Wednesday, 18 January 2012

Ugut: Kiss of Death – Bahagian 1

Wan memandang jam dinding. Ada sekitar setengah jam sebelum mengharapkan kedatangan Syed seperti dijanjikan.

Dia meletakkan kole berisi kopi di atas meja bacaan dan duduk di kerusi menghadap komputer riba. Sebaik tetikus digerakkan, skrin memaparkan laman sesawang yang sedang dilayari sebentar tadi.

Wan melihat senarai pengunjung laman rangkaian sosial itu yang sedang berada dalam talian. Ramai. Khususnya ahli dari luar negara.

Pengunjung dari Malaysia yang sedang berada dalam talian pada saat itu sekitar dua puluh orang.

Dia menggerakkan kursor sepanjang senarai yang bertanda “Online” sambil mata galak meneliti nama-nama yang dikenali serta umur bagi pengunjung yang tidak dikenali.

Kebanyakan pengunjung yang sedang berada dalam talian pada waktu itu berumur lingkungan 20-an. Mungkin masih belajar di kolej swasta atau institusi pengajian tinggi awam.

Atau mungkin menggunakan PC di tempat kerja untuk mengakses ke laman rangkaian sosial itu bagi mencari kepuasan.

Wan sedikit kecewa kerana nama Zahid tidak terpapar sebagai antara ahli yang berada dalam talian pada waktu itu.

Dirujuknya profil lelaki berkenaan yang mengaku berumur 32 tahun dan sudah berkeluarga.

Last login yesterday,” Wan membaca catatan rekod di bawah nama Zahid. “Tak nampak pun semalam. Mungkin selepas aku logout.”

Tangan kanannya menggerakkan tetikus sepanjang catatan profil Zahid pada skrin sementara tangan kiri bergerak perlahan mencapai kole Kopiko 3-dalam-1 lalu dibawa mendekati mulut.

Dihirupnya perlahan kopi itu dengan penuh nikmat sambil mata masih membaca maklumat peribadi lelaki berkenaan yang berbalas mesej dengannya setiap hari sejak dua minggu lalu.

Zahid mengirim mesej pertama pada hari kedua dia membuka akaun atas nama Wan di laman rangkaian sosial Meeting Point.

Oleh sebab pada masa itu Wan (dan Ein dan Jedan) masih dalam proses awal mengenal pasti lelaki yang memenuhi pelbagai kriteria seperti diinginkan, maka mesej daripada Zahid dilayannya sebagaimana dia melayan mesej daripada beberapa lelaki lain.

Pada mulanya Wan memang kurang yakin terhadap potensi Zahid untuk dimasukkan dalam senarai nama yang sedang dikumpul.

Usia 32 tahun mungkin belum cukup matang dan belum cukup stabil dalam hidup dan kerjaya.

Menurut paparan pada profil diri, Zahid seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta milik Bumiputera.

Namun, tiada sebarang jaminan bahawa maklumat itu benar. Itulah realiti laman rangkaian sosial.

Zahid juga memperkenalkan dirinya sebagai seorang lelaki yang sudah berkahwin tetapi masih berminat meneroka pengalaman baru dalam hubungan intim tanpa batasan bersama individu yang berminat terhadapnya di Meeting Point.

“Ah, ayat-ayat skema yang sering digunakan untuk memancing mangsa,” fikir Wan pada waktu itu. “Tapi orang seperti inilah yang aku cari!”

Bermula dengan “poke”, “like” dan “woof”, komunikasi mereka berlanjutan dalam bentuk kiriman mesej.

Seperti yang sudah diputuskannya sejak awal, Wan kekal dengan pendirian mengelakkan chat dan hanya menggunakan kiriman mesej untuk berkomunikasi.

Zahid tampil – sekurang-kurangnya di laman rangkaian sosial itu – sebagai seorang lelaki yang yakin terhadap diri sendiri, perahsia dan mahu menjalin hubungan lebih intim bersama Wan.

“Entah sudah berapa ramai orang lain yang dia hubungi sebelum ini,” fikir Wan sambil menaip mesej balasan yang berisi kata-kata yang muluk semata-mata.

“Dan entah sudah berapa kali buat dosa dengan orang lain tanpa pengetahuan isterinya,” fikirnya lagi.

Beberapa hari selepas itu, Zahid mengajak Wan untuk bertemu.

Katanya, isterinya ke Kuantan atas urusan kerja dan anaknya yang berumur lima tahun sudah dihantar ke rumah nenek di Seremban. Maka, dia sekarang menjadi orang bujang selama tiga hari. – Bersambung – Bahagian 8

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 7 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 Oktober 2011. Laman rangkaian sosial Meeting Point adalah rekaan semata-mata. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!