Friday, 28 October 2011

Politik Perkauman

Bahagian Empat. Kejatuhan ekonomi dunia pada awal tahun 1930-an menyebabkan ramai kaum India pulang ke negara asal. Perlu diingat bahawa Tanah Melayu masih dijajah Inggeris pada waktu itu.

Namun, ramai juga yang terus memilih untuk tinggal di Tanah Melayu kerana mereka sudah menganggap negara ini sebagai tanah air; walaupun belum mendapat taraf kerakyatan.


Kelompok inilah yang saya tampilkan dalam cerpen “Nayagi” (Siru Kambam, 1996) dan beberapa karya lain; iaitu kaum India yang sedar bahawa negara ini adalah tanah tumpah darah.


Penjajahan Jepun 1942-1945 juga memberi kesan yang hebat terhadap identiti kaum India di negara ini.


Sekelompok menyertai Indian National Army (INA) pimpinan Subhas Chandra Bose untuk memperjuangkan kemerdekaan Benua Kecil India yang masih dianggap oleh mereka sebagai ibu pertiwi.


Kelompok ini hilang arah apabila pemimpin mereka dilaporkan terkorban dalam nahas udara pada Ogos 1945.


Bagaimanapun, apa yang lebih penting, majoriti kaum India dan Cina di Tanah Melayu selepas zaman penjajahan Jepun sudah benar-benar bertapak (settled) di Tanah Melayu dan menganggap negara ini sebagai tanah air.


Mereka mahu menjadi warganegara serta diberi hak politik yang sama dengan kaum Melayu. Penelitian terhadap sejarah sebenar negara (baca: fakta yang tidak diubah puak tertentu) akan membuktikan hakikat ini.


Keadaan ini disedari oleh pihak Britain yang mencadangkan Malayan Union tanpa berunding dengan kaum Melayu di Tanah Melayu waktu itu.


Malayan Union 1946 disambut baik “kaum pendatang” kerana ditawarkan hak kerakyatan secara jus soli.


Pada masa sama, perlu ditegaskan bahawa kaum India dan Cina sudah datang, berdagang, menetap dan menjadi penduduk di Tanah Melayu sejak berkurun lamanya.


Berikutan penentangan kaum Melayu terhadap Malayan Union, maka lahirlah UMNO yang kemudian berjaya memaksa penjajah mengganti Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.


Kelahiran UMNO adalah kejayaan besar bagi kaum Melayu di negara ini. (Nota: Sila bezakan antara “UMNO” dan “UMNO Baru” dari segi fakta dan sejarah.)


Kongres India Malaya (MIC) yang lahir pada Ogos 1945 pula bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Tanah Melayu.


Bagaimanapun, pada peringkat awal, MIC kurang mendapat sambutan dan sokongan daripada kumpulan pekerja ladang dan buruh.


Hal ini kerana pemimpin parti terdiri daripada golongan peniaga dan profesional. Maka, dikatakan wujud jurang antara pemimpin dan ahli.


MIC juga tidak mendapat sokongan dalam Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952 walaupun bekerjasama dengan Independence of Malaya Party (IMP) pimpinan Dato’ Onn Jaafar.


Sokongan hanya mula diterima selepas MIC menyertai Perikatan bersama-sama UMNO dan MCA pada tahun 1954 bagi menghadapi pilihan raya umum 1955.


Walaupun lahir sebagai parti yang bertujuan menjaga kepentingan kaum India di Malaya, MIC pada realiti lebih berciri parti bagi keturunan Tamil – Bahasa Tamil, budaya Tamil, tarian Tamil, sastera Tamil, jati diri Tamil dan segala macam “Tamil”.


Bahasa, budaya, tarian dan sastera keturunan lain dalam kaum India bagaikan tidak wujud. Kalau diteliti, keadaan itu belum berubah hingga hari ini. – Bersambung DI SINI