Wednesday, 25 January 2012

Ugut: Kiss of Death – Bahagian 2

“Takkan kita nak berbalas mesej melalui Meeting Point saja. I think it’s about time we meet in person. Rumah saya kosong selama tiga hari. Why not I take you home? Saya pandai masak. I think you’ll love my cooking. Jadi, apa kata kita berjumpa Selasa nanti? I can’t wait to embrace you in person. Kita boleh buat benda-benda yang kita sembang di sini selama ini!”

Wan tersenyum membaca mesej itu berulang kali apabila menerimanya dahulu. Dia dapat membayangkan betapa Zahid tidak sabar untuk menemuinya.

Pasti sahaja mesej-mesej penuh ghairah yang dikirimnya turut memainkan peranan ke arah membangkitkan nafsu lelaki itu.

Akan tetapi, Wan tidak mahu bertindak terlalu awal. Belum sampai masanya untuk dia bertemu Zahid.

Malah, belum tiba masanya untuk dia bertemu mana-mana lelaki gersang yang menghubunginya; sama ada sebagai Wan, Ein atau Jedan.

“Not so fast, darling. Dan tentu sekali bukan di rumah you. You tak takut kalau isteri you dapat tahu? I tak nak ganggu rumah tangga orang, literally speaking. Beri I sedikit masa. I akan atur tempat yang sesuai. Bukankah hotel di KL masih banyak? Atau kalau you takut orang nampak, I boleh aturkan di PJ atau Shah Alam.”

Sambil tersenyum memikirkan perihal Zahid, Wan memandang jam dinding. Syed lewat lima minit daripada masa yang dijanjikan.

Wan mendaftar keluar dari laman rangkaian sosial Meeting Point dan baru sahaja mahu mendaftar masuk semula menggunakan identiti Jedan apabila pintu diketuk.

Wan tidak jadi mendaftar masuk. Dia segera melucutkan tuala dari tubuh dan tergesa-gesa memakai seluar pendek dan kemeja-T longgar sambil berjalan. Kemudian bergegas membuka pintu.

Seperti diduga, Syed terpacak di luar. Pandangan matanya membuatkan jantung Wan berdegup kencang beberapa saat.

Kemudian kembali normal seakan-akan menyedari dan menerima hakikat bahawa kedatangan Syed bukan untuk bermesra.

“Semuanya okey?” Pemuda berumur 30 tahun itu bertanya bagaikan dapat membaca riak pada wajah Wan.

Wan memaksakan sekuntum senyuman sebagai jawapan. Syed melangkah masuk sambil tersenyum meleret.

Sebaik pintu ditutup, dia memeluk Wan dan mengucup pipinya. Wan membalas pelukan dan ciuman itu.

Namun, Wan sedia sedar bahawa kemesraan dan keghairahan yang pernah mengiringi kucupan dan pelukan itu sudah tiada lagi.

Kini mereka melakukannya lebih sekadar formaliti, bukan atas keinginan peribadi.

Wan tetap ingat saat-saat hubungan mereka begitu intim. Begitu mesra. Begitu penuh warna. Penuh dosa.

Semuanya berubah sekelip mata sebaik sahaja Syed mendedahkan tujuan sebenar di sebalik tindakannya menjalin hubungan itu.

Niat Syed hanya satu dan niat itu tidak memihak kepada Wan.

Serta-merta segala kenangan manis bersama Syed hancur di depan mata. Wan merasakan dirinya dipergunakan.

Ya, memang benar bahawa Wan sendiri mendapat peluang untuk memuaskan nafsu sesuka hati. Tanpa halangan.

Syed memang pasangan yang hebat. Pemuda itu sanggup melakukan apa sahaja yang diminta; sama ada di bilik tidur, ruang tamu, bilik mandi atau ruang dapur.

Akan tetapi, pendedahan Syed benar-benar menghancurkan hati dan mimpi Wan.

Musnahlah harapan dan kepercayaan bahawa dia sudah bertemu pasangan yang secocok dengannya. Pasangan yang sanggup berkongsi suka dan duka; walaupun mereka menjalin hubungan penuh dosa.

Pada hakikatnya, Syed bukanlah satu-satunya lelaki yang pernah muncul dalam hidupnya.

Namun, Wan cukup suka pada cara pemuda itu melayan nafsunya. – Bersambung – Bahagian 9

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 8 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 6 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!