Wednesday, 14 December 2011

Ugut: Meeting Point – Bahagian 2

Sejurus selepas itu, Wan mendaftar masuk semula ke Meeting Point. Kali ini menggunakan nama lain. Identiti lain. Profil lain. Kata laluan lain.

Sementara menunggu proses daftar masuk, dia meneliti buku nota yang diletakkan di sisi kiri komputer riba. Pada setiap halaman, tercatat nama orang serta maklumat terperinci individu berkenaan. Semuanya disalin dari profil laman rangkaian sosial yang dilayari.


Pada setiap halaman buku nota itu juga dicatatkan identiti diri berbeza yang digunakan oleh Wan untuk berkomunikasi dengan mereka di ruang siber.


Semasa matanya kembali memandang skrin komputer riba, perkara pertama yang diperhatikan Wan adalah jumlah mesej baru yang masuk. Ada enam. Kemudian dilihatnya pada paparan jumlah individu yang telah pergi melihat profil dirinya.


Pada profil ini, namanya bukan “Wan” tetapi “Ein”. Sejak akaun berkenaan dibuka dua minggu lalu, tidak seorang pun individu yang menghubunginya melalui laman rangkaian sosial itu dapat meneka bahawa “ein” bermakna “satu” (atau “one”) dalam Bahasa Jerman.


Siapa kisah makna nama orang yang mendaftar masuk di Meeting Point bagi mencari pasangan untuk sekadar berhibur!


Wan pasti bahawa rata-rata individu yang menghubunginya sejak dua minggu lalu tidak menggunakan nama sebenar. Danny, Sam, Zaidi, Aaron, Ravi, Jack dan entah apa lagi nama yang dipetik dari entah mana. Apatah lagi jika nama yang dipaparkan pada profil adalah MalayDad, ImageGuy, MaluTapiMahu dan Hotty.


Wan sendiri menggunakan tiga akaun berbeza di laman rangkaian sosial berkenaan. Sebentar dia menjadi Wan, sebentar menjadi Ein dan sebentar menjadi Jedan; nama yang juga membawa makna “satu” dalam Bahasa Croatia.


Namun, Wan mempastikan bahawa dia menggunakan foto yang berbeza pada setiap profil yang direka. Maklumat seperti umur, ketinggian, berat badan, ukur lilit pinggang, warna rambut, keturunan dan sebagainya dipelbagaikan supaya Wan, Ein dan Jedan tampil sebagai tiga individu berbeza.


Mujurlah syarat-syarat pendaftaran di Meeting Point tidak terlalu rigid. Peraturan yang dikenakan juga amat longgar. Tidak perlu menyatakan sebarang alamat e-mel untuk mengesahkan pendaftaran sebagai ahli.


Maka, tidak hairanlah laman itu menjadi tumpuan ramai dari seluruh dunia. Masing-masing memaparkan maklumat diri secara paling minimum supaya identiti sebenar sukar diketahui orang lain; khususnya oleh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja yang berkemungkinan melayari laman rangkaian sosial yang sama bagi tujuan yang sama!


Wan bukan pakar komputer. Perkara itu memang diakuinya. Mujurlah Meeting Point amat mudah dikendali, dikemas kini dan dilayari.


Dua minggu lalu, dalam masa kurang lima belas minit, dia sudah mendaftar tiga akaun dengan tiga profil berbeza menggunakan nama Wan, Ein dan Jedan.


Kini, Ein sedang berada dalam talian dan sedang menyemak mesej yang diterima daripada beberapa individu yang berminat mengenalinya untuk menjalin hubungan lebih mesra.


Ya, di laman rangkaian sosial ini, para pengunjung dan ahli tidak perlu banyak mengayat. Masing-masing tahu apa tujuan mereka berada di sana. Malah, pada bahagian profil diri sudah diberikan beberapa pilihan yang perlu ditandakan semasa mendaftar menjadi ahli.


Ein sendiri antara lain menandakan “one time, no strings attached” dan “intimate meetings on a regular basis” pada ruangan jenis hubungan yang dicari.


Dia turut menandakan pilihan “body contact” dan “kissing” sebagaimana ditandakan kebanyakan ahli berdaftar di Meeting Point.


Maklumat asas itu sudah lebih daripada mencukupi untuk membantu pengunjung memilih dan berinteraksi dengan individu yang diminati serta memenuhi cita rasa peribadi. – Bersambung DI SINI


(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian Kedua novel Ugut disiarkan di The Malaysian Insider pada 25 September 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 14 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Ugut.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!