mengharapkan belaian kasih seperti dahulu daripada insan berkenaan.

Wan memandang kertas yang dipegang Syed. Senarai itu memuatkan alamat e-mel berserta kata laluan yang digunakan beberapa individu untuk mengakses akaun Facebook masing-masing.

Syed sepatutnya boleh sahaja mengirim senarai itu menerusi e-mel. Wan sendiri lebih suka begitu.

Kalau boleh, dia mahu mengelak daripada bertemu Syed. Mengelak daripada memandang wajah Syed.

Wajah yang mendebarkan jiwa. Wajah yang membuatkan Wan lupa sebentar bahawa lelaki itu telah dan sedang mempergunakannya.

“Awak tahu mengapa saya tak kirim saja melalui e-mel?” Syed bertanya sambil menguntum senyuman yang kelihatan mesra.

“Entah,” Wan menjawab sepatah seraya menghulurkan tangan untuk mencapai senarai yang masih dipegang oleh Syed.

Pemuda itu bergerak ke hadapan untuk menyerahkan kertas berkenaan kepada Wan.

Kemudian tangan kanannya dijatuhkan perlahan-lahan ke paha Wan, lalu jari-jemari mula bermain-main seperti melukis corak di situ.

Wan menahan nafas. Tubuhnya kejap seketika. Namun begitu, sensasi sentuhan jari-jemari Syed meresap masuk ke seluruh saraf tubuh.

Untuk seketika, Wan merasakan bahawa sentuhan itu sama seperti apa yang pernah dirasainya dahulu. Bersama Syed. Bersama beberapa individu lain yang lebih muda.

“Saya datang sebab rindu,” kata Syed sambil tangan kanannya masih mengusap paha kiri Wan dan pemuda itu perlahan-lahan bangun dari kerusi.

Wan tiba-tiba sedar apa yang sedang berlaku. Dia segera teringat bahawa lelaki yang sedang menghampirinya pernah menghancurkan impiannya sebelum ini.

Lelaki ini telah dan sedang mempergunakannya.

Namun, belum sempat Wan membuka mulut untuk berkata apa-apa, Syed sudah mengucupnya. Bibir yang hangat dan basah. Bibir yang mengghairahkan. Bibir yang mula merayap ke tempat-tempat lain.

Wan cuba melawan keinginan hati untuk menyerah. Keinginan untuk merasai nikmat yang sebenarnya dirindui sejak beberapa minggu lalu. Sejak Syed tampil mendedahkan tujuan sebenar dia menjalin hubungan dengannya.

Untuk seketika, Wan cuba melupakan hakikat bahawa dia pernah benar-benar mencintai lelaki itu. – Bersambung – Bahagian 10

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 9 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 13 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!