Wednesday, 29 February 2012

UGUT: Hot & Young – Bahagian 1

Wan memang sudah masak dengan perangai kebanyakan lelaki yang menghubunginya melalui laman rangkaian sosial Meeting Point.

Rata-rata menggunakan nama samaran dan foto palsu atau foto yang tidak mendedahkan muka.

Sebaliknya mendedahkan anggota tubuh yang dijadikan modal untuk memancing mangsa.

“Tapi mereka tidak sedar bahawa mereka yang sebenarnya bakal menjadi mangsa,” fikirnya semasa melihat semula foto separuh bogel yang dikirim oleh LonelyBoy.

Ternyata desperate. Walaupun Wan sudah mengirim mesej “minta maaf” dan menolak secara baik tawaran daripada LonelyBoy untuk mengadakan hubungan intim dengannya, pemuda yang mengaku berumur 20 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur itu tetap tidak mahu menyerah kalah.

Sebaik Wan @ Ein menolak “tawaran” daripada LonelyBoy, dia mengirim foto yang dipercayai adalah dirinya. Memberi pose dengan hanya memakai seluar dalam yang ditarik pula ke bawah menggunakan tangan kiri.

“Boleh tahan,” Wan mengakui pada diri. “Kalau aku pun dalam keadaan desperate, I really don’t mind. Tapi aku bukannya nak enjoy. Aku ada tugas. Kalau setakat pelajar kolej, apa aku boleh dapat?”

Wan tahu bahawa dia sendiri mula terlibat dalam aktiviti seperti ini semasa berumur 20 tahun, iaitu lima tahun lalu.

Pada mulanya memang menyeronokkan. Macam-macam orang yang ditemuinya. Macam-macam cita rasa individu. Macam-macam karenah yang terpaksa dilayan.

Sebenarnya, kini pun aktiviti yang dilakukan tanpa pengetahuan keluarga dan rakan-rakan memang masih menyeronokkan. Cuma segala keseronokan dan nikmat sudah dimusnahkan oleh Syed.

“Salah aku juga. Aku patut sedar lebih awal. Yang aku jadi bodoh sangat, kenapa?” Wan bertanya pada diri sendiri sambil menggeleng-geleng sendirian sedang matanya masih memandang foto yang dikirim LonelyBoy.

Wan hairan mengapa lelaki yang masih muda itu begitu terdesak sehingga sanggup mengirim foto dirinya dalam keadaan seperti itu. Nampak muka dan seluruh tubuh dalam keadaan hanya berseluar dalam.

I’d take him if I’m not too busy working,” katanya sambil menekan ikon untuk menutup foto yang terpapar pada skrin komputer riba.

Kemudian, Wan membuka fail yang memuatkan foto dirinya bersama-sama Syed. Foto-foto yang diambil sekitar sebulan lalu. Foto-foto yang diambil dan diedit secara profesional.

“Kau memang setan, Syed!” Jarinya mengklik satu demi satu foto yang terpapar pada skrin. “Kau memang pandai perangkap aku.”

Dihentaknya tetikus untuk melepaskan kemarahan yang membuak-buak dalam diri. Kemudian menutup fail yang memuatkan 17 foto yang secara jelas memaparkan dirinya bersama-sama Syed di bilik Grand Dorsett.

“Celaka! Kenapalah aku bodoh sangat?”

Wan bersandar pada kerusi dan membiarkan kepalanya terlentok sepenuhnya ke belakang. Mata memandang kosong ke siling. Kemudian ditutup perlahan-lahan.

Di laman Meeting Point juga dia berkenalan dengan Syed. Dia menggunakan identiti LonelyHeart pada waktu itu. Memang sudah ramai teman yang ditemuinya untuk memuaskan nafsu sebelum mengenali Syed.

Malah, Wan masih berpeluang bertemu beberapa lagi orang selepas berkenalan dengan Syed. Pertemuan kasual diatur atas kesediaan dan persetujuan untuk tidak menimbulkan sebarang masalah selepas masing-masing puas melakukan apa yang diingini.

Bagi Wan, pergaulan bebas itu dilakukan dengan semangat sejati 1Malaysia yang sedang cuba dipelopori dalam semua lapangan oleh kerajaan persekutuan.

Wan tidak memilih kaum, etnik, bangsa, agama dan warna kulit. Wan tidak kisah bahasa apa digunakan pasangannya dalam komunikasi semasa berasmara.

“Bahasa tubuh lebih penting daripada kata-kata yang diucapkan,” Syed bermadah semasa mereka bertemu pada kali pertama di Old Town White Coffee, Brickfields. - Bersambung – Bahagian 14 

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 13 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 11 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!