Tuesday, 28 February 2012

Antara Mendengar dan Menonton Kebutaan (2)

Bahagian 2 (sambungan semalam): Nasihat ikhlas saya adalah supaya sesiapa yang berminat mengetahui kisah Blindness membaca versi novel – atau mendengar versi CD – sebelum menonton versi filem. Jika terus menonton versi filem, maka tindakan itu adalah suatu kerugian amat besar dan individu terbabit pasti akan menyesal sepanjang hayat. Percayalah.

Perbezaan paling ketara yang memang harus diterima akal rasional adalah bahawa watak-watak dalam versi filem tidak akan muncul separuh bogel seperti yang digambarkan dalam versi novel. Jangan salah anggap! Saya tidak mengatakan Jose Saramago menghasilkan novel berunsur lucah. Sebaliknya, keadaan watak-watak dalam novel itu memang diwajarkan menghadapi masalah mendapatkan pakaian.

Dalam versi novel (bercetak dan audio), kewarganegaraan watak-watak tidak dinyatakan dan tidak diketahui. Sebaliknya, dalam versi filem, watak The First Blind Man adalah lelaki Jepun yang banyak juga berdialog menggunakan Bahasa Jepun bersama isterinya, The First Blind Man’s Wife.

Kehadiran watak kulit hitam juga amat ketara; khususnya watak The Old Man with a Black Eye Patch dan penjual ubat di kaunter farmasi. Malah, perhatikan betul-betul pada babak penghuni Wad Satu menyerahkan barang-barang kemas/berharga dan kita dapat lihat watak sampingan, seorang wanita kaum India.

Versi novel (bercetak dan audio) dipercayai menggunakan latar masa 1930-an atau 1940-an, tetapi versi filem ternyata menggunakan latar masa lewat 1980-an atau selepas itu. Hal ini nyata melalui kehadiran perkakas rumah moden yang nampak secara visual, kamera digital serta farmasi yang moden.

Malah, kalau dalam versi buku, pengumuman yang dilakukan setiap hari di Hospital Mental adalah melalui pembesar suara, dalam versi filem, siaran dilakukan melalui televisyen; dan tentulah pelik kerana semua penghuni tidak boleh melihat!

Semasa mendengar versi audio, saya membayangkan watak Menteri sebagai lelaki; mungkin kerana cara Jonathan Davis membawakan watak itu. Dalam filem, watak Menteri adalah seorang wanita dan dia juga kemudian menjadi buta serta sempat mengumumkan perkara itu menerusi siaran televisyen.

Entah mengapa filem-filem Amerika Syarikat amat suka memasukkan istilah “F” secara berlebihan dan tanpa ada keperluan. Perkara sama berlaku pada filem Blindness. Jose Saramago yang meletakkan syarat bahawa versi filem tidak harus menyatakan latar negara di mana kisah ini berlaku serta watak The Dog of Tears mesti menggunakan anjing bersaiz besar nampaknya terlupa mengarahkan jangan menggunakan perkataan “F” dalam filem. Sayang!

Bercakap mengenai watak anjing yang dirujuk sebagai The Dog of Tears, kehadirannya tidak begitu terasa dalam versi filem. Malah, boleh ditiadakan sahaja kerana tidak memegang apa-apa peranan; berbeza dengan versi novel.

Unsur suspens serta pelbagai unsur sastera yang begitu nyata dalam versi novel menjadi amat cair – malah terlalu cair – dalam versi filem. Hal ini mungkin kerana kehadiran visual menjadikan kita “buta” untuk mampu menghayati kisah secara lebih mendalam dan pada tahap penghayatan serta imaginasi lebih tinggi. Maka, seseorang yang termuntah semasa mendengar versi audio mungkin tidak terasa loya walau sedikit pun semasa menonton versi filem.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa lakonan Julianne Moore sebagai The Doctor’s Wife memang mantap dalam segala keterbatasan yang wujud dalam filem sepanjang hampir dua jam ini. Saya paling suka pada emosi yang dilahirkan apabila watak The Doctor’s Wife terlupa untuk mengunci jam tangan.

Penghuni di Wad Tiga dalam versi filem kurang “ganas” berbanding versi novel. Watak The Bartender mengisytiharkan dirinya ketua kumpulan (“The King”) yang mengeksploitasi penghuni lain. Seingat saya, bukan The Bartender yang menjadi ketua kumpulan itu dalam versi novel.

