Wednesday, 28 December 2011

Ugut: History – Bahagian 1

Amri merenung tajam foto yang dikirim gadis itu. Dilihatnya dengan teliti untuk mencari apa yang tidak kena pada foto berkenaan. Kemudian dia membaca semula mesej yang disertakan bersama-sama foto itu.

“Apa pula yang tidak kena pada foto ini?” Amri bertanya sendirian sambil mengerutkan kening secara penuh skema. “Semuanya nampak okey.”


“Dah jumpa?”


Amri segera sedar bahawa seorang gadis berbaju kebaya ketat sedang berdiri di sisi mejanya. Baju kebaya yang sama seperti dalam foto.


“Tak. Tiada apa yang tak kena. Semuanya okey,” jawab Amri dengan nada profesional sedang hatinya tertanya-tanya berapa lama gadis itu telah berdiri di situ dan memperhatikan gelagatnya.


“Ah! Lelaki semuanya sama saja,” kata si gadis dengan nada menyampah yang disengajakan. “Entah apa yang awak tenung dan renung pada foto tu sejak hampir sepuluh minit lalu.”


Amy secara spontan menghampiri kerusi Amri dan tangan kanannya mendekati skrin komputer yang memaparkan foto dirinya.


“Nampak ni?” Telunjuknya mengetik berulang kali bahagian muka pada foto berkenaan.


Amri mendekatkan muka ke skrin untuk cuba melihat apa yang ditunjukkan oleh Amy. Seketika kemudian, sambil mencebikkan bibir dan mengerutkan kening, pemuda itu menggeleng.


“Ah! Lelaki semuanya sama saja,” Amy mengulang dialog yang mungkin sahaja dihafaz daripada salah satu drama bersiri di televisyen.


Amri yang menyedari bahawa tubuh Amy berada terlalu hampir dengannya, tiba-tiba berpura-pura membetulkan tali leher dalam usaha meredakan gelora dalam jiwa.


Pada waktu hampir sama, si gadis pula berdiri tegak dengan tangan kiri diletakkan pada pinggang dan telunjuk kanan pula kini dituding ke arah hidungnya sendiri.


“Saya dah ambil foto saya sendiri menggunakan telefon bimbit dan kirim sebagai lampiran melalui e-mel tapi awak masih tak dapat teka apa yang berbeza pada penampilan saya hari ini,” katanya dengan gaya gedik Lady Gaga yang kini menjadi ikutan ramai staf wanita – tua dan muda – di syarikat berkenaan.


Amri mendongak merenung wajah Amy dengan pandangan kosong sementara hatinya pula terus bergelora sebaik hidung mencium wangian segar entah jenama apa.


“Saya masih tak faham,” katanya ikhlas dan cuba menguntum senyuman bagi mengawal keadaan – fizikal dan emosional.


“Ah, lelaki! Saya dah berdiri depan mata pun awak masih tak sedar?” Amy tunduk lalu mendekatkan mukanya ke wajah Amri. “Nampak tindik hidung ni?”


Amri menggerakkan kepalanya ke belakang sedikit untuk membetulkan fokus pandangan. Ya, dia nampak tindik hidung kecil yang dimaksudkan oleh Amy.


“Oh, nampak. Baru, ya?”


Amy mendengus. Kemudian berpura-pura merajuk sambil mencebikkan bibir. Namun, dia sedar bahawa tiada gunanya dia merajuk pada Amri. Sebaliknya, segala aksi dan tindakannya lebih banyak bertujuan menarik perhatian pemuda tersebut.


“Sudahlah tu. Sia-sia saya tindik hidung petang semalam dan datang nak tayang di pejabat.” Amy berdiri bercekak pinggang. “Dan sebagai hukuman kerana awak tak sedari penampilan saya sebagai diva yang anggun, awak kena belanja saya di kafe.”


Setelah terpegun seketika melihat gadis berambut panjang yang berdiri di hadapannya, Amri pantas merujuk jam di tangan kiri.


“Awak duduk pejabat pun bukannya ada kerja. Ini syarikat Bumiputera, okey? Jadi, jom temankan saya ke kafe.”


Amri kehilangan kata. Bukan kerana keberanian Amy membuat kenyataan terbuka berbentuk kritikan halus terhadap syarikat milik Bumiputera. Itu bukan masalah.


Semua itu hanya akan menjadi masalah sekiranya komen dan kritikan sedemikian datang daripada orang luar yang sehingga hari ini masih dilabel sebagai “pendatang”. – Bersambung DI SINI


(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian Keempat novel Ugut disiarkan di The Malaysian Insider pada 9 Oktober 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 28 Disember 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai Ugut.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!