Bahagian Dua. Pada tahun 1820-an, banduan-banduan India dilaporkan dibawa ke Tanah Melayu. Tenaga buruh banduan berkenaan digunakan untuk membina bangunan, jalan raya dan jambatan. Perlu diingat bahawa India dan Tanah Melayu sama-sama dijajah British waktu itu. (Walaupun ada pihak yang tiba-tiba tampil mengubah fakta sejarah dengan mengatakan bahawa negara ini tidak pernah dijajah! Maka, saya tidak akan terkejut jika ada puak tertentu mengatakan negara ini tidak pernah menerima pengaruh budaya dan agama dari India.)
Pada tahun 1840-an, ladang-ladang tebu mula diusahakan secara besar-besaran di Seberang Perai oleh pengusaha Eropah. Lalu, buruh dibawa dari Tamil Nadu, India untuk bekerja di sana.
Pembukaan ladang kopi di Selangor pada tahun 1870-an membuatkan lebih ramai buruh dibawa dari India.
Suatu perkara yang cukup menarik untuk diteliti adalah berhubung soal mengapa pengusaha ladang Eropah berminat mengambil rakyat India menjadi buruh di ladang.
Alasan yang biasa diberi adalah bahawa Tanah Melayu dan India sama-sama dijajah British. Maka, proses membawa buruh adalah lebih mudah dan murah.
Upah yang diminta juga jauh lebih rendah berbanding upah yang sedia diterima pekerja dari Eropah.
Sebenarnya, selain daripada alasan di atas, ada beberapa lagi alasan yang lebih menarik untuk diteliti secara mendalam.
Alasan-alasan ini bukan sahaja relevan untuk mengkaji mengapa pengusaha ladang Eropah mengambil buruh dari India. Malah, boleh membantu untuk mengetahui sifat dan peribadi penduduk kaum India secara am.
Ada beberapa sebab mengapa orang India bersedia datang ke Tanah Melayu sebagai buruh pembinaan dan buruh di ladang.
Sistem kasta dalam budaya di negara India pada masa lalu menjadi penghalang untuk mencapai mobiliti sosial.
Seseorang yang lahir dalam kasta sudra, misalnya, hanya boleh menjadi pekerja biasa dan tidak boleh mencapai status lebih tinggi dalam masyarakat di negara itu.
Berbekalkan impian membaiki kedudukan ekonomi dan status dalam masyarakat tanpa dipengaruhi ikatan kasta, ramai yang bersedia datang ke Tanah Melayu yang dikenali sebagai Suwarna Bumi (“Semenanjung Emas”).
Bagaimanapun, jangan pula terpengaruh seratus peratus dengan apa yang dipaparkan dalam novel Interlok Edisi Murid dan dipertahankan secara bermati-matian oleh puak tertentu bahawa rata-rata buruh kaum India yang dibawa ke Tanah Melayu oleh British adalah daripada golongan “paria”.
Pertambahan dan kepadatan penduduk di Benua Kecil India juga menyebabkan masalah mendapat bekalan makanan yang mencukupi pada masa silam.
Begitu juga dari segi pekerjaan. Situasi menjadi bertambah buruk sepanjang musim kemarau dan banjir besar.
Di bawah pemerintahan British, penduduk di India terpaksa membayar cukai yang tinggi. Semua faktor ini menyebabkan ramai rakyat India memutuskan untuk mencari kehidupan baru di Tanah Melayu.
Di pihak pengusaha Eropah pula, mereka dikatakan memilih untuk mengambil buruh dari India kerana golongan ini sentiasa akur pada arahan kerja yang diberi. – Bersambung DI SINI