Bahagian Lima. Ramai yang mengandaikan bahawa semua kaum India di negara ini adalah keturunan Tamil; semata-mata kerana hampir 80% adalah keturunan Tamil. Pemimpin parti politik juga tidak berusaha bersungguh-sungguh memberi penjelasan. Malah, tidak mustahil bahawa mereka sendiri masih jahil terhadap perkara ini.
Ramai pemimpin dalam masyarakat India juga masih meneruskan tradisi menganggap kaum India sebagai “kaum pendatang” atau imigran dengan erti kata, tumpuan masih pada Benua Kecil India.
Dalam segala ceramah, sering ditimbulkan kehebatan keturunan Tamil di India pada masa lalu; dan hal ini ada juga disentuh dalam cerpen “Kain Cita Bersulam Cinta” (Kathakali, 2009).
Jarang sekali disentuh mengenai kehebatan kaum India di Malaysia; kecuali dalam usaha “mendewa-dewakan” politikus tertentu.
Kesilapan yang membuktikan kejahilan ini dilakukan oleh pemimpin pelbagai peringkat. Perhatikan betul-betul dan anda sendiri akan menyedarinya.
Gambaran yang diberikan pemimpin politik adalah seolah-olah kaum India di Malaysia masih rakyat negara India (khasnya dari Tamil Nadu) yang sekadar “menumpang” di negara ini.
Dengan segala macam perkembangan negatif sejak dahulu, tidak hairanlah generasi muda kaum India masih menganggap Malaysia sebagai “negara mereka” (their country) dan bukannya “negara kita” (our country).
Apatah lagi dengan pelbagai usaha terancang dan licik yang dilakukan puak tertentu bagi memastikan kaum India di negara ini terus melihat diri sendiri sebagai “pendatang” dan “paria” yang cuba merampas hak dan peluang milik orang lain.
Dalam pada itu, mungkin sahaja kewujudan begitu banyak pertubuhan – badan berciri politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) – yang masing-masing mahu berjuang bagi kaum India (baca: keturunan Tamil) menjadikan keadaan semakin bercelaru.
Kelompok pemimpin pertubuhan – badan politik mahupun NGO – belum mencapai kata sepakat dalam usaha menyelesaikan masalah yang melanda kaum India.
Lebih banyak perbalahan demi kepentingan peribadi berbanding perjuangan bagi masyarakat yang sepatutnya diwakili. Hal ini berlaku pada peringkat Persekutuan mahu pun Negeri.
Terbaru, lihat sahaja dalam isu kontroversi novel Interlok Edisi Murid. Kalau kita meneliti segala laporan di pelbagai media sejak Januari 2011 secara kritikal, kita boleh menilai sendiri benar atau tidak pandangan yang saya kemukakan ini.
Tambahan pula, di negara bertuah ini, kaum India hanya diharapkan berada pada tahap sederhana; tidak terlalu menonjol dalam apa-apa bidang yang diceburi.
Perumpamaannya adalah bahawa jika si ayah menjadi pekerja ladang, biarlah si anak juga menjadi pekerja ladang yang hanya sedikit lebih baik daripada si bapa.
Akhirnya tidak hairanlah sekelompok kaum India di Malaysia terus merasakan diri mereka terpinggir dan ada yang memilih untuk sekadar “menonton” perkembangan politik dan filem/drama India.
Sekurang-kurangnya filem/drama (dan politik?) dari India memberi hiburan dan kepuasan jiwa berbanding realiti di tanah tumpahnya darah mereka.
Namun, tentu sahaja keadaan “terpinggir”, “tertindas” dan “minda tertutup” seperti ini tidak akan berterusan.
Generasi muda kaum India sudah berani bersuara dan tahu hak mereka. Mereka tidak mudah diperkotak-katik.
Tidak akan tercapai kebaikan jika tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran; seperti dinyatakan Mahatma Gandhi.
Generasi muda yang saya perhatikan bukan lagi “pak turut” tetapi adalah “pemimpin” yang bakal menentukan masa depan agama, bangsa dan negara.
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini; seperti disarankan Mahatma Gandhi.
(Artikel ini dikembangkan daripada tulisan Uthaya Sankar SB dalam majalah Minda keluaran September 2003. Baca Bahagian Satu DI SINI)
0 komen:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!