Malah, watak “The King” menggunakan sistem pembesar suara untuk menyanyikan lagu “I Just Called To Say I Love You”. Lagu itu yang ditulis dan dinyanyikan Stevie Wonder pertama kali muncul dalam filem The Woman in Red (1984). Perkara ini tentu sahaja mendedahkan latar masa kisah ini berlaku. The Bartender juga bercakap sedikit Bahasa Sepanyol semasa membuat pengumuman melalui pembesar suara.

Apa pun, versi filem tetap berjaya mevisualkan “whiteness” yang dialami watak-watak dalam novel. Malah, whiteness digunakan secara bijak untuk “menyembunyikan” perkara-perkara yang tidak sesuai dipertontonkan pada layar.

Impak eksploitasi seksual yang dilakukan penghuni Wad Tiga terhadap wanita-wanita buta di Hospital Mental juga kurang berbanding versi novel; tetapi sudah cukup sadis untuk menggambarkan trauma yang dialami mangsa-mangsa itu.

Individu yang memulakan kebakaran di Wad Tiga dalam filem berbeza dengan versi novel. Malah, kesan dramatik menjadi amat cair. Hal ini tentu sahaja berlaku kerana – seperti yang saya nyatakan awal tadi – sukar untuk menterjemah novel sepanjang 12 jam 32 minit (versi audio) ke dalam bentuk filem sepanjang 1 jam 58 minit (versi visual) dengan mengekalkan kesemua unsur yang ada dalam novel.

Perkara sama yang paling ketara antara versi novel dan versi filem adalah bahawa kesemua watak tidak ada nama. Namun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, watak-watak yang dipaparkan secara visual sedikit sebanyak “mencairkan” imaginasi yang kuat semasa saya mendengar versi audio.

Banyak juga babak yang terpaksa ditiadakan dalam versi filem. Antaranya, suasana huru-hara yang sepatutnya timbul sebaik The Doctor’s Wife memberitahu beberapa orang di dalam sebuah gereja mengenai keadaan patung-patung dan lukisan di dalam rumah ibadat itu.

Watak penjual ubat di kaunter farmasi tersilap jalan dan hilang semasa kumpulan manusia buta yang dipimpin The Doctor’s Wife sedang berjalan di bandar. Tiada apa-apa berita mengenainya selepas itu dan watak-watak lain juga nampaknya tidak berkata apa-apa mengenai kehilangan “ahli keluarga” itu. Saya tidak pasti jika watak itu turut hilang dalam versi novel.

Babak-babak menarik mengenai kunjungan ke rumah The Girl with the Dark Glasses juga langsung tiada dalam versi filem. Sayang! Begitu juga mengenai kunjungan ke rumah The First Blind Man dan The First Blind Man’s Wife yang kini dihuni seorang penulis yang cuba merakamkan pengalaman dalam bentuk novel/buku.

Kunjungan ke rumah rumah The Girl with the Dark Glasses sangat “menarik” kerana berkait rapat dengan kisah watak seorang wanita tua yang juga penting dalam cerita ini.

Pada adegan The Old Man with a Black Eye Patch sedang mandi, ada tangan wanita yang membantu menggosok belakang bahunya. Dalam versi filem, walaupun “misteri” itu boleh dikekalkan, entah mengapa pengarah memilih untuk meletakkan watak The Girl with the Dark Glasses sebagai individu itu.

Pengakhiran cerita juga berlaku terlalu cepat, sebelum penonton sempat “merasai” apa yang sedang berlaku. Mujurlah babak terakhir filem tetap sama dengan versi novel: The Doctor’s Wife melihat whiteness.

Segala catatan ini tidak bermaksud untuk mengatakan versi filem Blindness tidak menarik. Sebaliknya, sekadar catatan berupa reaksi ikhlas saya selepas selesai mendengar versi audio (novel) dan menonton versi visual (filem).

Saya tetap menasihatkan anda membaca versi novel – atau mendengar versi audio; unabridged tentunya – sebelum menonton versi filem Blindness.

Percayalah. Jika anda memilih untuk tidak mendengar nasihat ini dan cuba melakukan sebaliknya, ... dissolve to whiteness.

(Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan. Selain membaca buku, berkarya, menulis blog dan mendengar novel, beliau suka menonton filem dan tidur. Ulasan ini ditulis berdasarkan beberapa catatan awal dan disiarkan di Jalan Telawi pada 14 Oktober 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!