Wednesday, 4 January 2012

Ugut: History – Bahagian 2

Apa yang membuatkan Amri, seorang pemuda yang berada pada tahap sederhana dalam kategori ketampanan, kagum adalah kesungguhan Amy, gadis yang berada pada tahap tinggi dalam kategori kejelitaan, bersungguh-sungguh cuba mendekatinya.

Amri menyedari perkara itu sejak beberapa hari selepas masuk kerja hampir dua bulan lalu. Amy sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendekatinya. Kadang-kadang atas urusan kerja hakiki. Pada kebanyakan masa, atas pelbagai alasan yang ternyata sengaja diada-adakan.

Misalnya, mahu mengajar Amri cara menggunakan komputer atau mengisi borang tempahan kertas A4. Kadang-kadang menggunakan alasan bahawa Amri seorang pendengar yang baik berbanding lelaki lain di syarikat itu.

“Saya tengok awak bukan macam lelaki lain yang saya kenal. Malah, dah sebulan awak di sini, tak pernah pun mengganggu saya,” katanya pada bulan lalu semasa mereka berdua minum di kafe bagi kali pertama.

Amri faham bahawa apa yang dimaksudkan oleh gadis itu adalah gangguan seksual. Bos sendiri sering melakukannya terhadap pekerja wanita di sini. Hal itu diperhatikannya sendiri di depan mata atau didengar dengan telinga sendiri.

Malah, gurauan berbaur seks dan seksual sudah menjadi budaya dalam kalangan pekerja di syarikat itu. Hal berkenaan disedarinya dalam masa seminggu sahaja selepas masuk kerja.

Dari peringkat paling tinggi hingga peringkat paling rendah, semua staf di syarikat itu sudah terbiasa dengan ‘budaya’ sedemikian.

Sewaktu menerima pujian daripada Amy sebulan lalu, Amri hanya tersenyum kecil. Namun, gelora dalam hati, hanya dia yang tahu.

“Kalaulah dia tahu apa yang bermain dalam fikiran dan imaginasi saya tentang dirinya, tak akan ada kata-kata pujian seperti itu,” fikirnya dalam minda sambil terus mengekalkan wajah selamba dan berpura-pura tidak bersalah.

Sejak sebulan lalu juga mereka berdua sering ke kafe tak kira masa. Bagaikan syarikat itu bapa mereka yang punya. Bukan mereka berdua sahaja, malah hampir setiap pekerja tak kira pangkat dan peringkat. Sama ada ke kafe, ke kedai mamak atau keluar atas urusan peribadi.

Sampai di kafe, pelayan datang mengambil pesanan. Amri memesan jus oren – fresh orange – kerana terpengaruh menonton filem dan drama di televisyen sejak kecil. Kalau keluar berdua-duaan, mesti minum jus oren. Hah!

“Saya rasa semua lelaki macam awak jugalah.”

Amri terpinga-pinga mendengar komen berupa pandangan yang berat sebelah itu. Entah topik apa yang sedang dibicarakan oleh Amy. Atau mungkin juga Amri sendiri yang kurang memberi tumpuan tadi.

“Maksud awak?”

“Maksud saya, saya rasa semua lelaki memang tak sedar kalau ada perubahan pada wajah dan penampilan wanita.”

“Maksud awak?” Amri terpaksa bertanya kerana tidak faham hujung-pangkal topik yang diperkatakan gadis itu.

“Cuba awak berterus-terang. Hampir lima belas minit awak tenung foto saya di skrin komputer tadi tapi awak betul-betul tak perasan saya pakai tindik hidung?”

Barulah pemuda itu sedikit memahami isu yang menjadi rungutan Amy.

“Betul, saya tak perasan,” Amri mengakui.

It’s okay. Saya faham sikap lelaki. Kalau tengok wanita, tentu memandang bahagian lain. Kalau tak tengok dada, tentu tengok punggung.”

Amri cuba menahan malu mendengar kata-kata Amy yang dinyatakan secara begitu terbuka dan bersahaja. Pandangan seperti itu bukan baru pertama kali didengarnya tetapi agak terkedu juga apabila dinyatakan secara berdepan dan straight to the face. – Bersambung – Bahagian 6

(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian 5 novel bersiri UGUT pertama kali disiarkan di The Malaysian Insider pada 16 Oktober 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berhubung novel ini.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!