Wednesday, 11 January 2012

Ugut: History – Bahagian 3

Memang sejak beberapa minggu belakangan ini, Amri sering mencuri pandang tubuh Amy tanpa disedari gadis itu. Sama ada semasa Amy menggunakan mesin fotokopi atau bergayut di telefon pejabat. Juga semasa gadis bertubuh langsing itu berjalan melintas tempat duduknya.

Ada semacam gelora yang dirasai dalam dada. Ada semacam perasaan aneh yang pasti sahaja merupakan tindak balas kimia dan reaksi biologikal dalam tubuh sebaik menerima rangsangan visual.

“Saya rasa bos kita pun selalu mencuci mata di pejabat.”

Amri segera membetulkan duduknya di kerusi dan menghirup jus oren untuk meredakan gelora jiwa dan rayapan imaginasi.

“Entah-entah setiap kali bos duduk menghadap PC di bilik, dia melayari laman-laman lucah. Tengok gambar perempuan bogel.”

Pemuda itu dapat merasakan mukanya memerah menahan malu.

“Yang awak terkejut ni, apa hal? Meja awak di tempat terbuka. Tentu awak tak ada peluang nak ke laman-laman sesawang orang dewasa semasa di pejabat,” kata Amy dengan nada kasihan yang dibuat-buat sambil menjeling pemuda di hadapannya.

“Takkan bos buat macam tu di pejabat,” Amri cuba mengalihkan topik sensitif itu daripada menyentuh dirinya. “Mana dia ada masa?”

“Hello! Awak pernah tengok bos buat kerja? Semua kerja dia, orang lain yang buat. Dah tu jarang masuk pejabat. Kalau ada pun, dia asyik bergayut di telefon dengan entah siapa,” Amy memberi komen sebelum berhenti sebentar dan menghirup minuman.

Amri mengangguk kecil kerana kata-kata Amy ada kebenarannya. Sejak dua bulan lalu, perkara itu diperhatikannya sendiri. Bukan sahaja staf, malah bos juga bagaikan tidak ada apa-apa kerja untuk dilakukan!

Kalau ditanya, jawapan standard yang diberikan oleh beberapa pekerja lain adalah “Awak jangan lupa. Ini syarikat Bumiputera.”

“Saya rasa bos kita tu selalu masuk ke laman rangkaian sosial untuk berkenalan dan berbual dengan perempuan murahan. Berlambak laman seperti itu, kan?”

“Err, mana saya tau?” Amri segera menyibukkan diri membetulkan lipatan lengan baju warna biru sambil tertunduk. “Saya mana ada peluang nak akses semua benda haram tu di pejabat?”

Amy ketawa berdekah. Nakal. Sinis. Ikhlas. Spontan Amri memandang wajah ceria yang menggoda itu.

“Itu di pejabat. Kalau di rumah, siapa yang tahu, kan? Ah, lelaki semuanya sama saja. Di pejabat, awak nampak baik tapi di luar tu siapa yang tahu? Kalau di rumah, lagilah siapa yang tahu!”

Gadis itu ketawa lagi sambil matanya terus merenung wajah Amri. Seketika kemudian, pemuda itu mengangkat muka dan mata mereka bertemu. Agak lama.

Kalau filem Hindi, pasti sudah kelihatan penari iringan dan kedengaran muzik serta nyanyian.

Amy tunduk memandang gelas yang hampir kosong. Tersipu-sipu seketika setelah menerima tikaman sepasang mata yang bercahaya dan seperti ada kuasa tarikan magnet.

Amri turut tersipu-sipu apabila menyedari bahawa gadis itu sudah berhenti ketawa dan sedang duduk diam dengan kepala tertunduk di hadapannya. Gelasnya sudah kosong.

“Jadi, awak rasa bos melayari laman lucah di pejabat?” Amri bertanya seketika kemudian sebelum Amy sempat bersuara.

“Ini teknik nak mengelak daripada mengakui tabiat buruk awak sendiri, kan?” Amy ketawa lagi. “Anyway, yes. Memang bos selalu masuk ke laman lucah dan laman rangkaian sosial yang khusus untuk mereka yang mahu mencari pasangan untuk berseronok.”

Amri dapat merasakan wajahnya pucat seketika.

“Mana awak tahu?”

Amy memuncungkan bibir sambil merenung meja sementara tangan kanan pula memicit-micit penyedut minuman.

“Bos kita tu mana pandai guna komputer?” Gadis itu memandang Amri sambil mula tersenyum nakal. “Pautan bagi setiap laman yang bos layari masih ada pada History.” – Bersambung – Bahagian 7

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 6 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 23 Oktober 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!