Terjemahan tajuk utama berita itu adalah begini:
“Kontroversi Novel Interlok: Sudah Dapat Kebenaran untuk Serah Memorandum kepada Yang Dipertuan Agong.”
Wartawan berkenaan, E. M. Mohamad Ali melaporkan bahawa National Interlok Action Team (NIAT) akan menyerahkan memorandum tersebut di Istana Negara, Kuala Lumpur pada jam 11:00 pagi, 12 November 2011 (Sabtu).
Pengerusi NIAT, Datuk Haji Thasleem dipetik sebagai berkata bahawa pihaknya sudah menerima surat izin rasmi berhubung perkara itu.
“Seratus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum terlibat dalam menyediakan memorandum itu yang bertujuan meminta perkenan Yang Dipertuan Agong mengambil tindakan segera terhadap isu novel Interlok sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas),” kata beliau.
Menurut Haji Thasleem lagi, beberapa surat sudah dikirim kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak sepuluh bulan lalu tetapi tidak ada sebarang maklum balas diterima.
“Kita perlu sedar bahawa isu Interlok memberi kesan kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Ia bukan isu untuk dipolitikkan dan bukan juga isu yang sudah selesai serta perlu dilupakan,” kata Haji Thasleem yang memimpin NIAT sejak Januari lalu.
NIAT juga sedang dalam proses mengumpul dua juta tandatangan daripada orang ramai bagi membantah penggunaan novel Interlok Edisi Murid sebagai teks Komsas.
“Petisyen dan tandatangan itu dijangka siap menjelang Disember ini dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri,” katanya.