Wednesday, 7 December 2011

Ugut: Meeting Point – Bahagian 1

Wan membuka mesej pertama dalam peti masuk dan mula membacanya. Ringkas, padat dan tidak berselindung.

“Aku suka kau. Boleh bertemu?”


Wan meneliti nama pengirim mesej itu. Patterson. Pasti nama palsu. Dia membawa kursor ke atas nama Patterson lalu mengkliknya. Profil pemuda itu terpapar di skrin komputer riba.


Dibacanya semua maklumat peribadi yang dinyatakan pemilik akaun yang menggunakan nama Patterson itu dengan penuh teliti. Dilihatnya juga foto profil yang terpapar. Juga palsu – foto Robert Pattinson. Mungkin dari filem Remember Me.


“Budak-budak lagi,” gerutu hati Wan semasa matanya memperhati umur pemuda berkenaan. “Baru 23; masih mentah.”


Wan kembali ke mesej yang diterima daripada Patterson. Dia menaip balasan ringkas yang pasti mengecewakan budak hingusan itu.


“Maaf, Patterson. Baca tak profil saya sepenuhnya? Kau masih budak-budak. Saya mencari lelaki yang dewasa dan matang.”


Selepas menekan butang “Hantar”, Wan segera kembali ke profil Patterson dan menekan butang “Block User”.


“Sekurang-kurangnya aku dah balas mesejnya secara baik. Dan budak tak cukup umur tu tak akan ganggu aku lagi,” katanya kepada diri sendiri sambil tangan kanan menggerakkan tetikus kembali ke kotak mesej yang diterima.


Tangan kiri pula mencapai kole besar yang masih separuh berisi Kopiko 3-dalam-1 yang dibancuh hampir setengah jam lalu. Dihirupnya kopi yang masih suam itu. Kemudian kole diletakkan di sisi komputer riba.


Segera bibirnya menguntum senyuman sambil matanya memandang satu lagi mesej yang baru dibuka.


“Nama you memang Wan? As in 1Malaysia?”


Wan tidak menolak kemungkinan orang itu bukan penyokong tegar gagasan 1Malaysia yang menjadi sebutan ramai tetapi tidak menjadi amalan. Mungkin juga orang itu menyokong Pakatan Pembangkang. Atau salah seorang tokoh parti pembangkang.


Sambil memikirkan segala kemungkinan itu, Wan mengklik pada nama individu yang mengirim mesej berkenaan untuk melihat profilnya.


“Razak, 39 tahun, Kuala Lumpur, berkahwin, tinggi 175 sentimeter, berat 73.5 kilogram, pinggang 76 sentimeter,” dibacanya sambil mengangkat kening bagaikan tidak hairan meneliti segala maklumat yang mungkin sahaja rekaan semata-mata.


Kemudian, Wan melihat pula foto profil yang dimuatkan. Hanya kelihatan dari paras leher hingga pusat. Secara teknikal, tidak mendedahkan aurat. Sasa. Boleh tahan. Malah, kemungkinan besar, foto sebenar individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Razak.


Wan kembali ke ruang inbox dan membaca semula mesej pendek tadi. Dia cuba mentafsir makna tersembunyi dalam soalan yang dikemukakan oleh Razak.


Tentu sahaja lelaki itu bukannya tidak tahu membezakan antara “Wan” dan “One” atau “1” pada slogan yang dipelopori Perdana Menteri keenam dari UMNO dan Barisan Nasional.


Cuma, Wan dapat mengagak bahawa Razak bukan penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak dan/atau Datin Rosmah Mansor. Mungkin juga penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi kebarangkalian itu juga amat tipis.


“Tidak mungkin seorang penyokong gagasan 1Malaysia membandingkan nama aku dengan benda seperti itu!” Wan memutuskan tanpa mahu memeningkan kepala memikirkan secara lebih mendalam hal politik negara dan/atau apa yang diperkatakan orang sebagai pergeseran senyap Najib-Muhyiddin. “Wan atau One, ada aku kisah?”


Dia menghirup kopi yang masih berbaki sambil meneliti jam kecil pada penjuru kanan bawah komputer riba. Hampir tengah malam.


Wan pergi semula ke profil Razak dan menyedari bahawa lelaki itu masih melayari laman rangkaian sosial Meeting Point. Label “Online” warna hijau masih terpapar di sisi namanya.


“Nama I memang Wan tapi bukan seperti 1Malaysia. You ni pandai berlawaklah!”


Sejurus selepas mengklik ikon “Hantar”, Wan mendapati label “Online” di sisi nama Razak tiba-tiba hilang.


“Lantaklah. Banyak lagi ikan di laut,” katanya sendirian sambil dia juga mendaftar keluar. – Bersambung DI SINI


(© Uthaya Sankar SB 2011. Novel Ugut adalah sebuah pulp faction yang menggabungkan unsur-unsur suspens, misteri, thriller, politik, kritikan sosial, seks, narrative hook dan twist untuk menghidupkan cerita. Laman rangkaian sosial “Meeting Point” adalah rekaan semata-mata. Bahagian Pertama disiarkan di The Malaysian Insider pada 18 September 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 7 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Ugut.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!