Wednesday, 21 December 2011

Ugut: Meeting Point – Bahagian 3

Sejak dua minggu lalu, Wan (serta Ein dan Jedan) sudah berkomunikasi dengan puluhan lelaki menerusi kiriman mesej di Meeting Point.

Wan mengelak daripada melayan permintaan sekian ramai individu yang mahu berbual atau chatting. Dia perlu berwaspada terhadap identiti yang digunakannya. Dia takut tersilap antara tiga personaliti berbeza yang mewakilinya.


Namun, kini, selepas dua minggu memegang peranan sebagai tiga individu berbeza, Wan sudah mampu menanganinya secara sangat berkesan.


Bagaimanapun, dia masih lebih suka berkomunikasi menerusi mesej berbanding chat kerana dapat memikirkan perkataan dan ayat-ayat yang paling sesuai untuk memancing individu yang menunjukkan minat untuk menemuinya.


Hasil berbalas mesej sejak dua minggu lalu, Wan (serta Ein dan Jedan) sudah menyenarai pendek sekitar sedozen lelaki yang paling sesuai dengan cita rasa dan niat di hati.


Pada profilnya, sudah dinyatakan secara terang-terangan bahawa dia hanya berminat bertemu lelaki yang sudah berkahwin. Walaupun begitu, ada juga individu yang masih bujang – atau mengaku masih bujang – menghubunginya dan menyatakan minat untuk bertemu.


“Minta maaf. Saya hanya bersedia bertemu lelaki yang sudah berkahwin sebab mereka lebih matang dan fikiran lebih stabil. Lelaki yang sudah berkahwin juga tidak bertanya terlalu banyak soalan bodoh; malah mereka lebih seksi. Mereka tahu simpan rahsia dan tidak akan menyusahkan saya dengan meminta layanan istimewa sepanjang masa.”


Demikian balasan standard yang akan dikirimkannya kepada mana-mana individu yang menghantar mesej kepadanya selepas meneliti profil dan foto yang dipaparkan.


“Seekor lagi!” Wan merungut sebaik membaca salah satu mesej yang baru diterima. “Dia orang memang tak faham bahasa. Tengok sahaja foto profil yang menarik, terus tergoda dan hantar mesej. Budak-budak mentah ni memang tak baca langsung apa yang aku tulis pada profil.”


Wan segera menyalin dan menampal mesej “minta maaf” yang memang tersedia dalam fail di Desktop. Kopi di dalam kole dihabiskan sebelum kembali memberi perhatian terhadap mesej-mesej lain.


Dia membaca mesej terbaru daripada seorang lelaki berumur 41 tahun dari Subang Jaya yang sekali lagi menyatakan kerinduannya untuk bersemuka dengan Ein.


“Betullah I dah kahwin, dah ada anak. Tapi I pun nak rasa juga nikmat berseronok dengan you. You pun memang nak cari lelaki yang dah kahwin, kan? Kalaulah I ada empat isteri sekali pun, I masih berminat nak jumpa you, Ein. Kalau betul seperti apa yang you gambarkan diri you di profile, memang I bertuah! Bukan senang nak dapat orang perfect macam you.”


Wan tersenyum sinis. Dia hairan mengapa manusia begitu mudah tertipu dan terpedaya. Mengapa lelaki itu mempercayai bulat-bulat segala apa yang dipaparkan pada ruangan profilnya? Cepat tergoda melihat foto model dari entah mana yang dipaparkan mewakili dirinya?


“Mungkin juga kerana kehebatan aku menulis dan mengirim mesej yang benar-benar meyakinkan, menyentuh perasaan dan membangkitkan keghairahan,” katanya kepada diri sendiri sambil memandang sekilas wajah pada cermin di dinding.


Sudah sampai masanya untuk mengatur pertemuan antara Ein dan lelaki berkenaan yang menggunakan identiti MahuEnjoy di Meeting Point.


Lebih cepat pertemuan ini diatur, lebih cepat kerjanya akan beres. Lebih cepat dia akan terlepas daripada cengkaman Syed.


Ada mesej baru masuk. Daripada pemuda bernama LonelyBoy yang baru sahaja Wan kirim mesej balasan “minta maaf” sebentar tadi.


Mata Wan terbeliak sebaik melihat sekeping foto digital yang dilampirkan. – Bersambung DI SINI


(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian Ketiga novel Ugut disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Oktober 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 21 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Ugut.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!